Monday, June 6, 2011

Sahabat Tanya Nabi s.a.w. Isi Kitab Nabi Ibrahim a.s.

KADANG-KADANG para sahabat Rasulullah s.a.w. bila duduk berbual dan berbincang dengan Baginda, mereka mengemukakan pertanyaan-pertanyaan mengenai Nabi-nabi dulu. Ada diantaranya bertanya tentang kitab yang diturunkan kepada Nabi Allah Ibrahim a.s. Kadang-kadang ada juga yang bertanya tentang kitab yang diturunkan kepada Nabi Allah Musa a.s. Mereka cuma mahu tahu apakah bentuk isi dan ayat-ayat yang terkandung dalam kitab-kitab tersebut. Mereka mahu tahu apakah isinya sama atau pun kata-kata yang terkandung dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya: Daripada Abu Zar r.a. berkata: “Aku bertanya kepada Nabi s.a.w., Kataku, wahai Rasulullah bagaimanakah kitab yang diturunkan ke atas Nabi Ibrahim a.s.? Jawab baginda: “Kitab itu merupakan perumpamaan-perumpamaan belaka, misalnya: Wahai raja yang angkuh yang sentiasa diuji dan terpedaya: Aku tiada mengangkatmu menjadi raja untuk engkau mengumpul harta kekayaan bertimbun-timbun. “Akan tetapi Aku mengangkatmu menjadi raja supaya mendengar pengaduan orang yang teraniaya, lalu engkau mengadilinya, kerana sesungguhnya Aku tiada pernah menolak pengaduan orang yang teraniaya itu, sekalipun dari seorang kafir. “Orang yang waras fikiran, yang tiada terpengaruh oleh akal fikirannya, harus menyediakan beberapa masa. Masa untuk bermunajat kepada Tuhan. “Masa untuk meneliti diri. Masa untuk merenungkan keanehan ciptaan Allah Taala. Masa untuk mengurus segala keperluan diri, seperti makan dan minum. “Orang yang waras fikiran, jangan sampai menghabiskan masanya kecuali kepada tiga perkara. (1) Menambah amal untuk Hari Akhirat. (2) Mencari rezeki untuk penyambung hidup. (3) Mengecap kelazatan bukan dari yang haram. “Orang yang waras fikiran harus meneliti masanya, mengambil berat terhadap urusannya, sentiasa memelihara lidahnya. Barang siapa yang menjadikan tutur bicaranya terhitung dari amalannya nescaya sedikit tutur bicaranya kecuali pada perkara-perkara yang perlu belaka. “Kemudian aku (Abu Zar) bertanya lagi: “Duhai Rasulullah! Bagaimana pula kitab yang diturunkan ke atas Nabi Musa a.s.?” Jawab baginda: “Kitab itu merupakan kumpulan ibarat dan tauladan belaka, umpamanya: Aku hairan bahawa manusia itu tahu ia akan mati tetapi bagaimana pula ia terus bersuka ria saja. Aku hairan juga bagaimana ia boleh terus gelak ketawa, sedang ia mengetahui di sana ada api neraka! Aku hairan juga bagaimana ia boleh berangan-angan besar, sedang ia tahu bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Qadar (ketentuan Tuhan). “Aku hairan juga betapa manusia mengenal dunia dan perubahannya yang kerap, tetapi bagaimana ia boleh merasa aman dan sentosa kepadanya! Aku hairan juga betapa manusia yakin bahawa ia akan dihisab (di hari Kiamat), tetapi ia tiada beramal!”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2011 di pasaran...

No comments: