Wednesday, June 11, 2014

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita kini sudah memasuki bulan Syaaban, dan selepas itu...datanglah Ramadan 1435. Seperti biasanya, kami terus memaparkan kisah-kisah mengenai kematian dalam ruangan iktibarnya. Memang sesungguhnya kematian itu merupakan satu pengajaran bagi setiap diri kita ini. Di negara kita, baru-baru ini dikejutkan dengan kisah sebuah kubur seorang wanita yang bercahaya ketika akan dikebumikan jenazahnya. Kisah itu sungguh memberi kesan bahawa apabila Allah hendak memberi kemuliaan kepada seseorang itu maka petandanya ditunjukkan di dunia ini juga. Apa yang perlu kita ingat ialah diri kita ini. Apakah kita juga akan dimasukkan dalam liang kubur dalam keadaan bercahaya atau sebagainya. Mampukah kita menjawab soalan malaikat mungkar Nakir. Mampukah kita ‘tersenyum’ ketika jenazah kita di hulurkan masuk ke liang lahad? Itulah gunanya kita mengikuti ruangan-ruangan iktibar mengenai kematian yang tidak akan habis-habis dikisahkan. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Melalui kisah iktibar 1 dipaparkan jenazah seorang wanita yang apabila kuburnya di korek untuk dipindahkan ke tanah perkuburan baru, tanahnya mengeluarkan aroma bau yang wangi dan dari rangkanya mengeluarkan haruman mewangi. Bacalah kelebihan amalan wanita salihah ini. Namun dalam kisah iktibar lainnya dipaparkan kesudahan kematian yang su’ul khatimah – akhir hayat yang tragis dan mengharukan. Maka dalam meniti kehidupan ini, kita siarkan sebuah rencana Hidayah ‘Kompas Kehidupan ke akhirat’ yang akan dapat dijadikan panduan kita bersama. Sementara itu dalam ruangan nostalgia penulisnya memaparkan kisah menarik mengenai seorang anak Melayu pertama menjual roti canai di Kuala Lumpur. Dalam ruangan Pak Syeikh pula, penulisnya berterus terang menegur golongan artis yang kerap kahwin cerai. Dan apa yang menariknya penulis menasihatkan pasangan suami isteri golongan artis ini mengamalkan solat berjemaah waktu subuh untuk mendapat keberkatan hidup berumah tangga. Bagi golongan wanita pula, seharusnya anda ikutilah rencana bertajuk: ‘Cintai Suami Berpahala besar’. Buanglah sifat merendahkan-rendahkan suami anda dan hormatilah suami anda dan jadilah isteri salihah yang akan menjamin anda bakal mengetuk ‘pintu syurga’. Ruangan ini diakhiri dengan memetik nasihat dari Abullait Assamarqandi yang mengatakan: “Siapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapi dengan melakukan amal yang salih (baik) dan meninggalkan amal kejahatan (dosa) sebab ia tidak mengetahui bilakah  datangnya mati itu kepadanya.” Terima kasih kerana terus membaca Hidayah dan kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.Wassalam!

Pengarang
Suhaimi Hamid

No comments: