Thursday, November 7, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t.
Menyongsong bulan November ini merupakan bulan yang mendebarkan bagi kalangan ibu bapa dan pelajar-pelajar yang menunggu keputusan UPSR disamping Peperiksaan SRA. Tahun menduduki tingkatan 1 dianggap peralihan yang penting bagi anak-anak kita. Yang bernasib baik dapatlah melangkah ke sekolah berasrama penuh sementara yang lainnya meneruskan ke sekolah menengah biasa. Bagaimanapun, baik bersekolah asrama atau tidak ianya bukan jaminan kejayaan. Kita sepatutnya bersyukur dalam sistem pendidikan negara kita yang tercinta ini menjamin tidak ada anak-anak yang tercicir ke sekolah menengah. Tempoh lima tahun mendatang itulah yang penting bagi menentukan para pelajar ini bergelut menimba ilmu dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi. Sebagai ibu bapa, seharusnya menjadi tanggungjawab memberi ilmu kepada anak-anak kita. Namun jangan dilupakan, bahawa disamping bergelut dengan akademik ini hendaknya jangan diabaikan pengajian agama dan pembentukan peribadi/akhlak yang akan menjamin kebahagiaan hidup anak-anak kita di dunia dan akhirat. November yang menyongsong tiba ini juga bererti kita akan menyambut Awal Muharram 1435. Tahun baru Islam ini kadang-kadang bagai sengaja terlupa kerana kurangnya keghairahan meraikan kedatangannya berbanding menyambut tahun baru Masihi. Sedangkan sambutan Awal Muharram ini adalah terpenting dalam sejarah Islam sebagai titik tolak kecemerlangan syiar Islam di muka bumi Allah ini. Namun ketika menyambut kedatangan tahun baru ini janganlah hanya berazam setahun sekali saja. Setiap masa dan peralihan hari ini hendaklah kita semaikan tekad dan azam menjadi ‘Hamba Allah’ yang bertakwa. Hayatilah tiga ayat dalam surah Al ‘Ashr yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” Dalam melangkah masa-masa ini, Hidayah turut bersyukur kerana diberi Allah peluang untuk menemui anda dalam usia memasuki belasan tahun ini. Dengan rendah hati dan sederhananya kami ini, tidak salah menyusun kata-kata: “Tanpa anda apalah ertinya kami di sini”. Terima kasih kepada pembaca budiman. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
Wassalam! 

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: