Wednesday, April 10, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, kita bertemu lagi dalam keluaran bulan April ini. Sebagaimana biasa, kami terus membawa anda mengikuti pelbagai kisah kehidupan suka duka manusia di atas muka bumi Allah.
Istimewanya dalam ruangan IKTIBAR, antara yang menariknya ialah mengenai kisah jemaah haji ‘berseluar pendek’ sepanjang berada di Makkah. Ini bukan kisah lucu, namun menggambarkan betapa ‘jemaah haji’ berkenaan menyirat latar belakang kehidupannya yang gelap dan kemudian terdedah apabila menjijak Tanah Suci. IKTIBAR 3 dipaparkan mengenai seorang lelaki yang akhirnya menjadi ‘gila’ kerana tewas dalam pertandingan merebut jawatan ‘lurah’. Dia sanggup berhabisan wang ringgit bagi mendapatkan ‘kuasa’, namun takdir tidak membenarkan seorang ‘perasuah’ sepertinya menjadi pemimpin di kalangan masyarakat. Renung-renungkan kisah tersebut dengan bakal-bakal calun PRU13 kita tak lama lagi ini. Jangan bagi muka dengan mereka yang tak jujur untuk dijadikan pemimpin di negara tercinta kita ini. IKTIBAR berikutnya pula ialah mengenai ‘Keranda Terbang’ seorang pendakwah bebas yang tegas dalam menghadapi “Amar ma’ruf nahi mungkar”. Walaupun tokoh ini dirahsiakan identitinya, namun dia wujud dalam dunia yang serba mencabar ini bagi membuktikan bahawa tokoh-tokoh mulia seperti ini akan terus ada hingga akhir zaman.
Pembaca budiman, anda juga dialu-alukan untuk membaca rencana ‘Mukmin Istimewa Dalam Kubur’. Semoga ada hikmahnya selepas membaca rencana berkenaan dan sama-samalah kita berdoa akan termasuk dalam golongan orang-orang mukmin yang istimewa ini. Dalam pada itu anda perlu membaca ‘Hikmah menziarahi orang mati dan melawat tanah kubur’, kerana walaupun kita saban waktu berziarah rakan-rakan kita yang mati, dan tidak kurang juga yang melawat ke tanah perkuburan, namun kita masih kabur dengan pelbagai hikmat berbuat demikian.
Wassalam.
Terima kasih kerana terus membaca Hidayah. Sementara pembaca baru dialu-alukan untuk terus kekal membaca majalah ini semoga ianya dapat membentuk kita menjadi mukmin yang sejati, InsyaAallah.

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: