Bagi orang Melaka, kereta lembu merupakan kenderaan paling penting bagi mereka dalam usaha mencari rezeki.
Zaman sebelum merdeka, iaitu dalam tahun 40an, 50an dan awal 60an, kereta lembu sebagai kenderaan “pedati” yang digunakan untuk pelbagai guna. Seseorang penduduk kampung, sekiranya dia mempunyai dua ekor lembu, dan sebuah kereta lembu, cukuplah baginya untuk menampung penghidupan keluarganya. Kereta lembu dan lembu yang dua ekor itulah akan dijadikan sebagai sumber untuk mencari rezeki. Pada peringkat lain pula, kalau ada perayaan-perayaan tahunan, seperti “mandi safar” dan lain-lain lagi, maka kereta lembu itu akan digunakan sebagai kenderaan disamping mengangkut barang-barang. Biasanya, kereta lembu ini dimiliki oleh mereka yang diam di desa-desa pada zaman itu. Kehidupan zaman itu adalah dengan menjual kayu api dan sebagainya.
Biasanya, kereta lembu ini akan mengangkut kayu-kayu yang sudah dibelah kecil-kecil untuk dijadikan kayu bakar bagi memasak dan sebagainya untuk mereka yang tinggal di bandar-bandar. Kayu-kayu dari pokok-pokok getah tua yang ada diladang-ladang getah akan ditebang. Pekerja-pekerjanya adalah dari anak-anak muda di kampung-kampung juga. Taukeh-taukeh kayu dan taukeh lori, akan mengambil para pekerja dari kampung-kampung pada pagi-pagi hari untuk dibawa ke ladang-ladang getah untuk menebang pokok-pokok getah tua itu. Pekerja ini akan membawa sendiri alat-alat pemotong seperti sebilah gergaji, beberapa bilah kapak besar dan sederhana dan juga kecil. Parang juga akan dibawa sama untuk mencantas semua daun getah yang sudah potong itu. Kemudian, batang-batang getah di gergaji menurut ukuran yang telah ditetapkan. Batang getah itu kemudian diangkut ke dalam lori yang sedia menanti. Satu lori batang getah yang sudah siap dipotong dengan harga yang sudah ditentukan juga. Upah menebang batang-batang getah itu akan diserahkan kepada seorang ketua, dan ketua akan membahagikan kepada para pekerja lain. Sementara kereta lembu pula sedia menanti di tepi jalan atau pun dalam kebun getah dimana kayu-kayu getah yang sudah dipotong akan dimuatkan dalam kereta lembu itu. Kereta pedati itu akan ditarik oleh dua ekor lembu dari kebun getah dibawa pulang ke kampung masing-masing. Jauh perjalannanya kira-kira dalam lima enam batu saja. Apabila kayu-kayu getah itu tiba di pengkalan tempat memprosesnya maka kayu-kayu itu diturunkan, dan pekerja-pekerja lain pula akan memotongnya mengikut ukuran yang sudah disediakan dan ditentukan. Kayu-kayu yang hendak dijual ke pekan-pekan itu ada pelbagai bentuknya. Ada yang diracek sebesar lengan tangan dan panjangnya kira-kira dalam satu kaki sahaja. Jenis dan bentuk kayu yang macam ini di keringkan dulu sebelum dibawa ke bandar. Kayu-kayu sudah diracek ini dijemur ditengah-tengah padang. Dan juga dalam bangsal, kerana dibimbangi akan ditimpa hujan. Apabila sudah kering kayu-kayu itu diikat dengan tali batang pisang yang sudah dijadikan tali. Kayu yang diracek ini berjumlah kira-kira lima atau pun enam batang dalam seikatan.
Kayu-kayu ini dipunggah dalam kereta lembu pada waktu petang. Sesudah subuh kereta-kereta lembu ini akan bertolak dari kampung masing-masing ke bandar untuk dijual. Ada yang menghantarnya terus kepada pemborong-pemborong kayu api yang sudah sedia ada di bandar. Ada sebahagiannya tidak buat macam tu. Mereka menjualnya secara runcit. Tuan punya kereta lembu itu akan singgah dari satu rumah ke satu rumah kedai untuk menghantar kayu-kayu yang diminta itu. Sama juga macam orang jual “gas” di Kuala Lumpur, dimana mereka bunyikan “hon” dan mereka yang memerlukan gas akan memanggilnya, tetapi kereta lembu tidak ada “hon”, tetapi apabila kereta lembu lalu orang tahu ia membawa kayu api. Penjual-penjual kayu api yang menggunakan kereta lembu ini akan mengambil masa lima atau enam jam saja dalam jualan itu. Kira-kira jam 12 tengah hari atau pun satu tengah hari, semua kayu api dalam sebuah kereta lembu itu habis dijual. Kalau ada yang bernasib baik, apabila tiba saja di pintu bandar, ada pemborong menantinya untuk membeli semua sekali satu kereta lembu kayu api mereka. Orang yang bernasib baik macam ini akan pulang ke rumah awal lagi. Bagaimana pun, tuan punya kereta lembu akan singgah dulu dipasar dimana mereka akan membeli “ikan parang” yang besar untuk dimasak “asam pedas”; kerana pada hari itu kayunya awal-awal lagi sudah habis dijual. Ini ialah cerita mereka yang jual kayu api yang diracek. Satu lagi cara ialah dimana kayu getah itu dibawa dari ladang kemudian dipotong agak panjang sikit, dan dibelah dalam bentuk besar-besar. Biasanya, sebatang pokok getah akan dikerat (dipotong tiga) dan kemudian dibelah. Potong atau belah bentuk seperti ini dijual dalam kereta lembu juga. Biasanya pembelinya bukanlah rumah kediaman, tetapi mereka yang berniaga seperti kedai kopi, memasak itu dan ini, kerana akan menggunakan bentuk kayu api yang besar. Tuan punya kereta lembu ini akan menjualnya secara pukal. Ertinya dijual “satu kereta lembu”, tidak dijual runcit-runcit. Penjualan secara begini kurang menguntungkan, tetapi tidak banyak kerja dan tidak banyak kerenah. Ada juga orang yang menjual kayu api dengan racek ini menggunakan basikal. Mereka memuatkannya di atas basikal yang kemudian dikayuh dari kampung mereka kira lima batu atau pun 10 batu untuk sampai ke bandar. Kayu-kayu api hanya dieli oleh orang-orang yang tinggal di bandar sahaja, kerana kawasan bandar tidak ada kayu. Kayu arang pun zaman itu tidak ada. Gas jauh sekali, kerana tidak ada peralatan dapur yang menggunakan gas atau Karen. Yang ada hanyalah dapur biasa saja yang menggunakan kayu api. Bagi mereka yang tinggal dikampung-kampung, kayu api tidak perlu beli. Kadang-kadang, mereka masuk hutan, mencari ranting-ranting kayu yang kering jatuh, dan dipungut, dan kayu-kayu inilah digunakan untuk memasak. Kereta lembu ini bukan saja digunakan mengangkut kayu api untuk dijual tetapi digunakan juga untuk hal-hal lain. Kadang-kadang ada orang menyewanya untuk pindah rumah.
Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2011 di pasaran...
Thursday, April 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment