Sunday, November 13, 2011

Salam Kami November 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Diam tak diam, masa terus merangkak pantas. Ketika ini sudah jutaan umat Islam seluruh dunia yang berkumpul di tanah suci Makkah dan Madinah bagi menyahut panggilan haji. Alhamdulilah, ribuan rakyat Malaysia turut bersama-sama dalam lautan manusia yang menjadi ‘tetamu Allah’ pada tahun ini. Walaupun dikatakan kouta jemaah haji dari Malaysia telah bertambah, namun difahamkan ratusan ribu bakal-bakal haji yang berdaftar dengan Tabung Haji masih menunggu-nunggu giliran mereka untuk ke tanah suci. Bagaimanapun kita mengalu-alukan keutamaan yang diberikan kepada mereka yang berusia lebih 70 tahun untuk menunaikan fardu haji buat pertamakali. Ini adalah wajar kerana mereka yang berusia lanjut begini harus diutamakan. Ini bukan bermakna bakal haji di bawah usia berkenaan boleh diketepikan, tapi peluang mereka akan tiba juga apabila sampai ke usia 70 jika dipanjangkan umur. Andai sementara menunggu ‘giliran’ tiba-tiba dipanggil kembali ke rahmatullah, niat mereka menunaikan haji itu rasanya sudah memadai. Allah saja Yang Maha Tahu... Hidayah seperti biasa keluaran ini menyajikan kisah-kisah iktibar yang menarik untuk direnungi. Salah satu kisahnya ialah mengenai seorang penjual petrol bermotosikal yang begitu gigih menabung wangnya sedikit demi sedikit akhirnya mampu menunaikan haji hasil ketekunannya itu. Disiplinnya wajar dicontohi. Kisah iktibar utama pula memaparkan kematian seorang lelaki yang meninggal dunia selepas memimpin majlis bacaan yasin di rumahnya. Dia hanya seorang rakyat biasa dengan segala kesederhanaannya dimuliakan dengan kematian ‘husnul khatimah’. Sementara iktibar lainnya pula mengisahkan bagaimana seorang ‘tokoh ulama’ tempatan yang dipanggil ‘kiai’ yang dihormati mengalami permasalah ketika upacara pengkebumiannya. Ianya boleh dijadikan renungan bersama. Itulah sebabnya kita digalakkan membaca doa berikut ini sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kebaikan bagi kami di dunia dan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka.”(Al-Baqarah: 201) Kami alu-alukan anda terus menghayati majalah ini. Jadikan ianya sebagai kunci untuk anda berjinak-jinak dengan kitab-kitab agama yang akan memberi anda ilmu dan pengisian fikrah sementara menunggu waktu ‘tutup usia’. Terima kasih kerana terus menyokong Hidayah dan menjadi pembaca setia majalah ini.
Wassalam!

Pengarang

Shahimisaifulislam@Yahoo.com.my.

No comments: