NAMA wanita itu Aishah. Seorang lulusan pengajian tinggi. Usianya hampir angka tiga puluhan, dengan wajah cantik dan otak yang bijak. Dia seorang pengurus di sebuah syarikat terkenal. Seorang yang idealis dan pekerja yang gigih. Dikatakan, dia seorang wanita pengetahuan agamanya sederhana saja, tidak mendalam. Cuma dia sangat rajin beribadah. Dia biasa mengamalkan puasa sunat Isnin-Khamis dan menghidupkan malam dengan solat Tahajud. Secuil riwayat hidup itu, kiranya, cukup beralasan bila dia diminati banyak pemuda dan dirinya menjadi pemilih dalam menentukan pasangan hidup. Suatu saat, Aishah terlihat gundah; gundah kerana berkaitan cinta. Hatinya mulai terpaut dengan seorang pemuda yang begitu serius ingin melamarnya. Dia mengenalnya belum begitu lama, tapi dia merasakan ada getar rindu yang menyelubungi hatinya: lelaki berakhlak yang baik, tampan, dan terpelajar. Tapi, noktah keraguan masih menyelimuti benaknya. Dia khuatir bahawa calonnya bukan ‘imam’ yang baik untuk memimpin biduk rumahtangganya. Dia khuatir nafsulah yang telah mempengaruhinya. Dia begitu masygul, antara menerima atau menolaknya. Dia ingin solat Istikharah, tapi dia merasa bahawa konsep solat Istikharah itu dilaksanakan jika seseorang dihadapkan antara dua pilihan yang pelik dan dilema, sebagaimana ceramah yang pernah dia dengar dari seorang ustazah di sebuah saluran tv. Dalam pada itu, jika dia solat Istikharah apakah dia pasti akan menemukan jawapannya. Apakah Allah s.w.t. akan menunjukkan pilihanNya melalui tanda-tanda yang dikirimNya? Begitulah. Bagi penulis sendiri, kes Aishah adalah perkara yang sering terjadi. Sebahagian kita masih ada yang belum memahami betul apa sebenarnya istikharah itu. Banyak anggapan keliru soal makna istikharah.
Makna Istikharah
Nama istikharah itu diambil dari kata bahasa Arab: istakhaara-yastakhiru-istikharan, yang bermakna meminta [mengharapkan] sebuah pilihan atas suatu persoalan. Secara istilah, istikharah itu bererti permohonan seseorang kepada Allah untuk dipilihkan suatu hal terbaik sesuai “pertimbangan” Allah, bukan pertimbangan dirinya sendiri, melalui wasilah solat atau pun doa-doa. Kerana itulah, solat sunat Istikharah adalah solat meminta petunjuk dari Allah agar Dia ikut menentukan proses pemilihan perkara seorang hamba yang hatinya tengah bimbang. Yang menjadi persoalan, sebahagian kita masih menganggap solat [cara] Istikharah itu hanya boleh dikerjakan saat terjebak dalam dua pilihan yang sulit. Hal ini tentu saja sangat keliru, sebab laku istikharah itu boleh dikerjakan kerana adanya satu perkara dimana seseorang bingung memutuskan “ya” atau “tidak”. Misalnya dalam kes Aishah di atas; ia sebetulnya tak usah khuatir untuk beristikharah. Meski hanya ada satu pemuda, bukan dua pemuda, yang berniat ingin melamarnya, dia masih boleh menjalani solat Istikharah untuk meminta petunjuk Allah: Apakah harus terus atau tidak? Apakah harus dilanjutkan atau tidak hubungannya ke arah yang lebih serius?
Anjuran beristikharah bukan hanya saat menghadapi persoalan besar saja, sebagaimana lazimnya, seperti soal jodoh dan perniagaan. Dalam masalah-masalah kecil pun, seseorang boleh melakukan istikharah. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah salah seorang di antara kamu meminta kepada Tuhannya, sampai pun itu dalam masalah tali sepatunya.” Terkait sabda Nabi s.a.w. tersebut, Imam Hajar Asqalani dalam Fathul Bari meneguhkan: “Solat Istikharah mencakup urusan-urusan besar mahupun kecil. Berapa banyak masalah kecil merupakan sumber masalah-masalah besar.” Memang, tuntutan beristikharah menjadi penting dan sangat dianjurkan kerana pilihan [keputusan] seseorang seringkali sangat subjektif dan penuh dengan muslihat serta gejolak nafsu. Bukankah sesuatu yang terbaik dan indah menurut pengiraan manusia boleh jadi sesuatu yang terburuk dan jelek dalam ketentuan Allah. Begitu pula sebaliknya. Sebab,matematik manusia berbeda dengan matematik Allah. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Demikian penegasan Allah dalam QS. Al-Baqarah (2) 216. Sementara junjungan kita, Rasulullah suatu kali pernah berkata kepada sahabat Anas r.a. “Hai Anas, jika engkau ingin melakukan sesuatu, maka mintalah pilihan kepada Tuhanmu sebanyak tujuh kali, kemudian periksalah ke dalam hatimu, mana yang lebih mantap, kerana sesungguhnya kebaikan terdapat di situ.”
Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2011 di pasaran...
Monday, June 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment