Thursday, April 7, 2011

Wanita Sedang Iddah Tidak Dibenarkan Menghias Diri

DITINJAU dari segi bahasa, kata iddah berasal dari kata ‘addad yang bermakna al-ihsha. Kata iddah merupakan bentuk mashdar dari kata kerja adda-ya’uddu yang bererti penghitungan atau sesuatu yang dihitung. Secara bahasa, kata iddah dipakai untuk menunjukkan pengertian hari-hari haid atau hari-hari suci wanita. Sedangkan secara terminologi, para ulama telah merumuskan pengertian iddah dengan berbagai ungkapan, antara lain; nama waktu untuk menanti kesucian seorang isteri yang ditinggal mati atau diceraikan oleh suami, yang sebelum habis masa itu dilarang untuk dinikahkan (dengan lelaki lain). Dari rumusan di atas, dapat difahami bahawa iddah adalah suatu tempoh waktu tertentu yang harus dihitung oleh seorang wanita sejak ia berpisah dengan suaminya, baik perpisahan itu disebabkan kerana talak [cerai] mahupun kerana suaminya meninggal dunia; dan dalam masa tersebut, wanita itu tidak dibolehkan untuk kahwin dengan lelaki lain. Iddah adalah masa tunggu yang ditetapkan oleh hukum syarak bagi wanita untuk tidak melakukan akad perkahwinan dengan lelaki lain dalam masa tersebut, sebagai akibat ditinggal mati oleh suaminya atau perceraian dengan suaminya, dalam rangka membersihkan diri dari pengaruh dan akibat hubungan dengan suaminya itu. Menurut definisi ini, iddah disebabkan oleh dua hal: ditinggal mati atau dicerai oleh suaminya. Namun, para ulama berpendapat bahawa dukhul (senggama), baik yang terjadi dalam nikah yang fasid mahupun yang terjadi kerana syubhat, juga mengharuskan iddah. Begitu pula menurut sebahagian ulama, seperti Imam Malik, perzinaan juga mengakibatkan wanita harus ber-iddah. Bahkan menurut jumhur (selain Syafi’iyah), khalwat saja sudah cukup sebagai alasan bagi penetapan kewajipan iddah. Di sisi lain, akibat iddah yang tergambar dari definisi di atas hanyalah larangan untuk melakukan akad perkahwinan dengan lelaki lain (selain suami yang menceraikannya). Akan tetapi, larangan tersebut hanyalah satu di antara beberapa konsekuensi iddah. Konsekuensi lainnya masih ada, iaitu menyangkut keterikatan, nafkah, tempat tinggal, dan lainnya. Seorang yang berada dalam masa iddah tidaklah bererti terlepas sama sekali dari suami yang menceraikannya. Begitu pula, suami itu tidak langsung dapat membebaskan diri dari tanggungjawab dan kewajipannya terhadap isteri selama masa iddah. Sehubungan dengan itu, para ulama menyimpulkan bahawa seorang lelaki tidak boleh menikahi wanita lain bila ia masih terikat dengan seorang wanita yang sedang berada dalam iddah, sedangkan wanita itu adalah salah satu di antara 4 orang isterinya. Pendapat terakhir ini didasarkan atas keyakinan bahawa wanita yang berada dalam iddah masih berstatus isteri bagi suami yang menceraikannya. Iddah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis. Allah berfirman, “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri, (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber-iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddah-nya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (QS. Al-Baqarah: 234) Dalam hadis disebutkan bahawa Nabi pernah mengarahkan kepada Fatimah binti Qays, “Ber-iddah-lah di rumah Ummu Maktum.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2011 di pasaran...

No comments: