APABILA umat Islam pada masa awal telah memiliki kemampuan untuk menulis dan membaca, dan apabila Nabi Muhammad s.a.w. telah menganjurkan para sahabat untuk menulis hadis, maka pertanyaan yang mucul sekarang adalah apakah ada suatu dokumen yang membuktikan bahawa para sahabat telah menulis hadis pada masa itu, atau dengan kata lain apakah ada kitab-kitab hadis yang ditulis pada masa awal Islam? Pertanyaan semacam ini selalu muncul ke permukaan kerana masih ada sementara orang yang beranggapan bahawa orang yang pertama kali menulis hadis adalah Ibnu Syihab al-Zuhri pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kerana al-Zuhri meninggal dunia pada tahun 123 H, maka ada orang yang berkesimpulan bahawa penulisan hadis yang pertama kali itu dilakukan jauh sesuydah Nabi s.a.w. wafat. Kerana jauhnya jarak antara masa hidup Nabi s.a.w. dengan penulisan hadis beliau, maka mungkin sekali terjadi pemalsuan-pemalsuan terhadap hadis sehingga kebenarannya tidak dapat dipertanggungjawabkan, dan kerananya hadis tidak dapat dijadikan sumber syariat Islam. Meskipun anggapan di atas telah dijawab bahawa apa yang dilakukan al-Zuhri itu adalah mengumpulkan tulisan-tulisan hadis, bukan menulis hadis untuk pertama kalinya, namun pertanyaan di atas tetap menggoda sementara orang mengingat Al-Quran merupakan kitab tertulis yang ditinggalkan Nabi s.a.w. sehingga layak menjadi sumber syariat Islam, berbeza hanya dengan apa yang disebut hadis. Sebenarnya pengertian Al-Quran sebagai kitab tertulis sejak masa Nabi s.a.w. perlu dijelaskan kembali. Masalahnya, Al-Quran dalam bentuk kitab atau buku seperti yang dikenal sekarang ini belum pernah ada pada masa Nabi s.a.w. Al-Quran dalam bentuk kitab (mushaf) baru ada pada masa Khalifah Abu Bakar al-Shiddiq. Tepatnya, setelah terjadinya Perang Yamamah tahun 2 H, di mana gugur tujuh puluh orang yang hafal Al-Quran sebagai syuhada. Kemudian atas anjuran Umar bin al-Khattab dibentuklah panitia penulisan kembali catatan-catatan Al-Quran sehingga Al-Quran termaktub dalam bentuk kitab (mushaf). Kerananya, tidaklah tepat menganggap hadis tidak memiliki ‘kekuatan hukum’ sebagai sumber syariat Islam, kerana ia tidak pernah dibukukan pada masa Nabi s.a.w.
Seandainya pendapat ini dibenarkan, maka kita juga harus menolak Al-Quran sebagai sumber syariat Islam kerana Al-Quran juga tidak pernah dibukukan pada masa Nabi s.a.w.
Alat-alat Tulis Klasik
Ketika ayat-ayat Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia langsung ditulis di atas pelepah-pelepah kurma, potongan-potongan kulit binatang, tulang-tulang dan benda-benda lain yang ada pada waktu itu.
Sementara kertas, meskipun sudah dikenal oleh bangsa Arab sebelum Islam datang, namun tidak ada kejelasan apakah kertas sudah dipakai untuk menulis Al-Quran dan Hadis Nabawi pada masa itu. Yang jelas, penggunaan kertas sebagai alat tulis baru berkembang di dunia Islam sesudah dibebaskannya Mesir oleh ‘Amr bin al’-Ash (pada masa Khalifah Umar bin al-Khattab). Ada sebuah sumber yang menuturkan bahawa kertas disebut-sebut dalam peristiwa terbunuhnya Khalifah Uthman bin Affan, di mana Fatimah binti Syuraik memasukkan Marwan bin al-Hakam ke dalam sebuah rumah yang berisi kertas. Bila demikian, maka kertas telah digunakan sebagai alat tulis sejak masa Khalifah Uthman. Namun sekali lagi tidak ada kejelasan apakah kertas telah dipakai sebagai alat tulis pada masa Nabi s.a.w.
Kitab dan Shahifah
Ada beberapa istilah yang dipakai oleh ahli-ahli hadis klasik untuk menunjuk kepada catatan-catatan atau tulisan-tulisan hadis. Istilah-istilah itu ialah daftar, kurrasah, diwan, kitab, shahifah, tumar, darj dan lain-lain. Daftar, kurrasah, diwan, kitab, dan shahifah adalah alat tulis yang daftar di mana bentuk luarnya mirip buku yang dikenal sekarang ini. Sementara tumar dan darj biasanya merupakan alat tulis yang panjang dan digulung. Berbeza halnya dengan buku-buku yang dikenal sekarang ini, di mana pengarang atau penulisnya memberikan nama tertentu untuk karya tulisnya itu, kitab-kitab pada masa awal Islam tidak selamanya demikian. Tidak kurang dari lima puluh dua orang sahabat Nabi s.a.w. telah menulis kitab (shahifah) yang berisi hadis-hadis yang mereka terima dari Nabi s.a.w., atau mereka menurunkan hadis-hadisnya kepada para muridnya. Namun mereka tidak memberikan nama tertentu kepada kitab-kitab yang mereka tulis, kecuali beberapa orang saja yang akan diperkatakan nanti. Misalnya sahabat Ali bin Abu Talib, beliau memiliki shahifah (buku) yang selalu diikatkan di pedangnya. Shahifah ini berisi hadis-hadis Nabawi tentang hukum pidana, zakat dan sebagainya. Kerana shahifah itu tidak memiliki nama tertentu akhirnya ia hanya dikenal sebagai “Shahifah Amir al Mu’minin Ali bin Abu Talib”. Terkadang shahifah beliu itu juga disebut dengan kitab saja. Seperti dituturkan oleh anak beliau sendiri Muhammad bin Ali bin Abu Talib (meninggal dunia 81 H) yang popular dengan panggilan Ibn al-Hanafiyah. Katanya, “Ayahku berkata, Ambillah kitab ini dan bawalah kepada Uthman.” Sahabat Abdullah bin Mas’ud r.a. juga mempunyai kitab Hadis yang ditulis dengan tangan beliau sendiri. Begitu pula para Sahabat yang lain, seperti Sa’ad bin Ubadah al-Anshari (meninggal 15 H), Abu Rafi’ mantan hamba Nabi s.a.w.(meningggal 35 h), Asma binti Umais (meninggal 38 H), Samurah bin Jundub (meninggal 60H), Abdullah bin Umar (meninggal 73), Jarir bin Abdullah (meningal 78H) dan lain-lain, mereka memiliki, kitab-kitab Hadis.
Shahifah al-Shadiqah
Di samping istilah Shahifah, ada juga istilah nuskhah, seperti Nuskhah Samurah bin Jundub yang disebut di atas tadi. Pengertian nuskhah di sini sama dengan shahifah, iaitu catatan-catatan atau tulisan-tulisan Hadis. Baik nuskhah mahupun shahifah umumnya dinisbahkan (dikaitkan) dengan nama penulisnya, kerana - seperti dikatakan di depan - para penulisnya tidak memberikan nama tertentu bagi tulisannya itu. Namun demikian, ada sementara Sahabat Nabi s.a.w. yang sudah memberikan nama tertentu bagi karya tulisannya, seperti halnya orang sekarang. Misalnya, Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash (7 SH-65 H). Beliau memberikan nama bagi shahifahnya dengan nama al-Shadiqah. Sebagai seorang penulis ulung di kalangan para Sahabat, beliau memperoleh izin dari Nabi s.a.w. untuk menulis hadis-hadisnya. Kerananya, beliau banyak menulis hadis. Adalah Mujahid bin Jabr (21-104 H) yang pernah melihat Shahifah al-Shadiqah tadi di kediaman Abdullah bin ‘Amr. Ia bermaksud mengambil shahifah itu, namun segera dicegah oleh pemiliknya, Abdullah bin ‘Amr. “Jangan diambil,” kata Abdullah, “kerana ini adalah Shahifah al-Shadiqah yang berisi hadis-hadis yang aku terima langsung dari Rasulullah s.a.w.,” tambahnya.
Kemungkinannya, Abdullah bin ‘Amr adalah orang yang pertama kali menulis hadis di hadapan Nabi s.a.w. Kerananya, beliau merasa bangga sekali dengan kitabnya itu. Sampai beliau pernah mengatakan, “Tidak ada yang saya senangi di dunia ini kecuali al-Shadiqah dan al-Wahdh. Al-Shadiqah adalah shahifah (buku) yang berisi hadis-hadis yang saya tulis dari Nabi s.a.w., sedangkan al-Wahdh adalah tanah yang diwakafkan oleh ayahku Amr bin al-Ash”. Kitab al-Shadiqah ini disimpan oleh Abdullah di dalam sebuah peti kayu agar tidak rosak atau hilang. Dan menurut Ibn al-Atsir, kitab tersebut memuat seribu buah hadis, namun menurut sumber lain jumlah hadisnya hanya lima ratus buah saja. Sementara pada saat ini kita tidak dapat menemukan naskah asli kitab tersebut, yang ada hanyalah salinannya saja yang selengkapnya termuat dalam kitab al-Musnad karya Imam Ahmad bin Hanbal dan kitab-kitab yang lain. Walau bagaimanapun, kitab al-Shadiqah itu merupakan dokumen ilmiah yang sangat penting, kerana ia membuktikan adanya penulisan hadis di hadapan Nabi s.a.w. sendiri dan atas izin dari beliau.
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...
Monday, September 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment