Thursday, April 7, 2011

Keberkatan Membaca Dan Menghafal Surah Yassin

BAGI kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia, membaca Yassin sudah menjadi budaya tradisi terutama dibaca secara beramai-ramai pada hari Khamis malam Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau. Malah setengah-setengah tempat terdapat ahli-ahli kumpulan Yassin yang membaca Yassin secara beramai-ramai dari rumah ke rumah mengikut giliran rumah masing-masing. Tradisi ini merupakan satu amalan yang baik dan tidak ditegah oleh para ulama dahulu dan sekarang. Apakah kebaikan dan kelebihan membaca surah Yassin ini?
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan”, iaitu:
1. Apabila orang lapar membaca surah Yassin, ia boleh menjadi kenyang.
2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan seksanya.
9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
11. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.
12. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”
13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.
14. Rasulullah s.a.w. bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yassin dan rakaat ke dua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.”

RAHSIA SOLAT 5 WAKTU
Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Sewaktu Rasullullah s.a.w. duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata :” Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.” Lalu Rasullullah s.a.w. bersabda: “Silakan bertanya.” Berkata orang Yahudi: “Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.” Sabda Rasullullah s.a.w.: “Sembahyang zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada TuhanNya. Sembahyang asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah Khuldi.
Sembahyang maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. maka setiap mukmin yang bersembahyang maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya. Sembahyang isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku. Sembahyang subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.” Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah s.a.w. mereka berkata: “Memang benar apa yang kamu katakan itu. Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang. Rasullullah s.a.w. bersabda: “Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.” Sabda Rasullullah s.a.w. lagi: “Manakala sembahyang asar, adalah saat dimana Nabi Adam a.s. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.” Setelah itu Rasullullah s.a.w. membaca ayat yang bermaksud: “Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam a.s. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah April 2011 di pasaran...

No comments: