Tuesday, September 6, 2011

Salam Kami September 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita bertemu lagi dalam suasana bersemarak menyambut kedatangan Syawal 1432. Antara kita saling kunjung mengunjung, ziarah dan menziarahi. Di sana sini akan ada yang menganjurkan ‘rumah terbuka’, kenduri kendara dan sebagainya. Namun dalam suasana yang begini, Hidayah tetap menemui anda dan menemani anda dimana saja anda berada. Sambil-sambil menjamah kuih muih, merasa enaknya lemang dan ketupat dengan perencah daging rendangnya dan hidangan serba aneka, selak-selaklah setiap halaman majalah kami ini. Tatapi dan hayatilah apa yang kami hidangkan buat pembaca. Apa yang dipaparkan adalah untuk iktibar bersama. Tidak terusikkah hati apabila anda membaca bagaimana mayat seorang lelaki tersambar petir sewaktu pengkebumiannya. Mengapa jadi begitu? Mahukah anda berkongsi pengalaman bagaimana pula seorang lelaki menemui ajalnya selepas bersolat Isyak. Mahunya anda atau kita-kita ini juga meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan seperti itu. Minta dijauhkan pula untuk mati dalam keadaan ‘tidak baik’ terbunuh selepas melakukan maksiat sebagaimana yang berlaku kepada seorang pemuda dalam kisah iktibar 4. Hidayah juga turut memaparkan pelbagai rencana lain yang mudah-mudahan ada manfaatnya buat pembaca. Ikutilah catatan bekas wartawan veteran Bahyah Mahmood mengenai pengalaman dua gadis bersama ibu bapanya menunaikan umrah baru-baru ini. Disamping mengiringi bapanya yang separuh badan tidak berdaya dengan berkerusi roda, peristiwa dapat mengucup Hajarul-Aswad juga satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Anda tinjaukanlah juga halaman ke majlis ihtifal Ma’ahad Tahfiz Darul Fikri. Mungkin entah esok, entah lusa mungkin anda tergerak untuk menghantar ‘putera’ atau ‘puteri’ kesayangan anda menjadi al-hafiz atau al-hafizah mungkin ‘Darul Fikri’ boleh jadi pilihan. Penerbit dan para karyawan Hidayah mengucapkan “Selamat Menyambut Aidilfitri” buat semua pembaca setia majalah ini. Dan dalam sibuk kita-kita ini jangan lupa menunaikan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Hayatilah hadis Nabi s.a.w. yang bersabda: “Barang siapa yang berpuasa bulan Ramadan lalu dilanjutkan dengan enam hari puasa dalam bulan Syawal, maka samalah dengan berpuasa sepanjang masa.” Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah. Wassalam.

Pengarang.
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: