Wednesday, June 11, 2014

Perjuangan Islam Tidak Ada Istirehat

DAKWAH yang sedang kita pikul sekarang ini bukanlah dakwah yang baru bahkan ia adalah sebuah gerakan dakwah yang mempunyai akar sejarah yang panjang di mana kita tidak kekurangan dari segi rujukan dan pengalaman. Rujukan dan pengalaman yang ada pun bukan hanya dari segi keberhasilan dan kejayaannya semata-mata, tetapi juga diiringi dengan peristiwa-peristiwa kegagalan dan kegelinciran pelakunya di sepanjang zaman. Memang, kegagalan dan kegelinciran pelakunya tidaklah sepatutnya menjadi kebanggaan generasi penerus, namun semua itu merupakan kekayaan dakwah yang menjadi modal untuk bekerja lebih baik dan lebih berhasil di masa-masa yang mendatang. Sejak dahulu hingga sekarang, kebanggaan para pendakwah akan kebenaran dakwah yang dibawanya sentiasa menjadi sumber kekuatannya dalam dakwah dan perjuangan. Ianya menjadi sumber kekuatan kerana ia yakin dan ‘tsiqah’ dengan janji Allah sama ada:
1. Kemenangan di dunia dengan tegaknya syariat dan nilai Islam.
2. Gugur syahid di jalan yang mulia menuju cita-cita tertinggi.
Tarbiyah yang kita laksanakan selama ini mestilah mampu meningkatkan kualiti iman dan amal kita. “Izzah” (kebanggaan) kita terhadap Islam juga mestilah semakin besar.
Dengan kebanggaan tersebut, seseorang diharapkan tidak akan terbuai dengan kesenangan dunia, meskipun halal. Dengan kebanggaan itu pulalah seseorang terus bekerja dan berjuang untuk cita-cita dan tidak tergoda untuk istirehat atau meminta izin beberapa saat untuk mengejar tujuan duniawi tertentu atau terlalu memikirkan keadaan keluarga, isteri dan anak-anak. Sekali lagi kita seharusnya mengimbau akan keteguhan dan ketegaran Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, seorang ahli hadis, ahli fiqh (Imam Mahzab Hanbali) dan seorang pendakwah. Dalam kitab ‘Thabaqat Al Hanabilah’ disebutkan bahawa ketika Ahmad bin Daud, Abu Sa’ud Al Wasithi menemui Imam Ahmad di penjara sebelum beliau disebat, ia berkata kepadanya:
“Wahai Abu Abdullah (Imam Ahmad), Kamu mempunyai tanggungan keluarga yang perlu Kamu urus, Kamu juga mempunyai anak serta Kamu sudah uzur (kerana usia),”
Dengan mantap dan ‘izzah’ imaniyah, beliau menjawab:
“Jika demikian cara berfikir Kamu wahai Abu Sa’ud, maka sebenarnya Kamu sudah istirehat dari perjuangan.”
Pemikiran dan perkataan semacam ini sudah banyak terlontar dari para pendakwah.
Pendakwah yang berniat untuk pencen (bersara) biasanya ingin menghabiskan sisa usianya untuk:
1. Kariernya.
2. Keluarganya.
3. Kehidupannya.
4. Cita-cita peribadinya.
Mereka biasanya akan sibuk dengan:
1. Usaha mereka.
2. Perniagaan mereka.
3. Keluarga mereka.
4. Cita-cita kehidupan mereka.
Mereka beranggapan bahawa mereka sudah selesai melaksanakan kewajipannya ketika mereka masih muda dahulu dan ketika mereka masih sangat diperlukan oleh dakwah. Dalam pandangan mereka, sekarang dakwah sudah mempunyai aktivis-aktivis baru yang segar dan siap sedia untuk menghabiskan waktu mereka di jalan dakwah ini sama sepertinya dahulu. Pada hakikatnya ucapan-ucapan mereka itu adalah ucapan :
1. Peristirehatan dari segala tugas dakwah.
2. Orang yang tertipu dengan pemahaman keislaman mereka yang sempit.
Hakikatnya, perjuangan Islam tidak mengenal kata istirehat sehingga ketentuan Allah datang kepada kita, sama ada menang atau gugur syahid.
Kejayaan kita di dunia sama ada dalam bidang pekerjaan atau kemajuan dalam apa-apa bidang yang kita ceburi sekalipun tidak akan bermakna jika ianya tidak menambah keteguhan dan pengorbanan di jalan dakwah.
Apakah nilai seseorang yang menjadi ahli perniagaan yang berjaya jika ia tidak mampu mencontohi Uthman bin Affan r.a. atau Abdul Rahman bin Auf r.a. atau Abu Bakar As Siddiq r.a. atau sahabat lainnya yang berhasil dalam usaha-usaha keduniaan mereka, namun tidak pernah meninggalkan dakwah, bahkan mereka menjadi tulang belakang utama dakwah di zaman Rasulullah s.a.w.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Jun 2014 di pasaran...

No comments: