Monday, January 13, 2014

Kisah Uzair Tertidur Sangat Luar Biasa

Ini adalah kisah yang paling menarik. Kisahnya mengenai seseorang bernama UZAIR. Kisah ini untuk memberi tahu manusia tentang kekuasaan Allah yang menghidupkan semula orang yang sudah mati. Zaman Nabi-nabi dulu, ada sebahagian kaumnya tidak yakin dan percaya bahawa manusia akan dibangkitkan semula setelah mati untuk menghadap Allah. Marilah kita ikuti kisah ini yang dipetik dari sebuah kitab.
Suatu hari ketika Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pun pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditunggangnya sudah tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri. Keadaan negeri tersebut baru diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali.
Di tapak atau bekas runtuhan itu terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihat kejadian yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua bakul buah-buahan. Manakala keldainya ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh untuk melepaskan penatnya. Dalam pada itu fikirannya mulai memikirkan mayat manusia yang sudah berbau busuk itu. “Bagaimanakah orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat.” Begitulah pertanyaan yang datang dalam fikirannya dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tertidur terus menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya. Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai penduduk baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu segala-galanya berubah, manakala Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tiada bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan rohnya. Dan ketika itu juga Uzair hidup kembali seperti dahulu. Uzair lalu duduk dan terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya yang di dalam bakul dahulu. Tidak berapa lama kemudian turunlah beberapa malaikat seraya bertanya: “Tahukah engkau ya Uzair berapa lama engkau tertidur?” Tanpa berfikir panjang Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari.” Lalu malaikat pun berkata kepadanya: “Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Di sinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas cahaya matahari, kadang-kadang ditiup badai dan hawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan-makanan engkau, tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun telah hancur, dagingnya sudah busuk.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2014 di pasaran...

No comments: