HARI masih pagi ketika seorang lelaki keluar dari sebuah rumah kecil di pinggiran kota. Dengan membawa seutas beg yang terisi dokumen peribadinya, dia berjalan perlahan-lahan. Ada banyak yang terfikir di benaknya.
Pagi itu, harapannya, dia bakal diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Sebab, sudah beberapa bulan ini dia merayap ke hulu ke hilir mencari pekerjaan. Tapi, peluang pekerjaan belum membukakan jalan keluar. Jarak dari rumah menuju pejabat yang di tujunya agak jauh. Namun, semua itu tidak dihiraukannya. Bagi dia, memperoleh pekerjaan sebagai seorang pekerja atau pegawai sebuah syarikat korporat adalah cita-citanya. Kerana itu, dia pun bersemangat menuju pejabat yang berprestij di pusat kota. Hari itu saatnya dia menjalani temuduga kerja. Namun, entah kenapa, setelah keluar dari pejabat berkenaan, raut wajahnya lesu. Ternyata, temuduga yang dia jalani tidak berjaya. Dia gagal untuk diterima di syarikat itu. Sebab, ujian lisan tidak dapat dijawabnya dengan baik. Namun begitu, dia masih meniti harapan, semoga dia dipanggil lagi untuk menjalani ujian berikutnya.
Sebulan sudah peristiwa itu berlalu. Namun, hingga saat ini, panggilan kerja belum dia terima. Maka, fikirnya, besar kemungkinan dia ditolak. Tatapan matanya pun tertuju pada tumpukan kertas lamaran kerja di meja. Banyak sekali. Ya, sudah hampir enam bulan ia mengirim surat lamaran ke berbagai tempat tertentu. Semuanya tak dapat jawapan apa-apa pun. Lelaki itu, Ahmad Yani, 25, sudah cukup kecewa. Ijazah BA yang dia perolehi tak boleh membantu dirinya agar dapat pekerjaan berprestij. Rasa-rasanya, kali ini, dia hampir berputus asa.
Dia tinggal dengan ibunya. Sementara ayahnya sudah tidak serumah lagi. Si ayah tinggal dengan isteri kedua. Ibu bapanya bercerai cukup lama, 10 tahun lalu. Dia anak yang kedua. Abangnya sudah berkeluarga dan kini tinggal dengan isterinya di kota. Jadi, di rumah itu, dia hanya tinggal dengan ibunya saja. Untuk memenuhi keperluan sehari-hari, ibunya membuka gerai kecil-kecilan menjual barangan runcit di rumah. Dari usaha ini, ibunya mampu menyekolahkan Ahmad Yani hingga meraih sarjana muda. Ibunya berharap, Ahmad Yani dapat menjadi anak yang dibanggakan. Namun, hingga kini, anaknya masih mengganggur. Ahmad Yani sebenarnya lelaki mudah bergaul. Dia boleh dikatakan agak dikenali di kampungnya. Dia juga mempunyai ramai teman. Salah satu tempat ‘melepaknya’ adalah di persimpangan jalan dekat kampungnya. Di sana, dia menghabiskan waktu-waktu lapangnya. Namun di situlah bermula puncanya. Di persimpangan itulah, dia mula berkenalan dengan beberapa kenalan pondannya. Kebetulan, di persimpangan itu ada salon yang beberapa pekerjanya pondan. Hingga satu hari, dia diajak untuk bekerja di salon itu. Walaupun tak ada pengalaman langsung sebagai juru hias atau pendandan rambut, dia tetap diterima bekerja di sana. Dan dari sinilah, dia mengawali pergaulannya dengan kalangan pondan. Namanya juga telah ditukar. Dia dipanggil dengan nama ‘Susy’.
Salun Kecantikan
Dua tahun kemudian Ahmad Yani merantau ke kota. Ia menetap dan tinggal di sebuah rumah pangsa. Di kota, dia bekerja di salon ternama. Namun, tanpa di sedari, pergaulannya dengan para pondan telah menyeretnya masuk dalam kelompok itu. Dia pun berubah menjadi pondan. Dia mengubah penampilan dan gayanya. Sekali pandang laksana wanita. Lengkap dengan payu daranya. Ahmad Yani menyuntik beberapa bahagian tubuhnya untuk mempercantik tubuh. Sejak itulah, ibunya tak mahu menerima Ahmad Yani sebagai anaknya. Ibunya tidak merestui anaknya menjadi seorang pondan. Ketika dia melahirkan Ahmad Yani, anaknya itu cukup sifat sebagai seorang lelaki. Kini Ahmad Yani tidak diterima pulang ke rumah ibunya di kampung. Waktu-waktu berjalan terus. Hari berganti hari. Ahmad Yani kian menebarkan sayapnya. Dia tidak hanya bekerja di salun. Kala malam menjelang, dia bekerja di sebuah disko ternama di kota itu. Hingga lambat laun, Ahmad Yani jatuh dalam kehidupan malam. Dia terjerumus bergelumang dalam kancah maksiat.
Aktivis Pembela Pondan
Dalam kelompok pondan itu, Ahmad Yani mendapat ramai kenalan. Dia memiliki kedudukan dan kepimpinan dalam sebuah pertubuhan kalangan pondan. Dia sering menyuarakan kepentingan kaum pondan bila ada sikap diskriminasi yang dilakukan penguasa setempat mahupun masyarakat. Dengan kata lain, dia menjadi aktivis dan pembela bagi komuniti ini. Bagi dia, kalangan pondan bukanlah sampah, melainkan sebuah aset bangsa. Begitu idealisnya dia dengan pemikirannya itu. Ahmad Yani, ataupun Susy ini, hidup serumah dengan seorang lelaki. Tinggal sebumbung, macam ‘suami isteri’. Ahmad Yani sebagai ‘isteri’, dan lelaki itu sebagai ‘suami’nya. Namun, hubungan mereka tidak dirasmikan, baik secara agama mahupun negara. Sebab, pasangan ini menyalahi aturan norma yang berlaku. Walaupun telah mempuyai pasangan, aktiviti Ahmad Yani dalam kehidupan malam terus dijalani. Dia tetap melayani panggilan mana-mana lelaki dengan bayaran tertentu. Dengan kegiatan inilah dia memperolehi kehidupan yang layak. Dan itulah yang dimahunya. Dia kini sudah mampu memiliki rumah dan kenderaan mewah.
Masalah Pondan
Hingga satu hari, di saat umurnya menginjak 40 tahun, dia terkena penyakit berat. Dia sakit-sakitan. Badannya kurus sekali. Pasangan hidupnya pun meninggalkannya. Hanya teman-teman kalangan pondannya yang mahu menemani dia ketika sakit itu. Si ibu hanya beberapa kali menjenguknya. Ibunya meminta Ahmad Yani pulang ke kampung. Tapi, dia menolak. Penyakit yang dia deritai cukup lama dan parah. Hingga suatu hari, dipendekkan cerita, dia menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang dirawat di sebuah hospital. Kawan-kawan pondannya menjenguk dan menangisi kematian Ahmad Yani. Pada hemat mereka, Ahmad Yani adalah pembela golongan pondan. Maka, puluhan pondan mengiringi perjalanan jasadnya yang dihantar pulang ke kampung halamannya. Jasad yang sudah kaku itu akhirnya sampai di rumah yang sudah ditinggalkan sejak 13 tahun silam itu. Dia kembali dengan keadaan yang berbeza. Dia sudah tidak bernyawa lagi. Dia sudah tidak boleh mengenali orang-orang di sekitarnya. Sebab, alam dia dan mereka sudah terpisah. Ahmad Yani kini hanyalah sebuah jasad kaku.
Selanjutnya dapatkan Hidayah keluaran Mac 2010 di pasaran...
Wednesday, March 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment