TELAH menyebut oleh Al-Rabbani Kamil Mukamil Wali Qutub Sheikh Abi Madyan dalam kitabnya “Kanzul Manan” sebagaimana berikut; “Tiada patut mendengar bagi ilmu ini (Tarekat/Tasawuf) melainkan bagi orang yang bersifat dengan empat sifat ini iaitu;
• Zahid dengan meninggalkan segala yang lebih daripada yang halal.
• Ilmu Syariat yang membaikkan zahirnya,
• Tawakkal dan
• Keyakinan kepada Allah dan Rasul.
Inilah syarat-syarat utama yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin mengikut jalan atau tarekat ilmu Tasawuf ini. Tegasnya bagi sesiapa yang ingin belajar atau menuntut ilmu ini, atau mendengar ilmu ini, membicara dan membahaskan ilmu ini, mereka hendaklah memperlengkapkan diri mereka dengan empat perkara tersebut. Tanpa salah satu atau mana-mana dari empat syarat-syarat yang tersebut itu, maka tidaklah patut bagi seseorang itu mendengar apatah lagi memperkatakan sesuatu mengenai ilmu Tasawuf ini.
1. Zahid.
Adalah makna zahid ialah meninggalkan segala yang lebih-lebih daripada yang halal. Ini adalah kerana seorang yang Salik itu merupakan orang musafir kepada Tuhannya. Maka manakala jika ada sertanya sesuatu yang melebihi dari kadar keperluan dan hajatnya dalam perjalanannya, nescaya ianya akan menjadi penegah dan penghalang untuknya melangkahkan kaki. Ini adalah kerana Hadrat Haq s.w.t. itu diharamkan masuk atas orang yang membawa di belakangnya sesuatu tanggungan(sangkutan keduniaan). Dalam erti kata yang lain, hendaklah disucikan tangannya daripada mengambil sesuatu yang lebih daripada dunia dan disucikan hatinya daripada berhadap kepadaNya kerana adalah pada Hadrat yang Qudsi itu ditegahkan masuk orang yang penuh hatinya dengan Akdar dunia yang Masyiwallah (sesuatu selain daripada Allah) seperti kata Sheikh Ibni Athoillah As-Kandari; “Bagaimana terang bercahaya hatinya sedangkan segala rupa Akuan(cita-cita dunia) termeteri pada muka cerminnya atau; “Bagaimana ia suka berjalan kepada Allah Taala padahal tertambat dengan segala keinginan syahwatnya atau; “Bagaimana ia loba masuk pada Hadrat Allah Taala sedangkan ia tiada bersuci dari segala junub kelalaiannya atau; “Bagaimana ia harap hendak faham akan keindahan Asror atau rahsia-rahsia yang halus(yang dalam) pada hal ia tidak taubat daripada kesalahannya. Antara alamat orang yang zahid ialah sebagaimana yang disebut dalam Kitab Siyarus Salikin di mana telah berkata Imam Ghazali; Adapun alamat Zahid itu sebagai berikut;
• Tiada ia suka dengan suatu yang ada kepadanya dan tiada dukacita di atas ketiadaan sesuatu padanya seperti firman Allah yang bermaksud; “Supaya tiada dukacita kamu atas sesuatu yang luput dan tiada suka dengan sesuatu yang datang kepada kamu.”
• Bersamaan padanya orang yang memuji dan menghinanya.
2. Ilmu Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah Ilmu Syariat
Yang ruang lingkupnya bergantung dengan perkara-perkara yang membaikkan zahirnya. Maka manakala tiada mengetahui oleh orang yang Salik ilmu-ilmu atau jalan untuk membaikkan zahirnya nescaya tiadalah dapat ia mengetahui akan jalan untuk membaikkan batinnya. Ini adalah kerana orang yang tiada berhenti pada pintunya tiadalah masuk di dalam tempat perhentian ahbabnya (kekasihnya). Dengan kerana itulah, maka hiasilah olehmu wahai orang Salik dengan pakaian syariat dan berhiaslah dengan adab tarekat, nescaya teranglah atasmu beberapa cahaya hakikat dan jadilah kamu ahli bagi “Mukhotobah” yakni berkhabar-khabaran dan ahli Musyawarah yakni orang yang berkhabar-khabaran pada malam dan dapatlah kamu akan lazat “Mukhotobah”. Ini adalah kerana untuk terbukanya sesuatu yang hakikat yang didapati dari Alam Ghaib, perlulah ada sesuatu Wirid atau amalan syariat yang sempurna. Tersebut dalam bicara Kitab Hikam Ibni Athoillah As-Kandari bahawa tidak akan ada Warid tanpa Wirid. Yang dimaksudkan dengan wirid ialah apa sahaja amalan zahir atau batin yang dilakukan secara Istiqamah dan terhasilah Warid Ilahiyyah iaitu pembukaan dan pencampakan Nur Ketuhanan yang membukakan sesuatu yang sebelum ini tertutup atau terhijab. Dengan terbukanya sesuatu rahsia di Alam Ghaib ini, maka terserlah bahagian-bahagian hakikat atau makrifat mengikut kadar yang diizinkan.
Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2011 di pasaran...
Thursday, April 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment