KALAU kita mahu bercerita tentang sikap orang-orang Melayu/Islam zaman penjajahan British dulu, lima bulan pun tak habis-habis kisahnya. Macam-macam kisah ada berlaku. Ada cerita yang semuanya melanggar perintah Allah s.w.t. Tidak ada perkara dibuat yang tidak melanggar perintah Allah dan Rasulnya, semuanya ada dibuat.
Malah, cerita sesudah kita Merdeka pun, ada berbagai kisah yang menarik yang dilakukan oleh orang-orang Melayu/Islam, terutama mereka yang memegang jawatan-jawatan utama dalam Kerajaan British dulu. Soal orang-orang Melayu/Islam minum arak, janganlah nak cerita lagi...Depa ni teguk arak macam minum air sejuk yang diambil dari dalam tempayan. Mereka dulu bertuankan “orang putih”, jadi, apa yang tuan mereka buat, makan, minum, mereka pun ikut sama perbuatan tersebut. Orang-orang Melayu terutama mereka yang berpelajaran Inggeris dan ada kedudukan dan kuasa dikalangan orang-orang Melayu dianggap sebagai nasionalis Melayu. Mereka ini dianggap sebagai pejuang bangsa, tetapi “arak” tetap juga togok, kerana tuan mereka “mat Saleh” cekik arak. Mereka ini bukan tak tahu tentang soal agama, tetapi tidak cerdik dalam bidang tersebut. Kalau dah berkahwin dengan orang-orang yang tidak ada agama, apa lagi setiap saat melanggar perintah Allah dan Rasulnya, tentulah payah nak cari dan nak dapatkan kebaikan ketaatan tersebut. Zaman British dulu pun, masjid tidak banyak dibina. Tidak ada masjid baru dibina atau pun diubah sesuai. Kalau pun ada masjid atau pun surau, itu pun yang lama-lama punya. Kata orang, masjid itu dibina zaman “tok kaduk” dulu. Itulah yang ada di kampung-kampung. Itu pun, tidak ramai yang datang ke masjid. Malah, masjid-masjid yang ada kelihatan lengang saja. Orang-orang Melayu/Islam tidak begitu dekat kepada agama. Guru agama pun tidak ada di kampung-kampung. Kalau ada pun, hanya sebagai kadi menikahkan orang. Itu pun mereka ini dilantik sebagai juru nikah dari kalangan imam-imam itu sendiri. Zaman pemerintahan British orang-orang Melayu/Islam semuanya bersatu. Mereka berpakat dalam sesuatu. Mereka tidak berpecah seperti sekarang ini. Cuma zaman itu tidak ramai yang bijak. Kalau pun ada yang bijak, cara berfikir mereka ialah “berfikir cara orang putih”. Semuanya mereka “sebat”. Bagi mereka tidak ada larangan, tidak ada pantang larang langsung, sama ada dari segi makanan, perbuatan dan kerja-kerja lainnya dalam masyarakat. Kalau mereka merasa mahukan seorang wanita dalam kampung itu, apa lagi kalau wanita itu “ibu tunggal”, mereka boleh lakukan “zina”. Mereka tak takut dengan “dosa”. Mereka tidak tahu hukum hakam agama yang melarang, dan yang tidak membolehkan berbuat “zina” macam itu. Apabila berlaku penghamilan, maka orang-orang kampung hanya “melihat” saja. Bagi “ibu tunggal” yang sudah dihamili itu tidak merasa “malu” atau pun merasa “bersalah” atas perbuatan mungkarnya itu.
Mereka merasakan bahawa “hamil” itu walau pun tanpa suami adalah perkara biasa. Bagi pentadbir negeri termasuk di kampung yang dikuasai oleh British zaman itu, tidak ambil peduli dan tidak ambil pusing. Bagi pentadbir British mereka tidak tahu hukum hakam agama, lebih-lebih lagi soal hukum agama Islam itu sendiri. Ketua-ketua syarak atau pun ketua-ketua agama dalam kampung seperti imam, penghulu, tok sidang dan apa juga yang boleh dianggap sebagai “ketua” tidak ambil kisah hal-hal serupa ini. Tindakan-tindakan drastik untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan dari segi agama tidak boleh diambil tindakan, kerana tidak ada undang-undang negeri yang membolehkan berbuat demikian, walau pun undang-undang Allah dan Rasulnya boleh dihukum. Nasionalis-nasionalis Melayu yang ada ketika itu pun tidak boleh buat apa-apa. Nasionalis-nasionalis itu tugas mereka untuk berjuang bagi membebaskan negara ini dari pentadbiran British. Nasionalis kita tidak mahu bahawa hasil mahsul negara ini terus menerus dibawa ke England. Getah kita, bijih timah kita, emas kita terus menerus digali dan hasilnya dibawa ke sana. Rakyat kita hidup menderita dan papa kedana.
Itulah sebabnya nasionalis-nasionalis kita tidak pernah putus asa terus berjuang. Dan soal agama, tidak diambil peduli sangat, dibiarkan begitu saja. Guru-guru sekolah zaman itu telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Sebahagian dari mereka dianggap sebagai nasionalis-nasionalis Melayu yang ekstrim. Diantara nasionalis-nasionalis Melayu yang hebat itu termasuklah Tun Ghaffar Baba, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Burhanuddin Al-Hilmi, Tun Razak, Tunku Abdul Rahman dan ramai yang lain.
Mereka inilah merupakan “barisan depan” dalam usaha merebut kemerdekaan negara dari British tanpa menumpahkan darah tidak sebagaimana negara-negara lain di dunia yang rakyatnya ramai terkorban kerana menuntut kemerdekaan negara. Mereka bersatu tenaga. Bersatu hati. Bersatu dalam perjuangan. Bersatu dalam ideologi. Mereka bersatu dalam fahaman politik. Pendeknya semuanya bersatu. Apabila negara sudah mencapai kemerdekaan, orang-orang Melayu/Islam mula tidak bersatu. Mereka berpecah dalam semua bidang. Pecah dalam fahaman politik. Pecah hati, pecah fahaman dan pandangan agama dan semuanya pecah. Perpecahan itu berlaku berlarutan hinggalah sekarang. Orang-orang Melayu/Islam berpecah dalam fahaman politik. Mereka tubuhkan parti-parti lain untuk dapat kuasa. Dalam penubuhan dan untuk merebut kekuasaan negara, dan merebut hati rakyat, maka timbul caci mencaci, dan tuduh menuduh antara orang-orang Islam itu sendiri.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2011 di pasaran...
Monday, June 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment