Saturday, August 16, 2014

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammmad s.a.w. Kali ini kita bertemu lagi dalam suasana yang ceria. Saling tegur menegur menebar salam mengucapkan datangnya Aidilfitri. Senyuman menghiasi wajah melukiskan gambaran kesucian hati yang terserlah
Menjelangnya fajar Syawal 1435 ini. Untuk sekian kalinya kita tetap meninggalkan Ramadan. Entah berjumpa lagi entah tidak Ramadan akan datang. Atau tanpa sedar entah-entah berbalut jasad kain kafan bersemadi dalam kubur menunggu sanak saudara sahabat handai datang menziarahi. Alangkah sayunya meninggalkan detik-detik ini. Walaupun kegembiraan hari raya mencerap rasa sanubari, namun tak sama cerianya beribadat di bulan puasa. Sehari dua aidilfitri, hilanglah keseronokannya. Berapalah sangat kuih muih, ketupat lemang yang tersudi dijamah. Lama-lama muallah rasanya. Pembaca budiman, janganlah lupa ada ibadat sunat penting yang wajar kita lakukan selepas ini. Buatlah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal, apa lagi jika dibuat bermula sehari selepas 1 Syawal. Besar fadilatnya bagi yang mengerjakannya seolah-olah anda berpuasa sepanjang tahun. Memanglah Ramadan yag berlalu ini banyak dugaannya. Bagi kaki bola, ada yang sanggup berjegang mata dan bersahur hingga pertengahan Ramadan menonton Piala Dunia. Namun kita harus mengambil pendekatan yang positif. Bagaimana sebilangan pemain beragama Islam bertekad terus berpuasa di tengah panas terik beraksi namun ibadat puasa diteruskan. Inilah nilai murni yang boleh kita contohi. Sukan tidak melalaikan urusan ibadat utama yang akan dinilai pahalanya di akhirat kelak. Sewajarnya selepas ini, penonton-penonton bola sepak Piala Malaysia nanti bersolatlah terlebih dahulu terutama waktu Maghrib walau dalam keadaan apa sekalipun. Hidayah sebagaimana biasa dalam keluaran hari raya ini terus mempersembahkan kisah-kisah iktibar dan rencana-rencana menarik sepanjang masa untuk tatapan pembaca. Bagi pembaca budiman yang selama ini menyokong usaha kami ini, jutaan terima kasih kami ucapkan. Tanpa anda, majalah ini tidak akan wujud dalam tatapan. Anda akan mendapat “saham akhirat” apabila menjadi pembaca setia majalah ini, InsyaAllah. Kami mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin” dan kita berjumpa lagi dalam keluaran berikutnya.
Wassalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: