Tuesday, September 11, 2012

Bagaimana Bersolat Di Dalam Kenderaan?

BILA anda naik keretapi pada sebelah malam dalam perjalanan biasa akan sampai tujuan masih mendapatkan waktu untuk menunaikan solat subuh. Tetapi kerana suatu sebab, keretapi mengalami kelewatan hingga sampai di tempat tujuan waktu subuh telah habis. Menghadapi masalah ini, apa yang akan anda lakukan? Anda tetap mengerjakan solat wajib pada waktunya di kenderaan dengan keadaan apa adanya atau memilih mengqadha solat di tempat tujuan saja kerana beralasan bahawa solat di kenderaan tidak sempurna dilakukan sebagaimana mestinya.

Tepat Waktu
Solat di dalam kenderaan ini terkait juga dengan perjalanan jauh. Dalam masalah ini ada rukhshah (keringanan) yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada kita semua. Bentuk keringanan tersebut adalah boleh melakukan solat dengan jama’ dan qashar. Maksudnya zuhur dan asar dapat digabung pada satu waktu, baik di waktu zuhur atau asar dengan masing-masing dua rakaat. Demikian pula solat maghrib dan isyak, boleh digabung pada waktu maghrib atau waktu isyak, dan solat isyak boleh diqashar menjadi dua rakaat. Sementara subuh tetap harus dikerjakan seperti biasa (tidak ada jama’ dan tidak ada qashar). Itulah yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Hanya saja, kenderaan pada masa Nabi s.a.w. saat bepergian tentunya berbeda dengan zaman sekarang. Kenderaan di masa Nabi s.a.w. berupa haiwan tunggangan (unta, kuda dan lain-lain) hingga sewaktu-waktu dengan mudah boleh turun untuk melakukan solat pada waktunya.
Sementara kenderaan zaman sekarang sudah jelas berbeda. Barangkali kalau kita saat bepergian jauh menggunakan naik kereta sendiri atau motosikal, kita masih boleh berhenti dan melaksanakan solat wajib di surau atau masjid sesuai dengan waktunya. Tapi di dalam kenderaan umum, seperti kapal laut, pesawat terbang, bas ekpres atau keretapi, boleh saja tergendala dengan ruang yang terbatas dan tidak dapat sesuka hati sendiri turun dari bas. Kita belum tentu mendapatkan ruang memadai yang boleh kita gunakan untuk melaksanakan solat secara sempurna, selain itu ada faktor lain; seperti goncangan kerana pergerakan kenderaan dan belum tentu dapat menghadap kiblat saat kita menjalankan solat. Apabila kesnya seperti dicontohkan di atas, maka kita dihadapkan dilema. Pertama, kita harus menjalankan solat tepat pada waktu. Kedua, harus menjalankan solat secara sempurna sesuai dengan tuntunan Nabi s.a.w. dimana kita belum tentu dapat memenuhi syarat ini saat berada di dalam kenderaan. Mari kita lihat satu per satu. Dalil bahawa solat fardu harus tepat waktu jelas dinyatakan dalam firman Allah s.w.t., “Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman” (QS. An-Nisa’: 103). Ini bererti siapa saja yang sengaja mengakhirkannya dari waktu yang telah ditentukan tanpa ada halangan, maka akan berdosa. Yang boleh dikategorikan halangan di antaranya adalah haid dan nifas bagi wanita, pengsan, tertidur atau lupa.
Begitu pun dengan solat secara sempurna merupakan keharusan bagi orang yang sihat. Selagi fizik seseorang mampu semestinya melakukan solat dengan menghadap kiblat, berdiri, rukuk, sujud secara normal.  Sedangkan duduk dan isyarat diperbolehkan bagi orang yang sakit. Jadi, antara solat tepat waktu dan solat secara sempurna tatkala berada di atas kenderaan ini boleh dipertemukan. Solat wajib tetap harus tepat waktu, sedangkan keadaan yang tidak memungkinkan (kerana ruang terbatas, tidak boleh terus-menerus menghadap kiblat dan sebagainya) boleh dianalogikan dengan solatnya orang yang sakit. Wajib bagi seorang muslim saat berada di kenderaan, apabila tiba waktu solat, melaksanakan solat sesuai kemampuannya. Apabila mampu melaksanakannya dengan berdiri, rukuk dan sujud, memang seharusnya melakukan demikian. Sebaliknya bila tidak mampu melakukan seperti itu, maka hendaknya ia melakukan sambil duduk, mengisyaratkan rukuk dan sujud (dengan membungkukkan badan). Firman Allah swt., “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (QS. At-Taghabun: 16).

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2012 di pasaran...

No comments: