Monday, September 5, 2011

Mencapai Mahabbah Kepada Allah

RAHSIA utama dalam ibadat puasa ialah proses pendidikan jiwa yang membawa perubahan terhadap tiga aspek ketakwaan peribadi muslim, pertama tenang hati sanubari, perkataanya mulia, dan sentiasa membawa kebahagian. Hasil sama ada dalam tempoh jangka pendek atau jangka panjang ianya membawa kejayaan dunia dari apa jua bidang kehidupan dan mendekatkan seseorang itu serapat-rapatnya kepada Allah. Sekiranya ini berlaku sudah pasti kejayaan di akhirat akan diraih dengan dianugerahi Lailatul Qadar setiap sempurna ibadah Ramadannya. Berkata Imam Al-Ghazali, bahawa puasa itu mempunyai tiga martabat. Pertama: Puasa Umum - iaitu sekadar mencegah perut dan kemaluan daripada memenuhi kemahuan yang lazimnya, menahan diri daripada makan dan minum, bersetubuh di siang hari juga menahan diri dari apa saja yang membatalkan puasa secara perbuatan zahir. Golongan yang berada pada martabat ini adalah terdiri daripada mereka yang masih bergelumang dengan akidah yang longgar dan sekadar atau hanya rasa malu pada makhluk. “Sesungguhnya syaitan bergerak dalam tubuh anak Adam pada tempat perjalanan darah, maka sempitkanlah jalan pergerakanya dengan berlapar.” Maka lahirlah daripada martabat ini sifat-sifat manusia yang melupai Tuhan antaranya masih berperangai seperti diluar Ramadan, dengan sifat tamak haloba, dengki, membazir, rakus pada hak orang lain, menipu zalim, menindas dan berbagai lagi sifat mazmumah yang ada pada dirinya. Tidak prihatin nasib orang miskin dan selesa dengan maksiat dan merasa cukup bahawa puasanya itu diterima Allah.
1. Hatinya tidak dan benci akan kehadiran Ramadan, malas berlumba-lumba berbuat baik, berpura-pura dalam beramal untuk makhluk dan amat lalai mengingati Allah, hatinya sakit melihat orang lain banyak beribadat.
2. Perkataannya tidak selaras dengan hati dan anggota tubuhnya merasa terpaksa ketika melakukan ibadah, manakala perasaan takbur, angkuh dan sombong masih lagi bersarang dijiwanya dalam perkara dunia dan ibadah. Kedua: Puasa Khusus - iaitu menegah diri dari melakukan dosa dan kesalahan yang berpunca dari pendengaran. Mendengar perkataan yang bukan kebenaran, penglihatan, memandang perkara yang tidak halal, dan menghindarkan anggota badan daripada berbuat perkara-perkara yang dilarang Allah dan menjaga lidahnya daripada mengadu domba, memfitnah dan membisikan kata-kata yang boleh mendatangkan musibah. Martabat ini tak ramai yang mampu mencapainya melainkan mereka yang diberi latihan (riadah) dengan ada ilmu oleh pembimbing yang memahaminya. Mereka golongan ini masih lagi rasa malu kepada makhluk namun ianya berunsur-unsur takut kepada Allah dan merasa akan ada yang memerhatikannya. Sabda Nabi s.a.w., riwayat dari Jabir dan Anas bin Malik r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Lima perkara yang membuka puasa dari orang yang berpuasa - berdusta, mengumpat, mengadu domba, bersumpah palsu dan memandang dengan nafsu.”
Ketiga: Puasa Khusus bil Khusus - iaitu puasa pada tiga fungsi yang hidup bersama tubuh setiap Insan, akal, fikiran dan hati. Akal dididik supaya tidak memikirkan perkara yang haram dan syubahat, sebaliknya dilatih untuk mempertimbangkan fikiran dengan kebaikan serta digabungkan dengan hati untuk terus mengingati Allah dalam bentuk taubat nasuha, taat beribadat, ikhlas dalam setiap gerak geri. Manakala hati pula dididik supaya terus mengingati Allah dalam keadaan apa jua sekali pun dan fikirannya sentiasa memikirkan perkara yang positif demi mencapai kasih sayang terhadap Allah s.w.t. Mereka diperingkat yang ketiga ini, adalah peribadinya menjadi ikutan setiap muslim dan sentiasa dibayangi keikhlasan di raut wajahnya, lantaran ibadat puasa yang mereka lakukan menjadi ikatan kukuh dengan ‘mahabbah’ kepada Allah. Amalan sunat mereka dijadikan wajib kepada dirinya dan merasa bersalah sekiranya perkara sunat mereka tinggalkan. Hatinya tidak putus mengingati Allah hingga terbit rasa rindu dan kasih yang mendalam terhadap Allah, malah mereka merasa seronok apabila melakukan ibadah puasa sepanjang Ramadan. Manakala perkataan mereka diperingkat ini mendatangkan ketenangan kepada sesiapa yang mendengar dan mereka amat menjaga lidahnya dari berkata perkara-perkara yang melalaikan. Rahsia untuk mencapai kejujuran dalam ibadat puasa yang kita laksanakan adalah:
a) Membaca Al-Quran dengan tadabur serta menghayati maknanya.
b) Banyak berzikir serta bersujud kepada Allah.
c) Bertafakur dan bermuhasabah diri.
d) Munajat dan berdoa disepertiga malam.
e) Menangisi dosa-dosa yang lalu.
Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Salman Al-Farisi r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda menerusi khutbahnya disaat tiba Bulan Ramadan: “Wahai manusia sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah jadikan berpuasa satu kefarduan dan qiyam pada malamnya satu tambahan. Setiap yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal salih pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu dibulan yang lain.

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...

No comments: