Tuesday, April 15, 2014

Salam Kami


ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca budiman, keluaran ini kami memilih kisah iktibar yang memaparkan tentang ketulusan doa dan munajat seorang suami yang salih yang akhirnya dengan kehendak Allah s.w.t. jua akhirnya dapat menyembuhkan penyakit yang dideritai isteriya. Si suami ini bukan seorang ‘bomoh’ atau pengamal perubatan tradisional, tapi seorang ‘hamba Allah’ yang jujur dan telus cintanya terhadap pasangan hidupnya. Ianya wajar dijadikan iktibar buat para suami dalam melayani cinta terhadap pasangan hidupnya. Kisah ini memberi kesan positif bahawa kejujuran, pengorbanan dan ketulusan cinta itu adalah lahir dari kalangan orang-orang beriman tidak kira lelaki atau perempuan.
Bagi peminat kisah sufi, kisah penolakan cinta Rabiyah Al-‘Adawiyah memang menarik dan luar biasa. Walaupun tak mungkin ada wanita yang mencapai mertabat ahli sufi terkenal ini, namun dari sudut moralnya kalangan wanita boleh menjadikan kisah ini sebagai sumber inspirasi dalam meningkat ‘kesucian jiwa’ dalam merenangi hidup penuh bergelora ini. Hidayah juga memaparkan rencana bertajuk ‘Berbanggalah menjadi perempuan’ dimana rencana berkenaan mengajak pembaca berfikir bahawa kaum wanitalah pengembang warisan hidup insan dan tokoh-tokoh mulia dunia dari dulu hingga sekarang. Dari belaian tangan mereka lahirnya generasi-generasi lelaki dan wanita yang mempunyai jasa besar dari dulu hingga terkini dan masa-masa mendatang. Tidak lupa dalam keluaran ini, Hidayah juga mengajak pembaca merenungi kehidupan orang-orang Melayu dalam era 50an dan 60an di Kuala Lumpur. ABI mengambarkan  bagaimana daifnya orang Melayu waktu itu baik dalam soal ekonomi atau pegangan agama yang jauh berbeza dengan sekarang ini. Sementara itu banyak lagi rencana-rencana lain dalam majalah ini yang anda boleh hayati dan renungkan tentang hakikat hidup kita ini. Walaupun Hidayah bukanlah majalah untuk orang sufi, namun apalah salahnya kami mengajak anda untuk merintis ke jalan itu. Dengarkanlah apa kata seorang ahli sufi yang bermadah: “Andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui tentu kamu sedikit tertawa dan banyak menangis, dan andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya akan sujudlah salah satu kamu hingga putus belakangnya, dan akan menjerit sehingga habis suaranya. Menangislah kamu kepada Allah, jika tidak dapat menangis maka tangis-tangiskanlah sehingga menyerupai orang-orang yang menangis.”
Pembaca budiman, fikir-fikirkanlah dosa-dosa kita yang lalu, sebab ia telah berbuat dosa itu tetap tidak mengetahui apakah ianya dimaafkan atau tidak. Terima kasih yang berterusan kerana anda terus menjadi pembaca setia Hidayah. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
Wassalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid.

No comments: