ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca tersayang, pelbagai peristiwa berlaku di dalam dan di luar negeri. Setiap hari, setiap masa. Itulah yang dinamakan dunia. Namun masa terus berjalan, tanpa menoleh ke belakang. Kita juga turut terkejar-kejar dengan masa. Bagaikan tak cukup nafas untuk kita berlumba dengannya. Sedangkan perlu kita fahami, masa yang dikejar itu menandakan usia kita semakin pendek. Kian hari semakin dekat kita melangkah ke pintu kubur.
Dalam keadaan begini, Hidayah turut muncul juga menemui anda. Hidayah tetap dengan mesejnya berdakwah melalui penulisan. Saling ingat mengingatkan sesama insan selaras dengan anjuran surah Al-‘Ashr (masa).
Peringatan paling tepat ialah mengenai kematian. Setiap hari kita menyaksikan kematian di sekitar kita. Tak kira usia tua atau muda. Mati juga ada pelbagai cara. Kemalangan jalan raya, mati sakit tua, mati terbunuh dan sebagainya. Keluaran kali ini juga kita paparkan kisah kematian. Kisah iktibar pertama mengenai kematian ‘husnul khatimah’ tiga pelajar pondok tahfiz yang mati lemas yang salah seorangnya sedang erat memeluk naskhah Al-Qurannya. kematian lainnya pula mengenai jenazah yang dikebumikan dalam keadaan diiringi petir berdentum. Sementara itu dipaparkan juga mengenai akhir hayat seorang lelaki muda yang menemui ajal dalam disko ketika bersukaria meraikan sambutan hari jadinya. Memang benarlah... kisah kematian tidak akan habis-habis untuk diceritakan. Kita juga tidak tahu cara kita mati kelak, bila kita akan mati, namun berdoalah agar kita mati dalam keadaan ‘husnul khatimah’. Janganlah diaibkan mati dalam keadaan sebaliknya. Untuk renungan bersama, eloklah kita hayati pesanan Nabi Isa a.s. yang bersabda sebagai berikut: “Dunia itu hanya tiga hari: Hari yang telah lampau (kelmarin) tidak ada apa-apanya lagi. Dan esok yang sedang kau nanti-nantikan masih merupakan tanda tanya, apakah engkau boleh sampai atau tidak. Serta hari ini yang kini sedang kau jalani, maka pergunakan kesempatan itu sebaik-baiknya.” Terima kasih dengan sokongan anda yang berterusan. Kepada para pembaca yang baru dialu-alukan anda untuk beristiqamah terus dengan Hidayah. Sampai menyampaikanlah kepada saudara mara, sahabat handai dan jiran-jiran anda mengenai majalah ini. Anda akan memperolehi pahala amal jariahnya. Amin.
Wassalam!
Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my
Monday, June 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment