Monday, January 13, 2014

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Detik-detik menuju akhir tahun 2013 semakin hampir menutup tirainya. Bakal menyelak tahun baru 2014. Mungkin sebagaimana biasanya, akan riuh rendahlah disana sini menyambut kedatangannya. Akan berdentam dentum mercun dan bunga api mewarnai di mana-mana. Akan padatlah Dataran Merdeka untuk membilang satu, dua, tiga hingga berdentang jam 12 malam. Tidak mungkin dalam suasana meriah begitu ada yang terdetik bahawa sebenarnya mereka membilang detik-detik akhir ke tanah kubur. Anak-anak muda, para dewasa lelaki perempuan tidak kurang warga emas pun akan memadat mana-mana perayaan menyambut tahun baru. Seolah-olah tahun baru tidak akan lahir tanpa dentam dentum mercun dan semarak bunga api warna warni yang menghangus dalam sekelip mata entah puluhan ribu, entah ratusan ribu atau mungkin jutaan ringgit. Ah...apalah hendak direpekkan dan diomelkan. Bukankah para pemimpin juga merestuinya. Ada yang datang tunjuk muka, bergelak ketawa, merendahkan sayap agar digelar “berjiwa rakyat’. Tidak tercalar rasa takut entah esok entah lusa maut akan meragutnya. Dalam suasana menyambut peralihan tahun baru itu, dengar-dengarlah pesanan Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu berada diantara dua ketakutan, antara ajal masa yang lalu, ia tidak mengetahui bagaimana akan berbuat kepadanya, dan masa yang akan datang juga tidak mengetahui apa yang terjadi pada dirinya.” Kerana itu, sabda Nabi lagi, “Setiap orang haruslah berbekal untuk kepentingan dirinya sendiri, dari masa hidupnya untuk matinya, dari masa mudanya untuk masa tuanya, dari dunia untuk akhiratnya...” Dan dalam riuh rendah gegak gempita menyambut tahun baru ini, dan dalam tekanan ibu bapa menjerut perut menyediakan perbelanjaan persekolahan anak masing-masing, dan dalam sekian ramai menunggu-nunggu bantuan BRIM 2014 Hidayah tetap muncul jua menemui anda. Hidayah muncul dengan wajah yang sama. Dengan harga yang sama, namun dengan harapan akan bertambahlah bilangan pembaca barunya. Pembaca budiman, terimalah Hidayah terbaru ini dengan seadanya. Selagi wujudnya anda, selagi itu usia Hidayah berterusan. Menutup ruangan kali ini marilah kita berkongsi nasihat Yahya bin Mu’az Arrazi yang berkata: “Seorang yang sempurna akal iaitu yang berbuat tiga: Meninggalkan dunia sebelum ditinggalkannya. Dan membangun kubur sebelum dimasukkannya. Dan mengerjakan apa yang diredhoi Allah sebelum menghadapNYA.” Terima kasih dengan kerjasama semua pembaca selama ini. Alhamdulillah.

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: