Wednesday, September 12, 2012

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Syawal 1433 datang lagi (dan akan pergi jua). Sudah tradisi kita merayakan kedatangannya. Saat inilah kita sibuk mengunjungi saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan. Tradisi balik kampung kita teruskan. Seolah-olah kalau tanpa datang raya, kita lupa balik temui keluarga di desa. Rasanya budaya ini ada positif dan ada negatifnya. Baiknya semangat kekeluargaan dapat dipereratkan dan kemesraan yang longgar dirapatkan. Antara yang negatifnya, waktu inilah para pengguna jalan raya bertarung nasib menggadai keselamatan nyawa ahli keluarga apabila jumlah kenderaan bersesak di atas jalan raya seluruh negara. Kemalangan masa inilah mudah berlaku dan jumlah nyawa yang melayang kian meningkat di musim-musim perayaan. Terasa murah sangat nyawa pengguna-pengguna jalan raya kita. Bagaimanapun qada’ dan qadar Allah telah tentukan. Kita hanya berusaha dan berikhtiar. Selebihnya serah kepada Allah Yang Maha Berkuasa menentukannya. Syawal yang meriah ini pun akan berlalu jua. Serinya akan disambung pula dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pula. Cuma yang kita musykilkan apakah kesan sambutan hari kemerdekaan ini kepada generasi muda. Dapatkah mereka rasai denyut nadi para bekas pejuang kemerdekaan. Berapa kerat sangatkah yang mengenali nama-nama besar seperti Dr.Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Baqir dan lain-lain lagi.
Nama-nama ini akan terus tengelam dalam pelbagai tema merdeka dan sorak sorai gemerlapnya bunga api hari merdeka. Pembaca budiman, dalam meriahnya sambutan raya tahun ini dan sambut merdeka, janganlah dilupakan mengenai isu pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya yang beragama Islam di Myanmar. Ribuan jumlahnya yang terbunuh dan dianiaya. Mereka adalah saudara-saudara seagama kita. Hulurkanlah bantuan seberapa terdaya kepada mereka melalui NGO-NGO tertentu bagi meringankan beban yang mereka tanggungi. Paling tidak, berdoalah agar isu ini dapat diselesaikan segera agar keselamatan mereka mendapat pembelaan dan dilindungi. Selamat menyambut Syawal 1433 dan Hari Kemerdekaan kepada para pembaca. Sokongan anda tidak kami lupakan. Kita akan terus berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: