Monday, September 5, 2011

Terus Gemilang Lahirkan Al-Hafiz Dan Bakal Al-Hafizah

MA’AHAD Tahfiz Darul Fikri, Kampung Sri Damai, Batu 7, Jalan Gambang, Kuantan kini semakin terserlah menjadi simbol syiar di sebuah perkampungan yang tidak jauh dari Bandar Kuantan, Ibu Negeri Pahang Darul Makmur. Terletak di lokasi yang strategik, tenang dan damai, Tahfiz Darul Fikri telah berhasil melahirkan sebilangan pelajar-pelajar agama dan para Al-Hafiz dikalangan remaja. Dalam usia lebih dari sedekad, Tahfiz Darul Fikri yang dipimpin oleh pendakwah terkenal Ustaz Rosli Abdul Jabar ini berjaya mengharumkan nama tahfiz berkenaan bukan sahaja di Pahang malahan di luar Pahang. Dalam kesibukannnya mengendalikan tahfiz ini, beliau tetap berkesempatan meluangkan masanya menyampaikan dakwah ke beberapa tempat di seluruh Malaysia termasuk ke luar negeri seperti Kemboja dan Thailand khususnya. Ustaz Rosli merupakan antara tenaga pengajar tetap sekali dalam sebulan mengajar tafsir Al-Quran sejak beberapa tahun di Surau Hidayatul Mustaqim, Jalan 11, Selayang Baru, Baru Caves, Selangor yang merupakan salah sebuah surau paling aktif di kawasan Selayang. Baru-baru ini persekitaran Ma’ahad Tahfiz Darul Fikri di Kampung Sri Damai itu berseri dengan berlangsungnya majlis ihtifal yang turut dihadiri oleh orang ramai termasuk serombongan wakil dari Surau Hidayatul Mustaqim Selayang Baru yang diketuai oleh Pengerusinya Haji Azizan Md.Ali dan beberapa Jawatan kuasa surau. “Pihak Tahfiz Darul Fikri menyembelih dua ekor lembu khusus mengadakan jamuan bagi orang ramai yang dihadiri termasuk ibu bapa pelajar serta mereka yang datang dari dalam dan luar Pahang,” beritahu Ustaz Khairul Azmi Al-Hafiz, Mudir Ma’ahad Tahfiz Darul Fikri ini. Antara ‘menu’ istimewa yang disediakan untuk menjamu selera ialah “masakan gulai kawah”. Sempena majlis ihtifal kali ini seramai enam pelajar telah menerima syahadah ‘Al-Hafiz’ atas kejayaan menghafal 30 juzuk Al-Quran. Sementara tujuh pelajar lagi menerima sanad dalam bidang ilmu hadis dan lapan pelajar lain pula berjaya menerima “Qiraat 10”. Ahli rombongan dari Surau Hidayatul Mustaqim telah dibawa meninjau dan diberi taklimat ringkas mengenai pembinaan bangunan untuk asrama bagi pondok warga emas dan para pelajar hafizah dan juga kelas pelajar tahfiz yang dijangka siap pada tahun 2012. Bangunan berkenaan yang dibina berdekatan dengan masjid baru yang telah siap dan telah mula digunakan oleh pelajar-pelajar di situ akan menambah seri kawasan Ma’ahad tahfiz berkenaan yang terletak di kawasan seluas dua ekar tersebut. “Pihak Ma’ahad terus mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menjayakan projek pembangunan ini dan merealisasikan cita-cita melahirkan para hafiz dan hafizah dimasa akan datang,” ujar Ustaz Khairul yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar Zaqaziq Mesir ini. Menurutnya buat masa ini, Ma’ahad tahfiz ini hanya mampu menempatkan 70 pelajar sahaja dalam satu-satu masa. Namun dalam tempoh itu sebilangan pelajar-pelajarnya ada yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negeri. Salah seorang bekas pelajarnya, Ustaz Ahmad Nafis bin Azani, 22, pemegang diploma dari sebuah pusat pengajian tinggi di Syria kini menjadi tenaga pengajar di sini sementara menunggu waktu sesuai bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Menariknya Ahmad Nafis merupakan salah seorang ‘imam solat Tarawih’ jemputan bagi Surau Hidayatul Mustaqim beberapa tahun lalu. “Saya bersyukur kerana dapat menimba ilmu di sini dan kemudiannya diizinkan Allah pula untuk menjadi tenaga pengajar di Ma’ahad ini bagi membimbing pelajar-pelajar baru untuk membentuk mereka menjadi seorang da’i di masa akan datang,” kata Ahmad Nafis yang bercita-cita mengikut jejak Ustaz Rosli Jabbar dibidang dakwah. Sementara itu turut ditemui di majlis ihtifal itu, Abdul Rahman Rosli, 17, anak sulung Ustaz Rosli Jabbar yang kini masih menuntut di Syria. Anak muda ini masuk tahun dua diploma pengajian Al-Quran di sana dan pulang sementara ‘bercuti’ ke tanahair berikut pergolakkan politik di sana. Abdul Rahman waktu berusia 12 tahun pernah menetap hampir sebulan sepanjang Ramadan pada tahun 2006 di Surau Hidayatul Mustaqim Selayang Baru bagi menimba pengalaman. Kini remaja yang sudah mula menyimpan ‘kumis’ itu turut bakal mengikut jejak ayahnya di bidang dakwah dan siasah apabila sampai masanya kelak.

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...

No comments: