PADA prinsipnya, Islam itu mudah dan tidak menyulitkan pemeluknya. Sila rujuk dalam firmanNya, “Sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang kecuali sesuai kemampuannya.” (QS. Al-Baqarah: 286).
Kalau agama memerintahkan, itu ertinya seseorang dinilai telah mampu menerima kewajipan yang diamanahkan kepadanya. Sewaktu Nabi s.a.w. Israk Mikraj, pesan penting yang dibawanya adalah menjalankan solat lebih dari 5 kali dalam sehari semalam. Nabi s.a.w. merasakan bahawa jika sebanyak itu solat yang harus dibebankan kepada umatnya, maka ianya akan terasa berat. Akhirnya, kewajipan solat diputuskan menjadi hanya lima waktu sehari. Ertinya pertimbangan itu sudah benar-benar difikirkan oleh Nabi s.a.w., tidak memberatkan apabila menjadi sebuah kewajipan. Kerana itu, kewajipan bagi seorang muslim adalah meneruskan apa pun perintah Allah melalui Nabi s.a.w. dalam laku perbuatan nyata. Nabi s.a.w. menerima perintah solat, umatnya pun harus mengikuti tata cara solat Nabi. Dari Malik bin Huwairits, Nabi s.a.w. berkata,”Solatlah kalian sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat.” (HR. Bukhari) Selagi sihat dan keadaan normal, Nabi s.a.w. mengerjakan solat, baik fardu mahupun sunat dengan cara berdiri. Apa yang dilakukannya merupakan melaksanakan perintah Allah, yang berbunyi, “Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk” (QS. Al-Baqarah: 228). Ertinya semua gerakan solat dilakukan secara normal, dimana semua rukunnya tercakup di dalamnya. Berdiri dalam solat, menurut Syeikh Hasan Ayyub dalam Fiqh Ibadah, merupakan rukun bagi mereka yang mampu. Sedang bagi orang yang tidak mampu dibolehkan berdiri atau yang merasa susah berdiri, dia boleh solat sesuai dengan kemampuannya. Ini berlaku untuk solat fardu. Singkatnya, solat berdiri merupakan keharusan bagi yang sanggup untuk menjalankan solat fardu. Sebaliknya, bila seseorang melakukan solat fardu dengan duduk padahal mampu berdiri, maka tidak diperkenankan baginya. Namun untuk solat sunat, masih menurut Syeikh Hassan Ayyub, orang boleh melakukannya dengan keadaan duduk padahal sebenarnya sanggup berdiri, dia hanya mendapatkan pahala separuhnya. Dan jika memang tidak sanggup berdiri, dia mendapatkan pahala penuh seperti orang yang solat dengan berdiri. Pijakannya adalah berdasarkan hadis Imran bin Husain yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang solat seseorang sambil duduk. Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang solat sambil berdiri, maka hal itu adalah lebih utama. Barang siapa yang solat sambil duduk, maka ia mendapatkan setengah dari pahala orang yang solat sambil berdiri. Dan barang siapa yang solat sambil tidur – di dalam sebuah riwayat dikatakan sambil berbaring,— maka ia mendapatkan setengah dari pahala orang yang solat sambil duduk.”
Duduk dan Berbaring
Jelas, keadaan orang sakit berbeda dengan orang sihat. Ketika keadaannya tak memungkinkan bergerak sebagaimana orang sihat, tentu risiko dengan penyakit yang dideritanya. Kerana itu, ada solusi dalam agama bahawa orang sakit dimana ia tidak sanggup mengerjakan solat dengan berdiri, diperbolehkan melakukan solat menurut kemampuannya selama akal atau ingatannya tetap normal. Imran bin Hushain berkata, “Aku mempunyai penyakit buasir, kemudian aku bertanya kepada Nabi. Baginda menjawab, ‘Solatlah engkau sambil berdiri, apabila tidak mampu, maka sambil duduklah, dan apabila tidak mampu, maka sambil berbaringlah.” (HR. Bukhari, Abu Daud dan Ahmad) M. Nashiruddin al-Albany, dalam buku Sifat Solat Nabi, memberikan huraiannya menyangkut makna tidak mampu. Dari pendapat yang ada, yang lebih sahih adalah pendapat Syafi’i dan Hanafi. ‘Ketidakmampuan’ pada hadis tersebut dimaknai Syafi’i sebagai keadaan sangat sulit dan payah melakukan solat sambil berdiri. Atau kerana khuatir penyakit yang diderita bertambah parah, atau semakin menderita saat berdiri. Besar kecilnya kesulitan yang ada bukan menjadi ukuran, kerana pusing yang diderita oleh seseorang yang tengah berada di atas perahu tergolong kesulitan yang boleh dijadikan alasan solat sambil duduk. Demikian halnya apabila takut terjatuh dari perahunya kalau dia solat sambil berdiri. Baik Imam Syafi’i, mahupun Imam Abu Hanifah berpegang pada hadis yang diriwayatkan oleh at-Thabrani dari hadits Ibnu Abbas, “Seseorang yang sakit boleh mengerjakan solat sambil berdiri. Jika dia merasa kepayahan melakukannya sambil berdiri, maka dia solat sambil duduk. Apabila dia merasa kepayahan solat sambil duduk, dia mengerjakannya sambil berbaring, dan mengisyaratkan dengan gerakan kepalanya. Dan jika dia masih merasa kepayahan juga, solatnya dicukupkan dengan tasbih.”
Cara Solat Bagi yang Tak Mampu
Yang harus dipertegas di sini, selagi orang sakit mampu menjalankan solatnya dengan berdiri, wajib baginya berdiri, sekali pun harus bersandar ke dinding atau ke tiang atau dengan tongkat, tetapi kalau tidak sanggup, barulah diperkenankan dengan duduk. Hanya saja, meski seseorang dalam keadaan sakit, dia tidak lantas seenaknya sendiri dalam menjalankan solatnya; tidak serta merta boleh menterjemahkan keleluasaan solat melampaui batas, seperti dengan melakukan rukuknya lebih rendah berbanding sujudnya. Salah satu hadis yang tertulis dalam Kitab Bulughul Maram Bab Sifat Solat, berbunyi bahawa Rasulullah s.a.w. telah menjenguk seorang lelaki yang sakit. Baginda melihat orang itu solat di atas bantal. Lalu baginda mengambil bantal itu dan melemparkannya. Rasulullah bersabda, “Solatlah di atas tanah jika kamu boleh. Kalau tidak boleh, maka solatlah dengan isyarat, dan jadikanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.” (HR. Baihaqi, dengan sanad kuat).
Namun, dalil bolehnya solat dengan keadaan duduk, berbaring bahkan isyarat dapat dilihat dari sebuah hadis yang diriwayatkan Ali bin Abi Thalib. Sabda Rasulullah, “Orang sakit melakukan solat dengan berdiri jika ia mampu berdiri. Jika tidak mampu, solatlah dia dengan duduk. Jika tidak mampu sujud ke tanah (tempat sujud), dia memberi isyarat, dan dia menjadikan sujudnya lebih rendah (posisi atau caranya) dari rukuknya. Jika tidak mampu solat dengan duduk, maka dia solat dengan tidur mengiring ke sebelah kanan dan menghadap kiblat. Jika tidak mampu tidur mengiring ke sebelah kanan, maka dia solat dengan menghadapkan kedua kakinya ke arah kiblat.” (HR. Baihaqi dan Daruquthni)
Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2011 di pasaran...
Monday, June 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment