Wednesday, June 11, 2014

Mati Tidak Meninggalkan Apa-Apa Harta

BOLEH dikatakan sebahagian besar “seniman” dan “seniwati” besar dimasa-masa lalu mengakhiri kehidupan mereka dengan satu kehidupan yang agak “payah”. Sebahagian dari mereka tidak meninggalkan “aset” yang banyak dan besar. Mereka meninggalkan dunia yang fana ini hanya dengan namanya yang besar.
Tidak seperti seniman dan seniwati barat sama ada dia dari pelakon, penyanyi dan bintang dari mana sekalipun apabila dia meninggalkan dunia yang fana ini, asetnya melimpah ruah ditinggalkannya.
Ada beberapa orang penyanyi yang sehingga sekarang lagu-lagunya masih diputarkan telah meninggalkan dunia sejak 30 dan 40 tahun yang lalu, hanya meninggalkan “nama yang baik” dikalangan orang ramai terutama kepada para peminat mereka. Tidak ada yayasan atapun “dana” atas nama seniman atau seniwati itu kerana harta yang ditinggalkannya dan diamanahkan untuk itu dan ini, tidak ada. Seniman agung Tan Sri P. Ramlee misalnya, dalam hari-hari terakhir dalam kehidupannya, dia terpaksa berusaha untuk membayar itu dan ini semata-mata kerana membantu ataupun menolong sahabat ataupun kawan rapat. Misalnya, P. Ramlee pernah menjadi “penjamin” kepada seorang sahabat karib yang mahu membuka perniagaan, dan akan buka “kedai makan”, tetapi setelah mendapat pinjaman itu atas jaminan P. Ramlee sahabatnya itu “menghilangkan diri” entah kemana. Pihak bank ketika itu terpaksa mencari penjamin untuk melangsaikan “pinjaman hutang” yang bertimpa-timpa itu. P. Ramlee sehingga akhir hayatnya terpaksa menanggng beban yang berat itu. Sedangkan beliau sendiri tidak ada sesiapa pun yang mahu menjadi “penjamin”, ketika beliau mahu membuat pinjaman untuk mengeluarkan filem sendiri. Pemimpin-pemimpin negara ketika itu, dan mereka yang kenal dan tahu hati budi P. Ramlee tidak pernah mahu “membantu” P. Ramlee dalam cita-citanya untuk menjadi seorang pengeluar filem Melayu ketika itu. Kerana P. Ramlee tidak punya “aset” apa-apa, hanya yang ada sahabat karib, teman-teman rapat saja, sedangkan “harta benda” tidak ada, maka tidak sesiapa pun mahu menolongnya. Tetapi P. Ramlee dalam menghadapi kehidupan yang “payah” begitu masih lagi mempunyai sifat-sifat mulia dan menyimpan hati nurani yang cemerlang untuk membantu orang lain.
Sahabat paling rapat di Kuala Lumpur dan di Studio Ulu Kelang ialah Salleh Ghani. Kepada Salleh Ghanilah, biasanya P. Ramlee mengadu hal apa juga masalah yang sedang dihadapinya. Masalah rumah tangganya pun P. Ramlee mengadu kepada Salleh Ghani. Inilah satu-satu sahabat karibnya yang menyusun dialog dalam skrip filem yang akan dishooting dalam Studio Ulu Kelang. Pengarah Salleh Ghani juga berguru kepada P. Ramlee dalam mengendalikan “selok belok filem”. Dari P. Ramlee, Salleh Ghani belajar mengarah filem.
Diakhir hayat dalam awal tahun 1973, P. Ramlee terpaksa menerima apa juga pertunjukan pentas yang dianjurkan badan-badan tertentu sama ada di Kuala Lumpur ataupun di luar Kuala Lumpur. Dengan “Band Putih”nya, P. Ramlee bersama dengan beberapa orang rakan pemuziknya, kadang-kadang menerima juga undangan dalam majlis “walimatul urus” dari kalangan orang-orang kenamaan tertentu saja. Dalam pertunjukkan pentas yang dibuat di luar Kuala Lumpur, kadang-kadang P. Ramlee mengundang  beberapa orang penyanyi terkenal seperti S.M.Salim, pelawak seperti Jamal Kerdil, A. R. Tompel dan beberapa yang lain dalam stageshow itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2014 di pasaran...

No comments: