BERHIAS untuk kelihatan cantik dan menarik bagi perempuan, seperti sebuah keperluan. Tak hairanlah bila banyak yang menganggap bahawa melakukan hal tersebut adalah sebahagian dari cara mereka menonjolkan fitrah dirinya. Mulai dari rambut, wajah, tangan, tubuh, sampai hujung kaki sekalipun. Bahkan hal kecil dari bahagian tubuh seperti kuku, tak terhindar dari bahagian yang tak terlepas disolekkan. Agar terlihat bersih dan menarik, kuku bukan hanya harus dibersihkan dan digunting/dipotong sebagaimana lazimnya. Lebih dari itu, kebanyakan dari mereka memberi pewarna kuku atau cat kuku. Warna-warni yang menarik itulah yang akhirnya membuat penampilan kuku semakin anggun dan mempesonakan.
Dalam Teropong ‘Fikih Islam’
Akan tetapi, bagi kaum muslimah, pewarna kuku ini boleh menjadi masalah, yakni ketika mereka melaksanakan ibadah solat. Apa sebabnya? Dalam Islam, kuku termasuk anggota tubuh yang wajib disucikan bila kita berwuduk atau mandi untuk menghilangkan hadas besar. Dan, cat kuku boleh menghalangi jalannya air yang akan mensucikan badan kita. Patut diketahui pula bahawa secara umum pewarna kuku merupakan zat pewarna yang membentuk lapisan kedap/kalis air. Sehingga air tidak boleh membasahi setiap kuku orang yang diwarnai oleh cat kuku ketika ia berwuduk. Sehingga bila dia berwuduk dalam keadaan memakai cat kuku, jelaslah bahawa wuduknya itu tidak sah, kerana di antara anggota tubuh yang harus dibasuh adalah kedua tangan hingga siku. Juga anggota kaki (jika sipemakainya turut mewarnakan kuku di kakinya). Padahal, syarat sah solat itu adalah berwuduk atau suci dari hadas. Dalam ilmu fikih dikatakan bahawa segala sesuatu yang menghambat sampainya air, tidak boleh digunakan oleh orang yang berwuduk atau mandi wajib. Allah s.w.t. berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan kakimu sampai dengan kedua mata kaki...” (QS. Al-Maidah: 6) Kerana itu dapat disimpulkan bahawa perempuan yang menggunakan pewarna kuku akan menghalangi sampainya air ke kuku dan ia tidak dapat dikatakan telah membasuh tangannya. Ini bererti pula bahawa ia telah meninggalkan suatu kewajipan dalam berwuduk atau mandi wajib. Dengan demikian dapat dikatakan pula bahawa tanpa wuduk yang sah, solatnya pun tidak sah. Senada dengan hal tersebut, Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin dalam Fatawa wa Rasa’il Asy-Syaikh Ibnu Utsaimin, 4/148 yang disusun Fahd As-Sulaiman, menyatakan bahawa cat kuku tidak boleh digunakan perempuan jika ia hendak solat, kerana cat kuku tersebut akan menghalangi mengalirnya air dalam bersuci (pada bahagian kuku yang tertutup oleh cat kuku tersebut), dan segala sesuatu yang menghalangi mengalirnya air (pada bahagian tubuh yang harus disucikan dalam berwuduk mahupun mandi untuk menghilangkan hadas besar), tidak boleh tertutup apapun, termasuk cat kuku. Untuk itu, bila ingin memakainya, pastikan bahawa seorang wanita muslimah itu sudah berwuduk sebelumnya. Pastikan pula bahawa dia pun boleh menahan segala hal yang membatalkan wuduknya. Dalam keadaan itulah, dia boleh melakukan solat dan solatnya sah. Namun bila batal wuduknya, tentu saja dia harus berwuduk lagi, dan untuk itu, dia harus menghapus dulu cat kuku agar wuduknya sah. Atau, jika memang tetap ingin memakainya namun tidak mahu diganggu oleh aturan bersuci, maka ketika haid merupakan masa yang paling aman atau sesuai dimana wanita boleh mewarnai kukunya.
Meniatkan Hal Baik
Kendati pewarna kuku dibolehkan dipakai, tetapi banyak kalangan ulama yang menasihat dan mengingatkan agar wanita muslimah berhati-hati menggunakannya. Mengingat adat kebiasaan menggunakan pewarna kuku merupakan sebagai kebiasaan khusus wanita kafir. Sedang dalam agama disebutkan bahawa siapa saja yang menyerupai kebiasaan suatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan kaum tersebut. Akan tetapi bila menyelidik dari semangat awal mewarnai kuku adalah demi menjaga kebersihan dan penampilan kuku, maka tentunya tidak menjadi soal. Islam tidak pernah melarang perempuan muslimah menonjolkan kecantikannya dalam bentuk apapun sepanjang hal yang dilakukan tidak bertentangan syariat agama. Justeru bila penampilan yang bersih dan cantik itu disalurkan sesuai dengan apa yang dihalalkan oleh Allah, maka akan menjadi ibadah. Misalnya bila seorang wanita berusaha tampil cantik dan menarik di depan suaminya dengan aneka ‘make-up’, termasuk salah satunya memakai pewarna kuku, tentu saja dibolehkan. Apalagi jika dengannya keharmonian hubungan suami isteri akan bertambah hangat kerana mempunyai si isteri yang tampil menarik. Tapi berapa kerat sangatkah golongan isteri yang menghias diri (termasuk mengecat kuku) semata-mata untuk dipandang cantik oleh suaminya? Wallahualam...
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...
Monday, September 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment