Monday, May 12, 2014

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Hanya sekadar mengingatkan, kita tidak lama lagi akan menyambut Ramadan 1435. Bulan yang mulia ini akan tetap datang setiap tahun. Namun yang belum pasti dapat menyambutnya ialah kita-kita inilah.
Tempoh yang dekat ini macam-macam boleh berlaku. Orang yang sihat walafiat, tiba-tiba jatuh sakit terkena ‘stroke’ dan terlantar untuk jangka waktu lama. Ada sahabat yang hari ini kita bergurau senda, berbual mesra esoknya kita dengar dia telah pergi mendahului kita. Dan lebih tragisnya, kita sendiri yang pergi terlebih dulu. Sedar-sedar diri kita diusung masuk dalam keranda dan dibawa ke kereta jenazah dan kemudian ke tanah perkuburan. Masa itu tidak ada kawan, tak ada sahabat, sanak saudara yang dapat menemani kita. Yang bersama-sama kita ialah amal ibadat kita, amal bakti kita, sedekah jariah kita atau amalan anak-anak kita yang salih. Adakah kita memiliki anak-anak yang salih dan salihah? Untuk mendapatkan anak yang salih dan salihah, kita perlu menjadikan diri kita juga anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa kita. Kalau kita tidak lagi mempunyai kedua ibu bapa, doakanlah mereka setiap kali lepas solat lima waktu. Pohonlah keampunan dosa-dosa mereka dan pintalah mereka semoga termasuk dalam golongan orang-orang beriman dan bakal ahli syurga. Tak kiralah berapa umur kita sekarang, 30, 40, 50, 60. Atau kalau lebih dari itu kenalah lebih berwaspada terhadap amal ibadat. Kenalah lipat gandakan amalan kebajikan. Usia emas ini jangan fikir lagi hal-hal duniawi. Jangan fikir nak cari harta berlipat ganda. Jangan fikir nak tambah harta untuk senang anak cucu kita. Dunia di alam barzakh adalah dunia yang serba canggih. Belum sesiapa yang pergi ke sana kembali semula ke dunia ini untuk memberitahu kita betapa keadaan alam barzakh itu. Yang kita tahu ialah melalui Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. (Sila baca “perbuatan Kita Di Dunia Akan Didedahkan di Padang mahsyar”) Kerana itu dalam menanti-nanti untuk ke alam barzakah itu, doakan semoga kita di beri kesempatan sekali lagi menyambut Ramadan akan datang ini. Semoga Ramadan ini akan memberi kesempatan kepada kita sekali lagi menyucikan dosa-dosa kita yang lalu. Ulama berkata: “Dari Ramadan hingga Ramadan yang akan datang, dan haji ke haji, dan Jumaat ke Jumaat dan sembahyang ke sembahyang yang lainnya menjadi penebus dosa-dosa yang terjadi diantaranya selama ditinggalkan dosa-dosa yang besar-besar.” Sebenarnya kita hendaklah bersangka baik dengan Allah s.w.t. Mungkin sebilangan kita merasa rendah hati untuk menjadi seorang ‘sufi’, namun apalah salahnya kita berusaha meletakkan diri menjadi orang-orang yang bertakwa, iaitu maqam yang boleh dicapai oleh orang-orang biasa macam kita-kita ini. Seperti biasa, Hidayah keluaran ini terus menghidangkan pelbagai rencana yang bermanfaat untuk dihayati. Semoga anda dapat memberi tahu saudara mara dan sahabat handai mengenai “Hidayah’ ini agar mereka dapat bersama-sama menjadi pembacanya.
Wasalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: