MEMANG suatu yang ganjil dan memprihatinkan bila seorang muslim yang mengaku lazim berselawat, baik ketika beribadah mahupun semasa berdoa [berzikir], tidak mengetahui makna ‘selawat’ itu sendiri. Kerana itulah, sebelum tulisan ini jauh mengupas ragam macam selawat dan sejumlah fadilatnya, ada baiknya, kita menyentuh pengertian selawat. Mengacu definisi bahasa [Arab], sebagaimana termaktub dalam Ensiklopedia Hukum Islam dan ditulis KH. Syarief Muhammad Al-Aydarus, selawat adalah doa, rahmat Allah, berkah dan ibadah. Sedangkan seorang pakar tafsir Indonesia yang namanya tak asing lagi di telinga kita, M. Quraish Shihab dalam Wawasan Al-Quran tentang Zikir dan Doa, menyebutkan begini: ‘Selawat’ adalah bentuk jamak [plural] dari kata ‘solat’ yang dari segi bahasa memiliki pelbagai makna. Jika ‘solat’ dilakukan oleh seseorang yang lebih rendah darjatnya kepada yang lebih tinggi atau dari manusia kepada Tuhan, maka ia bererti permohonan; jika dilakukan oleh malaikat maka maknanya adalah permohonan maghfirah [ampunan]; sedang bila dilakukan oleh Allah s.w.t., maka maknanya adalah curahan rahmat. Sementara secara istilah, selawat adalah menyampaikan permohonan doa keselamatan dan keberkatan kepada Allah untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan yang membacanya akan mendapatkan pahala. [lihat KH. Syarief Muhammad Al-Aydarus dalam 135 Selawat Nabi: Pustaka Hidayah, 2010]. Selain itu, dapat disimpulkan pula bahawa selawat Allah kepada hambaNya dibagi kepada dua macam: selawat khusus dan selawat umum. Menurut sebahagian ulama, sebagaimana disebutkan Quraish Shihab, selawat Allah yang bersifat umum itu yang dicurahkanNya kepada hamba-hambaNya yang beriman, termasuk juga di sini selawat yang dipanjatkan Nabi Muhammad kepada sebahagian sahabat baginda. Sedangkan selawat yang bersifat khusus adalah yang ditujukan kepada para nabi dan rasul, utamanya kepada Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad s.a.w. KH. Syarief menambahkan, selawat Allah kepada Nabi Muhammad ertinya memuji Nabi Muhammad, menampakkan keutamaan, dan kemuliaanNya serta memuliakan dan mendekatkan Muhammad kepada diriNya. Sedang pengertian kita sebagai hambaNya berselawat kepada Nabi Muhammad adalah mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah agar menganugerahkan keutamaan dan kemuliannyaNya demi kebaikan kita juga sebagai umat Muhammad s.a.w. Berdasarkan huraian definisi di atas, nampak jelas, saat seorang muslim berselawat bererti ia bukan sekadar tengah menyenandungkan madah kepada junjungan Nabi akhir zaman, tapi juga sedang bermunajat kepada Allah s.w.t., Penguasa Alam ini. Ertinya, ada segenap harapan yang dimaksudkan, dan itu perlu perantara sosok kekasihNya, Rasulullah s.a.w., untuk diperkenankan.
A. Alasan Berselawat
Anjuran berselawat tentu saja bukan datang begitu saja. Bukan sesuatu yang dibidaah-bidaahkan [dibaru-barukan] tanpa alasan syari’e. Mari kita perhatikan firman Allah berikut ini: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kalian untuk Nabi dan sampaikanlah salam penghormatan kepadanya. “ [QS. Al-Ahzab: 56] Bayangkan, penegasan selawat dalam ayat tersebut: Allah sendiri yang menciptakan Nabi Muhammad s.a.w. ikut mencurahkan selawat untuk NabiNya; para malaikat yang masyhur selalu taat beribadah tak luput melantunkan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Tidakkah itu suatu hal yang sungguh sangat istimewa? Pertanyaannya: apakah ada alasan untuk seorang muslim tidak berselawat kepada Nabinya bila Sang Khalik sendiri mengirimkan selawat untuk NabiNya? Terkait tafsir ayat tersebut, M. Quraish Shihab menyatakan bahawa ayat itu seolah ingin menegaskan: “Sesungguhnya Allah [Yang Maha Agung lagi Maha Kuasa, bahkan Yang Menghimpun segala sifat terpuji], dan [demikian juga] para malaikat yang sangat hormat dan kagum kepada Nabi Muhammad s.a.w.; kerana itu mereka, yakni Allah dan para malaikat terus menerus berselawat untuk Nabi [yakni Allah melimpahkan rahmat dan aneka anugerah, sedang malaikat memohon kiranya dipertinggi lagi darjat dan dicurahkan ampunan atas Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan makhluk Allah yang termulia dan paling banyak jasanya kepada umat manusia dalam memperkenalkan Allah dan jalan lurus menuju kebahagiaan. Kerana itu, hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu [semua] untuknya, yakni mohonlah kepada Allah kiranya rahmatNya pun lebih dicurahkan lagi kepada baginda; dan di samping itu, hai orang-orang beriman, hindarkanlah dari baginda segala aib dan kekurangan serta sebut-sebut dan ingat-ingatlah keistimewaan dan jasa baginda dan bersalamlah, yakni ucapkanlah salam penghormatan kepada baginda salam yang sempurna lagi penuh tuntunan baginda.”
Keistimewaan perintah selawat dalam ayat tersebut kian jelas mengemuka manakala didapati bahawa itulah satu-satunya perintah dimana Allah sendiri terlibat di dalamnya. Pasalnya, dalam beberapa ayat lainnya, sebagaimana dikatakan KH. Habib Syarief Muhammad Alaydarus, Allah memerintahkan solat, tetapi Dia sendiri tidak solat, Allah memerintahkan zakat, tetapi Dia sendiri tidak berzakat, Allah memerintahkan haji, tetapi Dia sendiri tidak berhaji. Namun, untuk perintah membaca selawat, Allah sendiri bersama para malaikatNya membacakan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Bukankah, yang demikian, betapa mulia pengagungan ‘Rabb’ kita kepada Rasulullah s.a.w.? Kerana itulah, sudah semestinya, kita yang mengaku atau menyandang agama yang mulia ini sentiasa berselawat kepada baginda. Dari al-Quran sudah jelas alasan perintah berselawat, lalu bagaimana dengan rujukan hadis-hadis? Tentu saja banyak sekali. Begitu beragam riwayat sahabat yang pernah menyinggungnya. Antara lain sebagaimana disinggung Imam Nawawi dalam kitab Al-Adzkar. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dan dia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Akan tersungkur hidung seseorang yang tidak membaca selawat kepadaku ketika disebutkan namaku di hadapannya.’” [HR. Termizi. Imam Termizi menerangkan bahawa hadis ini adalah hadis [kategori] hasan] Diriwayatkan dari Anas r.a., dia berkata, “Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ‘Barang siapa yang mendengar namaku disebutkan, hendaklah dia membaca selawat kepadaku, apabila dia membaca selawat satu kali maka Allah Azza wa Jalla akan memberikannya sepuluh kali ganda.” [HR. Ibnu Sinni] Sementara hadis lain disebutkan, diriwayatkan dari Ali r.a. dan dia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Orang yang bakhil adalah orang yang tidak mahu membaca selawat kepadaku ketika namaku disebutkan..’” [HR. Termizi). Menurut Imam Termizi hadis ini adalah hadis yang darjatnya shahih. Dan Imam Nasa’i pun meriwayatkan hadis ini.] Imam Muslim sendiri, sebagai salah satu perawi yang namanya erat dengan hadis shahih, meriwayatkan hadis soal selawat. Ia berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Barang siapa membaca selawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan sepuluh rahmat kepadanya.” [HR. Muslim dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash r.a.) Lalu Imam Abu Hurairah menuturkan bahawa ia pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai persidangan Hari Raya. Berselawatlah kepadaku, kerana selawat kalian sampai kepadaku dimana saja kalian berada.” [HR. Nasa’i]
Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda, “Setiap kali seseorang mengucapkan salam kepadaku, maka Allah mengembalikan rohku sehingga aku dapat menjawab salamnya.” [HR. Abu Daud] Dalam hadis lain juga disebutkan, “Setiap mukmin yang berselawat satu kali kepada Nabi, nescaya malaikat Jibril memohonkan rahmat untuknya sepuluh kali.” [HR. Ibnu Majah] Bila sejumlah hadis di atas tidak memuaskan anda, perhatikan juga hadis berikut, sebagaimana ditulis Abdullah Hajjaj dalam buku “Agar Doa Terkabul”. Dari Abdullah r.a., ia berkata bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang ditugasi khusus di muka bumi untuk menyampaikan salam yang diucapkan umatku kepadaku.” [HR. Nasa’i] Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda dalam hadis lain yang tidak kalah pentingnya untuk kita amati. Baginda bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisiku kelak di Hari Kiamat adalah mereka yang paling banyak membaca selawat kepadaku.” [HR. Termizi]
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2011 di pasaran...
Friday, November 11, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment