Tuesday, September 11, 2012

Waktu-Waktu Terlarang Untuk Bersolat

MEMANG, solat itu ibadah yang telah ditentukan kaifiyahnya; syarat serta rukunnya. Tetapi ada satu hal lagi yang perlu diperhatikan iaitu sesuai pada waktunya. Jangan lupa, waktu pelaksanaan solat mesti sesuai dengan ketentuannya. Tidak boleh sembarangan. Sebab ada beberapa waktu tertentu yang harus diwaspadai agar solat yang dilakukan tidak menjadi terlarang. Sebahagian ulama menyebut waktu-waktu yang dilarang untuk melakukan solat itu dengan hukum makruh (sangat dibenci bila orang tetap melangsungkan solatnya), sebahagian besar ulama lain menganggap waktu-waktu yang terlarang itu dengan hukum haram untuk melaksanakan solat. Dengan adanya rambu-rambu tersebut, maka agama mengharuskan  seorang muslim menjalankan solat di waktu-waktu yang sudah disediakan. Ini sekaligus agama mengajarkan bagi umatnya untuk berlaku disiplin. Jangan cuba-cuba menerjang peraturan yang sudah diatur. Kerana itu, setiap muslim harus mengetahui waktu-waktu tersebut sehingga tidak solat pada waktu-waktu yang dilarang. Ada beberapa hadis yang dijadikan rujukan berkaitan dengan waktu-waktu yang terlarang untuk melakukan solat. Pertama, hadis dari ‘Uqbah bin Amir r.a. yang berkata, “Ada tiga waktu di mana Nabi s.a.w. melarang kami untuk melaksanakan solat di tiga waktu tersebut atau menguburkan jenazah kami: iaitu ketika matahari terbit sampai tinggi, ketika seseorang berdiri di tengah hari saat matahari berada tinggi di tengah langit (tidak ada bayangan di timur dan di barat) sampai matahari tergelincir dan ketika matahari miring hendak tenggelam sampai benar-benar tenggelam” (HR. Muslim). Hadis kedua, dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah bersabda, “Tidak ada solat setelah subuh sampai matahari tinggi dan tidak ada solat setelah asar sampai matahari tenggelam” (HR. Bukhari dan Muslim).

No comments: