Wednesday, March 3, 2010

Dakwah Rasulullah Kepada Bangsa Jin

SUATU ketika, Al-Qamah bertanya kepada Ibnu Mas’ud perihal siapa saja yang telah menemani Rasulullah untuk menemui dan mendakwah bangsa jin. Saat itu, Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa suatu malam, para sahabat pernah tidak melihat Rasulullah s.a.w. Setelah dicari, Rasulullah tetap tidak kelihatan. Para sahabat pun sangat khuatir. Apalagi, saat itu kaum kafir Quraisy sedang melancarkan tipu muslihat untuk mencelakakan Nabi s.a.w. Mereka menyangka baginda telah diculik kaum kafir Quraisy. Sepanjang malam, para sahabat dilanda kegelisahan dan perasaan yang tidak menentu. Mereka tidak boleh tidur kerana menunggu khabar tentang keberadaan Rasulullah. Menjelang pagi hari, mereka melihat Rasulullah muncul dari arah gua Hira. Melihat kedatangan Rasulullah tersebut, serentak para sahabat sangat lega dan gembira. Mereka kemudian mengkhabarkan kepada Rasulullah ehwal kegelisahan mereka selama semalam suntuk kerana tak melihat baginda. Mereka pun menyuarakan kekhuatiran mereka perihal keselamatan Nabi s.a.w. dan kemungkinan-kemungkinan buruk yang mereka bimbangkan bakal menimpa Rasulullah. Mereka merasa bersyukur, kerana Nabi s.a.w. yang mereka cintai ternyata tidak mengalami peristiwa seperti yang mereka khuatirkan itu.
Rasulullah dapat memahami kekhuatiran para sahabatnya itu. Baginda pun kemudian menjelaskan tentang apa sebenarnya yang telah terjadi kepada dirinya, “Sesungguhnya para mubaligh dari bangsa jin telah datang menemuiku. Maka, mereka kudatangi dan kemudian aku membacakan ayat-ayat al-Qur’an untuk mereka.”
Untuk menyakinkan para sahabat tentang apa yang baginda katakan, Rasulullah mengajak para sahabat mengikut jejak baginda. Pada jejak-jejak itu juga terdapat para jin yang berkumpul dan bekas api yang mereka bawa sebagai alat penerangan. Menurut penafsiran Al-Suhaili sebagaimana dilansir Abu Azka Fathin Mazayasyah dan Ummi Alhan Ramadhan M dalam buku Bercinta Dengan Jin, jin yang masuk Islam lewat bacaan ayat-ayat al-Quran yang diperdengarkan oleh Rasulullah semula berasal dari agama Yahudi, iaitu pengikut Nabi Musa a.s.
Sementara Ibnu Salam memiliki pandangan yang sama tentang hal itu. Ia menambahkan, peristiwa tersebut berlangsung dalam masa tiga tahun sebelum Rasulullah hijrah ke Madinah. Juga sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj. Adapun mengenai jumlah jin yang hadir saat itu, menurut Ibnu ishak, ada tujuh jin saja. Ibnu Hatim menjelaskan secara lebih lengkap lagi. Menurutnya, dari tujuh jin itu, tiga jin berasal dari Haran dan empat jin dari Nashibin. Menurut Al-Tsauri, yang diberitakan oleh Ashim dan bersumber dari Zurr bahawa jin yang hadir itu berjumlah sembilan jin. Sedangkan pendapat Al-Tsauri yang diriwayatkan Ikrimah, jumlahnya melonjak secara fantastik, iaitu dua belas ribu jin. Terlepas mana yang benar dari jumlah-jumlah tersebut: yang jelas, pertemuan Rasulullah s.a.w dengan bangsa jin tiada lain adalah untuk mendakwahkan agama tauhid kepada mereka. Di antara para jin yang pernah ikut mendengarkan dakwah Rasulullah s.a.w. tersebut, menurut Ibnu Durair, adalah Syashir, Mashir, Munsyini, Masyie dan Al-Ahqag. Dalam buku Laskar Api: Buku Paling Pintar tentang Jin karya Ruqayyah Yaqubi disebutkan bahawa ada suatu malam yang disebut dengan istilah lailatul jin (malam jin). Ertinya, suatu malam di mana Rasulullah mendatangi para jin untuk berdakwah: mengajarkan agama dan memperdengarkan ayat-ayat al-Quran. Istilah ini semakin menegaskan bahawa ada hari-hari tertentu di mana Nabi s.a.w. akan mendatangi bangsa jin untuk berdakwah. Tempat jin yang didatangi Rasulullah untuk berdakwah berbeza-beza: kadang-kadang gua, kadang-kadang pula pohon besar dan sebagainya. Misalnya, seperti disebutkan Mazayasyah dan Ummi Alhan Ramadhan M, bahawa suatu ketika Allah pernah mendatangkan kepada Nabi s.a.w. sekelompok jin untuk belajar agama kepadanya. Dikatakan, sebatang pohon besar kemudian menawarkan dirinya kepada Nabi s.a.w. sebagai tempat berkumpulnya para jin yang hadir tersebut. Para jin itu pun datang dan lalu belajar agama kepada Nabi s.a.w. Setelah itu, mereka segera kembali kepada kaumnya untuk menyampaikan apa yang telah dipelajarinya dari Rasulullah s.a.w.

Selanjutnya dapatkan Hidayah keluaran Mac 2010 di pasaran...

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah, terima kasih diucapkan atas perkongsian ini. Di sini juga terdapat beberapa maklmat berkaiatan dengan Jin
Usrah: Bangsa Jin - Usta Hanafiah Abdul Malek
InsyaAllah bermanfaat