Monday, December 9, 2013

Jangan Perdagangkan Dalam Menyebar Ilmu Allah

Guru-guru agama dan para ustaz ada bercakap bahawa kalau kita mengkritik ulama, satu dosa. Kita tidaklah tahu, sama ada ia dosa besar atau pun dosa kecil saja. Tetapi bezanya ulama-ulama dahulu dengan ulama-ulama sekarang sangat jauh. Ulama dulu menuntut ilmu berjalan kaki ribu-ribu batu, jalan kaki, dan naik unta atau pun kuda. Tetapi ulama-ulama sekarang tuntut ilmu naik kapal terbang. Kalau menuntut dalam negeri, naik kereta, atau pun naik keretapi. Kita tidak dengar ulama-ulama sekarang menuntut ilmu berjalan kaki beratus-ratus batu jauhnya. Kalau ada orang yang buat macam tu, akan dianggap “ada yang tidak betullah tu...” Zaman sekarang serba serbi canggih. Zaman sains dan teknologi, tentulah tidak betul kalau ada orang cari ilmu jalan kaki atau pun naik basikal. Tetapi bezanya, antara ulama dulu dan sekarang ialah macam “bumi dengan langit”. Bukan sahaja dari segi ilmunya, tetapi dari segi minda dan sikap. Ulama dulu, apa yang dibuat semuanya “kerana Allah”. Tetapi ulama sekarang, kerana “Duit”. Tidak ada “Duit” depa tak mahu datang beri ceramah atau pun menyampaikan ilmu agama Allah. Ulama sekarang, kalau ada jemputan untuk mengembangkan syiar Islam, pertama sekali yang ditanya: “Berapa nak bayar...” tetapi ulama atau pun tuan-tuan guru dulu, tidak pernah tanya bayaran, Dan tidak pernah tanya, berapa nak bayar...? Kalau kita baca sejarah para ulama dulu seperti para imam mazhab, atau pun ulama-ulama yang berwibawa dan yang berkaliber yang mempunyai ilmu mendalam dan luas, mereka mengajarkan ilmu yang ada pada mereka semata-mata kerana Allah. Kita tidak terbaca berita yang ditulis oleh pengarang buku agama dulu yang merakamkan Imam Malik meminta bayaran sekian-sekian dinar apabila beliau mengajar ilmu agama dalam majlis-majlis agama?  Kita juga tidak pernah dengar berita Imam Ghazali mengenakan 30 dinar atau pun dirham sekali berceramah, dan sekali mengajar dalam majlis ta’lim? Begitu juga penceramah-penceramah “semi-Islam” sekarang ini akan mengenakan bayaran sekian banyak, kalau mereka diundang ke mana sahaja, sama ada ceramah dalam majlis “makan tengah hari”, ataupun “makan malam”. Yang ditanyakan ialah bayaran dulu, sedangkan ilmu yang disampaikan itu ialah ilmu Allah Taala yang “wajib” disampaikan kepada khalayak. Sekarang ini timbul cerita tentang agama diperdagangkan. Agama jadi “jual beli”. Ada tawar menawar kalau mahu menyampaikan ilmu Allah Taala. Lebih-lebih lagi orang-orang yang namanya ada tercatat dimana-mana sama ada di akhbar atau pun di media lain, akan ‘demand’ kepada penganjur yang akan mengadakan majlis ta’lim. Kadang-kadang ada yang membuat perbandingan, kalau seorang artis yang menyanyi dua atau pun lima buah lagu dan menyanyi tak sampai sejam boleh dibayar ribuan ringgit, kenapa guru agama yang menyampaikan ilmu Allah Taala tidak boleh dibayar sebanyak itu? Imam Malik, Imam Hambali, Imam Syafi’i tidak pun mengenakan apa-apa bayaran sekiranya mereka diundang untuk menyampaikan ilmu Allah Taala?

Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2013 di pasaran...

No comments: