Wahsyi bin Harb merasakan dadanya berdebar kencang. Dia cemas dan sesak nafas. Bahkan tanah yang dia pijak umpama selembar tikar, terasa tak lagi mampu membuat langkah kakinya boleh melangkah jauh. Apalagi sejak Makkah sudah ditaklukkan dan pengikut muslim kian bertambah. Wahsyi yang melarikan diri ke Thaif, untuk mencari perlindungan, tak mampu menepis rasa cemasnya. Setiap detik berlalu, jantungnya berdebar bagai jarum jam. Tapi, detik itu mencemaskan kerana nyawanya seperti di hujung tanduk. Dia merasa maut tidak lama lagi akan menjemputnya, kerana namanya telah disebut-sebut dalam daftar orang yang harus dibunuh, lantaran dia telah membunuh Hamzah, bapa saudara Nabi s.a.w., dalam perang Uhud. Meskipun dia sudah bersembunyi di Thaif, gelisah di hati membuatnya tak tenang. Bayangan kematian itu terasa mengikuti terus ke mana pun dia mencari tempat berlindung. Dia benar-benar tak dapat menepis ancaman kematian. Apalagi lambat laun, penduduk Thaif mulai sedar, tersentuh sinar Islam dan mengirim utusan menemui Rasulullah untuk berikrar masuk Islam. Wahsyi mulai diliputi rasa sesal. Hal itu kian membuat dia dicekam kebingungan. Wahsyi berfikir untuk menyusun pelarian ke tempat lain. Dia lantas terfikir untuk meninggalkan Thaif, melarikan diri ke Syam, Yaman atau wilayah lain yang jauh lagi agar dia dapat selamat meski tetap memanggul rasa resah yang mengoyak jiwanya. Tetapi, sebelum ia benar-benar berangkat, seseorang menasihatinya, “Celakalah kamu, Wahsyi! Sampai bila kamu akan membangkang dan melawan? Pergi dan temuilah Muhammad s.a.w. kerana sesungguhnya dia tidak akan menyakiti orang yang mahu datang menemuinya.” Nasihat orang itu, ternyata, mampu menyedarkan Wahsyi. Si pembunuh Hamzah itu kemudian berfikir, ke mana lagi dia akan melarikan diri, pastilah rasa sesal dan gelisah tak akan dapat dia tepis. Kerana itu, di tengah rasa putus asa itu, Wahsyi menangguh hasrat melarikan diri.
Setelah mempertimbangkan nasihat itu, dia kemudian memutuskan pergi ke Madinah, menemui Rasulullah. Apalagi, ia telah mendengar keagungan Muhammad. Utusan Allah yang dikenal pemaaf, bahkan kepada orang-orang Quraisy yang dulu memusuhi Nabi dengan penuh kekerasan. Wahsyi mendengar banyak khabar, bahawa Nabi s.a.w. tak menghunuskan pedang kepada mereka yang memang meminta ampunan. Nabi s.a.w. selalu menerima setiap orang yang datang untuk berbai’at dan masuk Islam. Itulah yang membulatkan tekad Wahsyi berangkat ke Madinah: menemui Nabi s.a.w. Tetapi, sesampai di Madinah, rasa takut di dada Wahsyi kembali melonjak, membuat kerisauannya menguasai diri. Dia sedar, dia telah berlumuran dengan dosa. Kerana itu, dia merasa wajar jika dia mendapat hukuman setimpal berupa kematian lantaran telah membunuh manusia yang sangat dicintai Rasulullah. Itu sangat mudah dilakukan oleh Nabi s.a.w. Hanya tinggal memberikan isyarat kepada sahabat yang ada di dekatnya, nyawa Wahsyi pun boleh segera melayang. Bayangan jasad Hamzah yang dia bunuh dan terbujur kaku kena tikaman tombaknya seperti tak dapat pergi dari ingatannya. Bahkan waktu itu, tanah Uhud memerah kerana darah Hamzah. Lebih menyedihkan lagi, perut Hamzah terburai. Ususnya keluar. Dia sempat menginjak-injak jasad itu hanya demi mendapat janji kebebasan dirinya. Ingatan itu menyusutkan keberaniannya. Dia pun berfikir, apakah Nabi s.a.w. akan memaafkan dirinya yang telah bergelimang dosa itu?
Tapi, dia tahu, dia tak lagi boleh melarikan diri lagi. Seandainya tidak menemui Nabi s.a.w., dia pun akan dikejar-kejar orang-orang muslim. Dia boleh saja mati saat terlena, tertidur atau saat sedang melakukan apa pun. Sampai hari itu, dia memang masih selamat, tetapi siapa yang mampu menjamin dia selamat di lain waktu. Sampai bila pun, hatinya pasti akan selalu diselubungi gelisah. Kerana itu, dia merasa lebih baik menyerahkan diri. Atas perkiraan itu dia tetap bertekad menemui Nabi s.a.w. Kematian Hamzah memang telah membuat Nabi s.a.w. terluka. Kerana itu, Rasulullah tak mungkin lupa orang yang membunuh Hamzah, bapa saudaranya itu. Luka itu menganga cukup dalam, bahkan saat melihat jasad Hamzah rosak dikoyak dendam kaum musyrik, Nabi s.a.w. sempat bersumpah akan memperlakukan orang yang membunuh Hamzah dengan perlakuan yang lebih buruk. Bahkan akan membunuh tujuh puluh orang Quraisy, lantas memperlakukan seperti mereka berbuat keji terhadap Hamzah. Tapi Allah menurunkan firmanNya, “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS. Al-Nahl [16]: 126-128) Kerana firman Allah itulah, Nabi s.a.w. mencabut sumpahnya. Tetapi kini, Wahsyi pembunuh Hamzah itu justeru datang menemuinya. Rasulullah bahkan menyapa lebih dulu dan bertanya, “Engkau Wahsyi?” Dada Wahsyi bergemuruh, rasa takut pun melanda dan dia menjawab, “Ya.” Dengan sedih, Nabi s.a.w. kemudian bertanya, “Kau membunuh Hamzah?” Wahsyi tahu, dia tak akan mampu berbohong. Rasulullah tahu sepenuhnya. Kerana itu, dia hanya mampu menundukkan kepala. Dia tak dapat berkata apa-apa kecuali menjawab dengan suara perlahan, “Memang benar, seperti yang telah engkau ketahui.” Tapi, Rasulullah sememangnya manusia agung. Maka, tak tampak rasa kebencian sedikit pun. “Duduklah dan ceritakan bagaimana engkau membunuh Hamzah.”
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2011 di pasaran...
Sunday, November 13, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment