Tuesday, September 11, 2012

Sekilas Kenangan Di Pondok Tanjung

KAMPUNG kami Pondok Tanjung tahun-tahun 60-an itu memang indah, memang meriah dengan ragam hidup sebilangan penghuninya. Walaupun tak berapa membangun, tapi jumlah penduduknya yang lelaki cukup-cukuplah untuk mendirikan fardu Jumaat. Letaknya kira-kira 12 batu dari Bandar Taiping menuju ke Selama. Kalau cuaca baik tak berkabus, kami boleh nampak lampu-lampu yang dipasang di Bukit Sri Larut (Bukit Maxwell), di Taiping itu. Kampung kami ada jalan keretapi dan ada jalan raya yang membelahnya. Itulah yang menjadi penyerinya...  Jadi pada masa-masa tertentu, tak sunyilah apabila menderu keratapi mel dan keretapi barang melintasi kampung comel kami ini. Kerana dah terbiasa, kami dah tahu jam berapa keretapi itu lalu. Tak payah tengok jam dah tahu pukul berapa untuk memulakan aktiviti harian. Seperti kampung-kampung lain, kedatangan Ramadan memang dinanti-nantikan. Ramadan seolah-olah menjadi semacam kemuncak pesta. Kampung kami ada sebuah masjid di kampung Tengah. Ada sebuah surau di kampung Jalan Keretapi. Kami boleh berbangga juga kerana ada seorang dua orang-orang tua kami ada yang bertaraf ulama, lebai, ustaz, beberapa ‘tokoh’ politik dan sebagainya. Jadi mereka inilah yang mengidupkan suasana keagamaan apatahlagi dalam memakmurkan masjid dan surau kami itu. Kami ada Imam Bakar, ada Lebai Omar, ada Bilal Tokki Latif, ada Cikgu Harith dan lain-lain. Kalau cerita bulan Ramadan yang seronok dan meriahnya ialah moreinyalah...menu biasa ialah bubur. Ada bubur kacang, bubur gandum, bubur pulut hitam dan sebagainya bersilih ganti setiap malam. Dah dekat-dekat hari raya, moreinya lebih menarik apabila ianya ditaja oleh Balai Polis dan kakitangan kerajaan yang menetap di kampung kami. Menunya nasi minyak lauk ayam. Malam itu berminyaklah muncung kami menikmatinya.  Masa itu terasa mewah sangatlah hidangan nasi minyak itu berlauk ayam kari itu. Era 60-an itu era yang mencabar dalam kehidupan orang-orang kampung macam kami ini. Nak makan lauk ayam kena tunggu orang buat kenduri kahwin barulah merasa. Taklah macam budak-budak sekarang yang hari-hari bersedawakan KFC...

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2012 di pasaran...

No comments: