KALAULAH ada sahabat Nabi yang semula dikenali bengis dan sangat membencinya namun seketika berubah menjadi salah seorang pemimpin Islam terkemuka, pastilah dia Umar bin Khattab r.a. Lelaki Quraisy yang lahir 13 tahun setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. (581 Masihi) bernama lengkap Umar bin Khattab bin Nafiel bin Abdul Uzza. Putera pasangan Khatthab bin Nufail Al Shimh Al Quraisyi dan Hantamah binti Hasyim ini tumbuh sebagai pemuda cerdas. Dia boleh membaca dan menulis padahal pada masa itu merupakan tidak ramai kalangan Arab Quraisy yang berkebolehan sedemikian. Jiwanya penuh semangat dan berani, bentuk tubuhnya kuat, terbukti dia menjuarai sukan gusti di Makkah. Pendek kata, populariti Umar sejak dulu sudah tercium, terlebih dia pun berasal dari keluarga kelas menengah. Sebelum memeluk Islam, perilaku Umar sangat kasar. Dulu, dia akrab dengan minuman keras, hal yang lumrah di kalangan kaum Quraisy. Seperti warga Quraisy umumnya, dia juga sangat menentang Rasulullah s.a.w. dan ajaran yang dibawanya. Dia tidak segan bertindak kasar pada siapa saja yang mencuba mengikuti ajaran Muhammad s.a.w., termasuk mereka yang sudah menjadi pengikutnya. Umar tidak rela agama nenek moyangnya ditolak oleh agama yang dibawa oleh Muhammad. Bagi Umar, itu sama saja merendahkan mertabat dan harga dirinya sebagai orang Quraisy. Kebenciannya terus tumbuh hingga timbul niat menghabisi nyawa Rasulullah. Akan tetapi niat busuk itu tercium Rasulullah seraya berdoa, “Semoga Allah memberi kejayaan pada Islam dengan masuknya Umar ke dalam Islam.” Dan Allah s.w.t. pun mengabulkan doa tersebut.
Masuk Islam
Niat yang makin membara itu tak lagi dapat dibendung. Umar bergegas mencari Rasulullah. Namun di tengah jalan, dia berjumpa Nu’aim bin Abdullah, yang tiba-tiba memberi khabar mengejutkan. “Hai Umar, adikmu, Fatimah, dan suaminya, Sa’id bin Zaid, sudah masuk Islam. Tidakkah tindakanmu yang akan mencelakai Muhammad itu sia-sia?” Umar makin tak percaya. Kemarahannya meluap–luap. Dia tunda sementara niat menghabisi Rasulullah, dan bergegas menuju rumah adiknya. Sampai di sana, matanya merah menyala melihat Fatimah dan suaminya sedang mengalunkan ayat–ayat suci Quran. Akan tetapi saat kemarahan benar-benar berada di puncaknya, Umar tiba-tiba disergap keanehan. Ada pancaran hidayah saat itu dia menangkap lembaran-lembaran yang bertuliskan ayat–ayat al-Quran yang sedang dibaca oleh adiknya. Jantungnya berdegub kencang, hatinya bergetar. Rasa ingin tahunya memuncak. Badannya bergetar hebat seraya mengambil lembaran–lembaran yang berisi ayat–ayat al-Quran dan membacanya. Bagai tsunami yang begitu mudah menyapu isi daratan, seketika itu pula hati Umar yang semula membara, tenang seketika. Palung kalbunya serasa disusupi kedamaian yang belum pernah dia rasakan seumur hidupnya. Spontan saat itu juga muncul keinginan untuk segera menemui Rasulullah. Begitu bertemu, dia langsung menyatakan diri masuk Islam, bersyahadat di depan orang yang beberapa saat sebelumnya hendak dibunuhnya. Kemasukan Umar dalam barisan kaum muslim tentu menjadi angin segar bagi umat Islam, akan tetapi tidak sebaliknya. Kaum kafir Quraisy justeru seperti mendapat sial kerana kehilangan salah satu lelaki terbaik mereka. Apalagi diketahui bahawa Umar selanjutnya menjadi pemimpin kaum muslimin yang meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w.
Terpukul Kehilangan Rasul
Suatu ketika, Rasulullah jatuh sakit sampai beberapa minggu. Keadaannya makin memburuk, hingga pada hari Isnin tarikh 8 Juni 632/12 Rabiulawwal, tahun 10 Hijriah, pemimpin teladan itu kembali ke rahmatullah. Berita itu sangat menggemparkan seluruh jazirah Arab. Ada yang percaya, banyak juga yang tidak, dan Umar salah seorang daripadanya. Dia tidak dapat terima dengan kenyataan mengejutkan itu. Umar melarang persiapan pengkebumian Rasulullah. Dia berkeras bahawa Rasulullah tidak wafat, melainkan sedang tidak berada dalam tubuh kasarnya, dan akan kembali sewaktu-waktunya. Tak seorang pun berani menegurnya. Mendengar itu, Abu Bakar As-shiddiq yang kebetulan sedang berada di luar Madinah bergegas kembali. “Saudara-saudara! Barang siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati. Tetapi siapa menyembah Allah, Allah hidup selalu dan tak pernah mati.” “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (QS. Ali Imran: 144) Hati Umar terbuka. Dia akhirnya pasrah membiarkan persiapan pengkebumian dilaksanakan. Dia cuba menerima kepergian pemimpin yang sangat dia cintai melebihi dirinya sendiri itu.
Integriti Kepemimpinan
Umar bin Khattab r.a. adalah pemimpin kedua dalam jajaran Khulafaur Rasyidin, menggantikan kedudukan Abu Bakar. Pada waktu Abu Bakar sakit, dia menunjuk Umar bin Khatthab untuk menggantikannya. Tetapi penunjukan ini tidak mutlak, melainkan diserahkan kepada kaum muslimin atas persetujuan mereka tanpa paksaan atau tekanan dari siapa pun. Umatlah yang akan menentukan siapa yang mereka terima untuk dijadikan Khalifah (ketua negara Islam). Namun ternyata umat menerima Umar bin Khatthab secara pemimpin mereka.
Jatuhnya pilihan umat kepada Umar tentu dengan pertimbangan yang sangat mendalam. Kualiti peribadinya memang menunjukkan bahawa Umar layak memimpin. Dia adalah sosok pemimpin yang berani memisahkan kebenaran dari kebatilan. Atas hal ini ia mendapat julukan Al Faruq dari Rasulullah s.a.w. Selain itu, sejak masa kekhalifahan Abu Bakar, Umar adalah sahabat dan penasihat terdekat. Kerananya dia menjadi pilihan terkuat untuk meneruskan kekhalifahan Abu Bakar. Dan kaum muslimin sepakat membai’at Umar sebagai Khalifah yang baru. “Wahai Kaum Muslimin! Kalian semua memiliki hak–hak atas diriku yang selalu kalian pinta. Salah satunya adalah jika seorang dari kalian meminta haknya kepadaku, dia harus kembali hanya jika haknya sudah dipenuhi. Hak akan mengambil apa pun dari harta negara mahupun dari rampasan perang. Kalian juga dapat memintaku untuk menaikan upah dan gaji seiring dengan meningkatnya wang yang masuk ke dalam tabung negara; dan aku akan meningkatkan kehidupan kalian dan tidak akan membuat kalian sengsara. Juga merupakan hak, apabila kalian pergi ke medan pertempuran, akan bertempur, dan aku akan menjaga keluarga kalian layaknya seorang ayah melindungi keluarganya.” Demikian petikan Umar yang didengungkannya saat dia diamanah untuk menjadi khalifah. Ucapan tersebut bukanlah ‘kata-kata kosong belaka seperti yang sering terjadi pada pemimpin kita saat ini. Umar bukan manusia ego dan kekukuhannya dalam menegakkan kebenaran dan hak–hak rakyat membuat dia demikian dihargai dan memiliki kedudukan penting dalam sejarah. Terbukti Umar memerintah rakyatnya selama sepuluh tahun. Dalam hal prestasi, Umar telah mengukirnya dengan gemilang. Selama pemerintahannya, kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan dinasti Sassanid dari Parsi (yang mengakhiri masa pemerintahan Sassanid) serta mengambil alih Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari kerajaan Rom (Byzantium). Umar r.a. melakukan banyak perubahan selama beliau menjadi khalifah dan menangani dari dekat hal ehwal masyarakat, termasuk membangun sistem pentadbiran untuk daerah yang baru ditaklukkan. Beliau memerintahkan diselenggarakannya perubahan menyeluruh di seluruh wilayah kekuasaan Islam. Tahun 638 M, dia memerintahkan untuk memperluas dan mencantikkan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Dia juga memulai menyusun peraturan-peraturan sehingga menjadi kitab undang-undang hukum Islam.
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2011 di pasaran...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment