SESAK di dada perempuan berusia setengah abad itu masih begitu lara. Sukmanya serupa tak bertuan saat mengenang anaknya. Air matanya tak kunjung kering bila mengingatnya kembali. Ia faham benar bahawa setiap anak mempunyai pilihan hidupnya, terlebih selepas ia dewasa dan berkahwin. Tapi kalbunya bukan batu karang yang mudah menghalau badai. Dan kini, badai itu adalah titisan darahnya sendiri. Buah hatinya yang berbeda kefahaman agama. Keyakinan anaknya. Laku ibadahnya. Ehwal janji-janji syurganya. Tentang tafsir-tafsir Teks Suci “aneh”-nya. Semua berbeda. Tampak asing dan penuh tanda tanya. Semua itu kian meneguhkan satu rasa yang mengendap di benaknya: kegagalan dirinya menjadi ibu. Dan kerana gagal itulah, ia merasa sangat berdosa. Meski ia tahu bahawa setiap dosa, selepas seseorang mukallaf, adalah milik si empunya diri, bukan lagi pertanggungan ibu bapanya. Masing-masing orang kelak di Hari Penghisaban akan mempertanggungjawabkan perbuatannya. Tapi, ia manusia biasa; ia bukan Nabi, yang imannya sudah teruji. Waktu berlalu. Ruang kian berubah. Tapi jiwanya belum juga menerima perbedaan itu, kefahaman iman anaknya. Ia sesekali masih diharu keliruan mengenang anaknya itu. Untuk menghibur diri, kadang ia mengenang junjungannya, Nabi Muhammad s.a.w., yang meratap pilu saat bapa saudara yang dicintainya, Abu Thalib, akan pergi untuk selamanya. Seorang yang hatinya putih tiba-tiba dipanggil sebelum sempat menghabiskan diri menjadi muslim. Nabi s.a.w. menyesal kerana tak mampu menyuluh sinar ‘hidayah’ ke dalam kalbu bapa saudaranya itu. Perempuan setengah abad itu membatin: bukankah Rasulullah sendiri, yang akhlaknya begitu luhur, yang posisinya begitu mulia di keharibaanNya, tak kuasa juga mengendalikan iman bapa saudaranya itu, hingga kemudian turunlah titah Rabb yang berbunyi: “Sesungguhnya kamu [Muhammad] tidak akan dapat memberi hidayah [petunjuk] kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima hidayah [petunjuk],” [QS.28: 56] ? Lalu, bagaimana dengan dirinya? Perempuan biasa, seorang ibu kebanyakkan yang barangkali lebih banyak menimbun dosa berbanding pahala? Perempuan itu lalu teringat secuil ilmu yang pernah diserapnya di taklim ibu-ibu: bukankah jauh sebelum Muhammad lahir untuk menyuluh bumi yang Jahiliah sudah ada hikayat keyakinan yang memang tidak boleh dipaksakan? Kisah Nabi Luth, misalnya, yang tidak boleh menyeru keyakinan yang sahih kepada isterinya. Pun tentang Nabi Nuh yang akhirnya sedar bahawa isteri dan puteranya tidak dapat seiman dengannya. Kalau sudah demikian, tekanan emosi di tubuhnya mengendur. Ia merasa lebih lapang. Dan ia masih bersyukur kalau anaknya bukan manusia yang kerap diberitakan media massa: orang-orang muda yang rela mati terkait jaringan keganasan. Ia juga berterima kasih kepada Allah anaknya bukan watak pemuda yang mudah mengkafirkan sesama muslim dan lalu menterjemahkannya dalam tindak kekerasan demi memaksakan keyakinannya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...
Monday, September 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment