Monday, December 9, 2013

Sepasang Mata Wanita Salihah

KALAU kita rajin menyingkap kitab-kitab agama, maka kita akan temui berbagai cerita agama yang menarik yang boleh kita jadikan teladan dalam hidup. Para Penulis zaman dulu sangat teliti mencari kisah-kisah agama yang diabadikan dalam kitab-kitab lama. Kadang-kadang juga kita baca kisah itu diceritakan oleh para ulama yang diterimanya dari orang-orang alim sebelum itu. Cerita yang dikisahkan ini ialah kisah seorang wanita salihah. Walau pun dia mempunyai potongan badan yang cantik, tetapi anugerah itu digunakan dengan sebaik-baiknya. Dalam sebuah negeri di Basrah, ada seorang pemuda bernama Mohd. Basri. Dia suka bermewah-mewah dan bermegah-megah dengan kekayaannya. Pada suatu hari ketika dia berjalan-jalan di keliling kota terlihat wanita salihah ini. Lalu dia mengekorinya. Wanita ini merasakan firasatnya lalu berhenti dan bertanya kepada pemudanya ini: “Anda terus mengekori saya, apakah anda tidak malu? Apa sebenarnya hajat anda?” Pemuda itu menjawab: “Apa yang dimalukan. Tidak ada orang yang melihat?” Perempuan tadi berkata, “Malu kepada Zat yang mengetahui khianatnya mata dan apa yang disembunyikan di balik dada.” Tersentak Mohd. Basri. Sesuatu yang berat hinggap di hatinya. Namun ia kurang tabah dan tidak mampu menguasai hawa nafsunya. Maka ketika perempuan itu meneruskan jalannya, Mohd. Basri segera mengekornya kembali di belakangnya. Si cantik itu menghentikan langkahnya dan bertanya, “Mengapa tuan teruskan juga mengganggu saya?” Mohd. Basri menjawab, “Saya terpesona oleh kedua matamu yang indah itu.” “Kalau begitu duduklah tuan di sini, tunggu saya sebentar. Saya akan pulang dulu dan akan saya hantarkan apa yang tuan inginkan,” balas si perempuan. Alangkah gembiranya hati Mohd. Basri. Dia mengira perempuan itu sudah terpikat kepadanya sebagaimana dia telah terjerat oleh sicantik itu. Maka dengan dada berdebar-debar dia menunggu di tempat itu. Tidak lama kemudian muncul seorang perempuan, membawa sebuah bungkusan yang ditutup rapat dengan selembar saputangan lebar. Dia berjalan menunduk mendekati Basri, dengan kesedihan wajahnya. Mula-mula Mohd. Basri hairan menerima bungkusan itu. Namun dengan harap-harap cemas, diambilnya juga. Dia menerima kiriman hadiah yang dia belum tahu apa isinya. Dengan gementar kerana gembira yang melampui batas, dibukanya penutup bungkusan itu. Betapa terperanjat dan pucatnya Hasan Basri. Seketika putih wajahnya, dan ia terpekik ngeri begitu saputangan tersebut tersibak. Di dalamnya terdapat sepasang mata lembu yang masih berdarah.
Sebelum hilang kehairanan, perempuan itu menerangkan dengan kalimat yang terputus-putus: “Perempuan yang tuan mengikuti itu adalah majikan saya. Beliau berpesan, bahawa beliau tidak mahu memiliki mata yang membuat fitnah atas orang laki-laki. “Kerana itu beliau mengirimkan mata lembu ini agar tuan boleh menikmati dan terbebas dari godaan itu. Sebab mata lembu lebih lazat dari mata manusia. Mata majikan saya hanya akan tuan pandangi, tapi mata lembu dapat Tuan makan.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2013 di pasaran...

No comments: