BATU boleh berbicara, kedengarannya agak aneh. Adakah benda mati boleh berkata-kata? Apakah benda-benda itu juga punya mulut sehingga mereka boleh berbicara? Berbagai pertanyaan aneh mungkin terlintas ke benak kita jika dihadapkan pada kenyataan seperti ini. Namun, ini adalah fakta yang pernah terjadi pada zaman Nabi s.a.w. dan akan terjadi pada hari Kiamat nanti. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Kalian akan memerangi orang-orang Yahudi sehingga seorang di antara mereka bersembunyi di balik batu. Maka batu itu berkata, “Wahai hamba Allah, inilah si Yahudi di belakangku, maka bunuhlah ia”. [HR. Bukhari dan Muslim]
Hadis di atas menunjukkan kepada kita bahawa kelak akan terjadi suatu masa di mana batu boleh berbicara. Kata-kata “akan” dalam hadis di atas menunjukkan bahawa peristiwa tersebut belum terjadi. Meski begitu, peristiwa batu berbicara pernah terjadi pada masa Nabi s.a.w. Kelak, hal itu akan terjadi lagi. Iaitu, ketika umat Islam sedang berperang dengan orang Yahudi. Salah seorang di antara pengikut Yahudi lari dan bersembunyi di balik batu kerana ketakutan. Tapi, dia tidak sedar bahawa batu sebagai tempat ia sembunyi sebenarnya sangat jengkel atas sikap buruknya, sehingga berniat untuk memberitahukan kepada kaum muslim tentang keberadaannya itu. Menurut pakar Islam, fenomena demikian akan terjadi menjelang hari Kiamat. Ketika batu boleh berbicara merupakan tanda-tanda dari datangnya hari Kiamat. Salah seorang yang berpendapat demikian adalah Al-Hafiz Ibnu Hajar. Ia pernah berkata, “Dalam hadis ini terdapat tanda-tanda dekatnya hari Kiamat, berupa berbicaranya benda-benda mati, pohon, dan batu. Lahiriahnya hadis ini (menunjukkan) bahawa benda-benda itu berbicara secara hakikat”. [Lihat Fathul Bari (6/610)] Bahkan, Ibnu Hajar menjelaskan lebih jauh bahawa yang boleh berbicara sebenarnya tidak saja batu, tapi juga benda-benda mati lainnya seperti pohon. Menurutnya, hadis ini juga sebenarnya sekaligus menunjukkan kepada kita bahawa secara inderawi, benda-benda mati itu tidak boleh berbicara. Tapi, hakikatnya mereka boleh berbicara. Kerana mereka boleh berbicara, tentu mereka pun punya mulut. Inilah yang tidak kita ketahui, kecuali kita kembalikan kepada Allah s.w.t. Kisah serupa juga pernah terjadi pada masa Nabi Muhammad s.a.w. Namun, saat itu batu tersebut tidak saja boleh berbicara, tapi juga menyampaikan salam hangat kepada Nabi s.a.w. Peristiwa ini terjadi di Makkah. Kisah ini digambarkan oleh Jabir bin Samurah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui sebuah batu di Makkah yang mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutus, sesungguhnya aku mengetahuinya sekarang.” [HR. Muslim]. Jika berita tersebut disampaikan oleh seorang manusia, mungkin kedengarannya agak janggal. Tapi, yang menyampaikan berita ini adalah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Nabi Muhammad mustahil berdusta. Apa yang diucapkannya merupakan wahyu dari Allah s.w.t. Kalau ada kesalahan, Allah pasti langsung menegurnya. Tapi, hal ini tidak terjadi. Bererti, kisah tersebut adalah fakta yang pernah terjadi dan dialami langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan ini merupakan salah satu keajaiban yang terjadi dalam dunia Islam.
Pohon Kurma Menangis
Bagaimana kalau ada pohon kurma boleh menangis? Merujuk pada perkataan Ibnu Hajar di atas bahawa kelak benda-benda mati akan boleh berbicara, seperti pohon dan batu, ternyata pada zaman Nabi s.a.w. juga ada sebatang pohon kurma yang boleh menangis. Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa pada masa itu masjid Rasulullah s.a.w. beratap batang pohon kurma. Jika Rasulullah s.a.w. berkhutbah, baginda berdiri di atas salah satu batang pohon kurma. Kerana jumlah umat Islam bertambah, maka dibuatlah mimbar agar jemaah majlis yang berada di belakang dapat melihat Rasulullah s.a.w. ketika berkhutbah. Para sahabat pun membuat mimbar dari kayu. Setelah siap, Rasulullah s.a.w. datang menuju mimbar baru itu untuk berkhutbah. Namun, ketika naik mimbar, terdengarlah rintihan seperti rintihan unta dan goncangan tanah yang terus bergetar sehingga para sahabat pun bertanya-tanya. Rasulullah s.a.w. tersenyum. Baginda turun dari mimbar dan mendatangi pohon kurma yang tak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan pada batang pohon kurma dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan. Rasulullah s.a.w. berkata pada pohon kurma itu: “Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, engkau aku tanam di syurga, supaya para wali Allah dapat memakan buah-buahmu.”
Batang kurma itu menjawab: “Saya memilih untuk ditanam di syurga sehingga wali-wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat dimana di dalamnya saya kekal.” Goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah s.a.w. kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah s.a.w. berkata: “Ia (pohon kurma) memilih negeri yang kekal dibandingkan negeri yang fana!” Inilah kisah batang kering dari pohon kurma yang menangis kerana rindu kepada Rasulullah s.a.w. Bayangkan! Sebatang pohon kurma tidak mahu jauh dari Rasulullah s.a.w., padahal cuma berjarak beberapa meter. Apalagi, kita yang jaraknya jauh dan telah terpisahkan dengan Rasulullah. Apakah tidak ada kerinduan sama sekali dari kita untuk dekat-dekat dengan Rasulullah? Padahal, untuk dekat dengan Rasulullah banyak caranya, misalnya dengan membaca selawat, zikir, mendatangi majlis-majlis mulia, berkawan dengan orang salih dan sebagainya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2011 di pasaran...
Monday, September 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam,tumpang tanya dimana rujukan hadis mengenai pohon kurma menangis tu?hadis yg nombor berapa?didalam bab mana?jazakallah
Post a Comment