DIA, barangkali, bukan siapa-siapa. Bukan pemegang jawatan penting, bukan juga pelaksana projek negara di sebuah institusi kerajaan. Dia hanya lelaki kecil, lelaki tua dengan misainya yang putih menjuntai. Kulitnya legam, menggelambir disertai hidungnya yang agak penyek. Tubuhnya gemuk, begitu juga perutnya yang seperti ingin meledak di balik pakaian seragamnya. Sebuah kombinasi lahiriah yang tak menyedapkan untuk kerjayanya sebagai ‘pengawal keselamatan’. Entah alasan apa bila pihak syarikat perumahan itu menerima dirinya sebagai pengawal keselamatan: untuk sekadar ‘asal ada’ atau kerana dia memang ada kebolehan dalam ilmu bela diri? Entahlah. Itu hanya dugaan saya saja. Dan saya tidak akan pernah memikirkan alasan perlantikannya. Hanya satu hal yang membuat saya tergugah tentangnya: senyuman khasnya yang lebar. Sebuah senyum yang menghapus semua kekurangan fiziknya yang kian goyah dimakan usia itu. Ketulusan senyumnya, untuk saya yang tak dikenalnya, untuk setiap tatap mata kami yang bertentangan di setiap perjumpaan, adalah keindahan hidup yang jarang-jarang dinikmati. [Bukankah banyak senyum tak tulus di zaman ini; senyum terpaksa, senyum sinis, senyum basa-basi, senyum pura-pura, dan lain-lainnya?] Sementara senyum lelaki tua itu ada kecualinya. Dia tulus. Dia memancar dari jiwa yang ingin bersahaja, ingin menebar kesantunan, kebaikan. Senyum dari jiwa akan ditangkap dengan jiwa pula. Begitu lapang. Begitu senang. Tak ada beban, tiada ketersembunyian. Dia menyembul memang semacam memberi tenaga positif bagi siapa pun. Ada ghairah hidup yang bersahaja atas kurniaNya. Kebersyukuran menerima hidup dengan riang dan bersemangat. Saya jadi tambah mafhum kenapa kajian ilmiah dunia kedoktoran menyatakan senarai manfaat dari sebuah senyum. Mereka yang tersenyum dengan ikhlas dan tulus adalah mereka yang menurut penelitian, mampu menghidupkan sistem kekebalan atas penyakit psikologi dan fizik. Mereka mampu menghempaskan stres di hati, menghalau kesedihan, menumbuhkan kepercayaan diri, mengurangi tekanan darah, mengeluarkan endorphins [zat pereda rasa sakit secara semulajadi], mengencangkan kulit, dan sejumlah kesan positif lainnya. Tentu saja, yang tak kalah pentingnya, mereka yang tersenyum dengan tulusnya adalah mereka yang mampu membahagiakan orang lain. Dia menghibur hati seseorang tanpa modal. Dia telah bersedekah tanpa perlu menggeluarkan wang. Dan bukankah, sebenarnya, ‘spirit’ bersedekah itu hujung-hujungnya mengarah ke sana: membuat hati seseorang menjadi riang dan bahagia. Kerana, tak aneh, bila Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.” [HR. Termizi]
Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2011 di pasaran...
Monday, June 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment