Thursday, November 7, 2013

Fahami Hukum Mencium Hajar Aswad

RAMAI orang yang ingin sekali dapat memegang dan mencium Hajar Aswad saat beribadah haji khususnya atau umrah. Kadang-kadang untuk mewujudkannya harus berdesak-desakan dan saling rebut merebut dan berasak-asakkan. Persoalannya: Apa keistimewaan Hajar Aswad sehingga semua orang demikian ghairah ingin menciumnya? Seharusnya kita hendaklah memahami dan mendalami apakah mencium atau mengucup Hajar Aswad itu dari sudut hukumnya. Hajar Aswad itu adalah sebahagian dari Kaabah, terletak di satu sudut Kaabah. Rasulullah s.a.w. mencontohkan sendiri, yakni tatkala memulai tawafnya dengan mencium Hajar Aswad. Ada satu riwayat bahawa Khalifah Umar bin Khattab waktu mencium Hajar Aswad, ia melontarkan kata-kata seperti berbicara kepada batu tersebut:”Saya tahu kamu itu hanyalah sekadar batu. Seandainya saya tidak melihat Rasulullah s.a.w. mencium kamu, aku juga tidak akan mencium kamu.”
Ertinya ini adalah satu penegasan yang bagus sekali bahawa kita tidak boleh mencium Hajar Aswad dengan macam-macam khayalan seakan-akan haji kita tidak sah jika tidak mencium Hajar Aswad. Sebab mencium Hajar Aswad tidak termasuk rukun haji, juga tidak termasuk rukun tawaf. Kalau ada kesulitan kerana berdesak-desakan, kita dibolehkan mencium dari jarak jauh, dengan cara melambaikan tangan lalu tangan itu kita cium. Jadi cara mencium, tidak harus langsung. Kalau memang berpeluang, ertinya ada ruang bagi kita mencium Hajar Aswad langsung itu yang paling baik. Tapi jika tidak boleh langsung kerana kesulitan mendekati Hajar Aswad, pilihan yang dikatakan Rasulullah s.a.w. adalah dengan mencium dari jarak jauh seperti di atas (istilam namanya). Mencium Hajar Aswad itu semata-mata mengikuti cara Nabi dalam rangka menyempurnakan manasik haji. Kerana ada penegasan Nabi s.a.w., “Lakukanlah solat sesuai dengan apa yang aku lakukan.” “Lakukanlah segala macam manasik haji sesuai dengan apa yang aku lakukan.” Jadi semata-mata ittiba’ (mengikuti cara Rasulullah s.a.w. melaksanakan ibadah). Sekali lagi, mencium Hajar Aswad bukan rukun juga bukan wajib, hanya merupakan kesempurnaan kerana mengikuti sepenuhnya cara Rasulullah s.a.w. melaksanakan ibadah haji.

Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2013 di pasaran...

No comments: