Wednesday, June 11, 2014

Godaan Cinta Para Calon Sufi

KALAU kita perhatikan kisah hidup para sufi, ternyata ramai diantara mereka yang mengawali perjalanan spiritualnya dengan melakukan taubat dari urusan cinta asmara yang tidak terkendalikan. Sekadar contoh, di bawah ini kami paparkan empat kisah tentang hal tersebut, yang bahannya di ambil dari buku karya Fakir Zulfikar Ahmad Naqshbandi, berjudul “Love for Allah: A Translation of Ishaq ilahi.” Selamat membaca, semoga kita dapat mengambil pelajaran berharga. Pertama, dikisahkan bahawa seorang yang diperbudakan oleh hawa nafsunya melakukan baiat kepada Maulana Asyraf Ali Tsanwi. Dia menulis surat kepada syeikhnya bahawa dirinya tidak memiliki kekuatan untuk memalingkan pandangan dari wanita. Syeikh menjawab, “Kekuatan adalah nama lain dari kemahuan keras yang dapat dipilih seseorang untuk digunakan atau tidak. Jika seseorang memiliki kekuatan untuk menahannya, maka ini dikenal dengan penyakit dan bukan kekuatan. Kerana itu, yang anda miliki adalah penyakit melihat perempuan lain, dan ini mesti diubati.”
Orang tersebut menulis lagi dalam surat balasannya, “Syeikh sekarang saya hanya melihat sekali, kerana pandangan pertama dimaafkan.” Syeikh menjawab, “Pandangan pertama dimaafkan jika terjadi secara tidak sengaja. Jika disengaja, satu kali melihat tetapi memiliki suatu tujuan, itu tidak boleh.” Orang tersebut menulis ketiga kalinya, “Syeikh, ciptaan Allah s.w.t. merupakan refleksi sifat-sifatNya. Kerana itu, aku memandang yang cantik dengan mengagumi mereka sebagai refleksi-refleksi keindahan Allah s.w.t.” Terhadap hujah tersebut, Syeikh menjawab, “Ya, wajah orang-orang cantik sesungguhnya refleksi, tetapi mereka adalah refleksi yang berapi yang dapat membakar. Ingat, melihat wajah-wajah semacam itu membuat seseorang patut mendapatkan api neraka.” Orang tersebut akhirnya menulis kembali, dengan mengatakan bahawa dirinya telah melakukan taubat dengan tulus. Kedua, dikisahkan, suatu ketika seorang menuju khanaqah (semacam pondok) Syeikhnya untuk melakukan kebaikan diri dan tinggal di sana untuk beberapa hari. Dia sering sibuk dengan tugas-tugas dapur. Kadang-kadang seorang wanita datang untuk membersihkan tempat itu, dan si lelaki tersebut dapat memandangnya dengan rakus. Si wanita yang masih perawan itu lalu pergi menghadap syeikh, dan mengeluh kerana pandangan lelaki tersebut penuh dengan nafsu. Syeikh mulai gelisah dan mulai memikirkan cara-cara terbaik untuk memperbaiki akhlak muridnya. Suatu ketika, wanita yang biasa membersihkan tempat tersebut terserang penyakit cirit-birit. Syeikh mengirim pesan kepadanya agar menggunakan bilik mandi khusus, sehingga semua kotorannya berada dalam satu tempat. Setelah beberapa hari keadaannya beransur baik, namun tubuhnya masih lemah dan kelihatan kurus. Ketika dia kembali ke dapur untuk membersihkan tempat itu, si lelaki bermata rakus memalingkan wajahnya kerana si wanita itu nampak tidak menarik baginya. Perubahan sikap lelaki ini lalu dilaporkan oleh si wanita kepada gurunya. Syeikh kemudian memanggil lelaki itu dan berkata sambil menunjuk bilik mandi khusus, “Lihatlah, di sana ada kekasihmu!” Muridnya merasa sangat hairan. Dia lalu bertanya, mengapa tumpukan kotoran (najis) disebut kekasihnya? Syeikh menjelaskan, “Ketika wanita yang membersihkan dapur itu lalu, kamu memandangnya dengan rakus. Waktu dia sakit, kotoran itulah yang keluar dari tubuhnya. Jika setelah sakit kamu berpaling darinya, jelaslah bahawa kekasihmu itu adalah tumpukan kotoran yang telah terpisah dari tubuhnya.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2014 di pasaran...

No comments: