Saturday, August 16, 2014

Penyair Amir Hamzah Di Pancung!

NAMA lengkap Amir Hamzah ialah Tengku Amir Hamzah, tetapi dipanggil Amir Hamzah, lahir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara, pada 28 Februari 1911. Amir Hamzah membesar dalam lingkungan bangsawan Langkat yang taat pada agama Islam. Bapa saudaranya, Machmud, adalah Sultan Langkat yang memerintah tahun 1927-1941. Ayahnya, Tengku Muhammad Adil (saudara Sultan Machmud sendiri), menjadi wakil sultan untuk Luhak Langkat Bengkulu dan menetap di Binjai, Sumatera Timur. Amir mendapat pendidikan di Langkatsche School di Tanjung Pura pada tahun 1916. Tahun 1924 masuk sekolah MULO (sekolah menengah pertama) di Medan. Setahun kemudian berhijrah ke Jakarta hingga menyelesaikan sekolah menengah pertamanya pada tahun 1927. Amir, kemudian melanjutkan sekolah di AMS (sekolah menengah atas) Solo, Jawa Tengah, Jurusan Sastera Timur, hingga tamat.  Kembali lagi ke Jakarta dan masuk Sekolah Hakim Tinggi hingga meraih Sarjana Muda Hukum. Amir Hamzah tidak dapat dipisahkan dari kesusteraan Melayu. Tidak hairan jika dalam dirinya mengalir bakat kepenyairan yang kuat. Buah Rindu adalah kumpulan puisi pertamanya yang menandai awal kariernya sebagai penyair. Puncak kematangannya sebagai penyair terlihat dalam kumpulan puisi Nyanyi Sunyi dan Setanggi Timur. Selain menulis puisi, Amir Hamzah juga menterjemahkan buku ‘Bagawat Gita’. Riwayat hidup penyair yang juga pengikut tarekat Naqsabandiyah ini ternyata berakhir tragis. Pada 29 Oktober 1945, Amir diangkat menjadi Wakil Pemerintah Republik Indonesia untuk Langkat yang berpusat di Binjai. Ketika itu Amir adalah juga Raja muda Langkat Hulu di Binjai. Ketika Sekutu datang dan berusaha merebut hati para sultan, kesedaran rakyat terhadap revolusi membara. Mereka mendesak Sultan Langkat segera mengakui Republik Indonesia. Lalu, Revolusi Sosial pun pecah pada 3 Mac 1946. Sasarannya adalah keluarga bangsawan yang dianggap kurang memihak kepada rakyat, termasuk Amir Hamzah. Pada pagi hari 20 Mac 1946 mereka dihukum pancung. Namun, kemudian terbukti bahawa Amir Hamzah hanyalah korban yang tidak bersalah dari sebuah revolusi sosial. Pada tahun 1975 Pemerintah RI menganugerahinya gelar Pahlawan Nasional. Dalam diri seorang penyair, ada dua aspek yang sering diperbincangkan, iaitu realitinya sebagai seorang manusia, dan kapasitinya sebagai seorang penyair. Dua realiti ini berjalan seiring, saling mempengaruhi dan saling menjelaskan. Semua penyair adalah manusia, namun, tidak semua manusia menjadi penyair. Amir Hamzah adalah seorang manusia pandai bersyair. Ia lahir sebagai putera dari seorang keluarga istana, dengan kedudukan politik semasa yang tidak menguntungkan, ia tiada kuasa untuk memilih, apalagi menolak, apakah mahu menjadi sebahagian dari rakyat jelata, atau bangsawan istana.  Amir membesar dan berkembang dalam suasana harmonis keluarga sultan. Sebagaimana kerajaan Melayu lainnya, Langkat juga memiliki tradisi sastera yang kuat. Lingkungan istana inilah yang pertama kali mengenalkan dunia sastera pada dirinya. Ayahnya, Tengku Muhammad Adil adalah orang penting di Langkat yang sangat mencintai sejarah dan sastera Melayu. Pemberian namanya sebagai Amir Hamzah disebabkan ayahnya yang sangat mengagumi Hikayat Amir Hamzah. Dalam lingkungan yang seperti itulah, kecintaan Amir terhadap sejarah, adat-istiadat dan kesusasteraan negerinya tumbuh.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2014 di pasaran...

No comments: