PAPARKAN KEJAYAAN ANAK-ANAK YATIM
Saudara Pengarang,
Saya mencadangkan agar Hidayah boleh mengadakan ruangan untuk anak-anak yatim yang berjaya membina hidup mereka setelah masuk usia remaja atau alam dewasa. Anak-anak yatim baik lelaki mahupun perempuan adalah merupakan insan istimewa kerana mereka membesar dalam keadaan tidak mendapat kasih sayang seorang bapa. Malah insan itu akan menjadi lebih istimewa apabila dibesarkan sebagai ‘yatim piatu’.
Ramai anak-anak yatim yang bejaya dalam kehidupan mereka. Baik mereka yanag mendapat pendidikan sekular apatah lagi yang mendapat didikan agama. Mahunya ruangan tersebut ditulis sendiri oleh insan yang berjaya itu ataupun ditemubual oleh Hidayah. Rasanya tidak perlu detail. Dan bukan pula merupakan biografi. Memadai menyentuh pengalaman pahit maung kehilangan kasih sayang ibu bapa, kegigihan dalam menimba pelajaran dan sebagainya. Maklumat boleh didapati dari beberapa pertubuhan atau Rumah Anak-Anak Yatim. Saya berharap cadangan ini dapat direalisasikan, InsyaAllah.
Badron Abdullah,
Kampar, Perak.
• Satu cadangan baik yang akan kami bincangkan dalam mesyuarat editorial akan datang. – Pengarang.
TELADAN KISAH IKTIBAR
Saudara Pengarang,
Saya merasa prihatin dengan Kisah iktibar 1 keluaran Februari 2010. Memang mengharukan apabila jenazah yang diurut perutnya untuk mengeluarkan najis, tetapi najis dan ulat-ulat keluar melalui mukutnya merupakan sesuatu yang agak aneh. Kita tidak tahulah sejauh mana ‘keburukan’ seseorang itu diperlihatkan oleh Allah di akhir hayatnya di dunia ini dapat membersihkan dosa arwah. Dalam kes ini, apa yang mengharukan saya ialah tidak ada kenderaan jenazah yang dapat digunakan untuk membawanya ke tanah perkuburan. Sementara apabila ada seseorang menawarkan lori pick-upnya untuk membawa jenazah, si isteri pemilik lori berkenaan pula membantah dihadapan orang ramai kerana semasa hayatnya si mati dikatakan tidak mengizinkan keluarganya menumpang kereta milik si mati. Bagi saya pengajaran yang saya dapat, ialah walaupun kes menumpangkan kereta ini kes kecil saja, tapi ianya mencerminkan budi pekerti kita yang merasa sombong kerana memiliki kenderaan dan orang lain tidak berhak untuk menumpang. Saya menganggap nasihat yang diberikan oleh Ahmad terhadap keluarga si mati wajar kita ambil perhatian agar ianya tidak terjadi kepada keluar kita sendiri.
Siti Hawa Mahmud,
Kuala Lipis, Pahang.
• Benarlah apa yang anda katakan itu. Dan kami berharap apa saja kisah iktibar yang dipaparkan dalam Hidayah akan terus menjadi renungan pembaca; Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. – Pengarang.
MAKLUMAT MENGENAI USAHA DAKWAH DI SABAH DAN SARAWAK
Saudara Pengarang,
Kisah-kisah mengenai masyarakat Islam di luar negara atau mengenai sejarah negara-negara Islam adalah ruangan yang bermanfaat. Ruangan yang dipaparkan oleh Hidayah memang menarik. Bagaimanapun jangan lupa, bahawa masyarakat Islam di negara kita jangan dilupakan. Saya sendiri sebagai pembaca Hidayah ingin mengetahui mengenai perkembangan Islam atau usaha dakwah yang dilakukan di Sabah dan Sarawak terutama kawasan-kawasan pendalamannya. Setahu saya memang ada usaha-usaha dakwah dilakukan di sana. Tapi maklumat mengenainya agak terbatas. Saya kira, Hidayah mungkin boleh mendapat kerjasama dengan PERKIM bagi mendapatkan kisah-kisah aktiviti dakwah di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Saya harap usaha perlu dilakukan bagi memantau perkembangan dakwah di sana disamping meningkatkan syiar Islam dikalangan bumiputera dan rakyat Sabah dan Sarawak. Hidayah wajar turut berperanan dalam usaha murni ini.
Awang Ludin Mokhtar,
Kota Kinabalu, Sabah.
• Harapan dan impian anda memang tinggi. Tak termampu Hidayah diberi pengharapan sebesar itu. Namun niat murni itu saja sudah membolehkan kita mendapatkan pahala, apatah lagi bila dilaksanakan. Cadangan anda itu akan kami bincangkan. – Pengarang.
MUSLIMAT TAK PERLU BERGINCU...
Saudara Pengarang,
Saya tertarik dengan rencana bertajuk ‘Bibir merah paling digemari oleh Iblis’ tulisan Ibnu Abid tersiar di halaman 42 dan 43 Hidayah keluaran Februari lalu. Memang betul kata penulis, ramai yang tidak mengetahui termasuk para wanita itu sendiri bahawa bergincu itu paling digemari oleh Iblis. Pada saya bergincu itu tidak kiralah warna merah ke, biru ke, hitam ke atau sebagainya. Namun wanita yang bergincu memang menarik perhatian lelaki berbanding dengan wanita yang tidak ber ‘make-up’. Dan lebih malangnya golongan wanita penghibur (golongan artis) adalah paling terdedah dengan pelbagai make-up termasuklah yang bertudung dan berskaf. Jadi adalah lebih baik setiap para wanita dapat membaca rencana ini untuk kebaikan diri masing-masing yang akan dipertimbangkan nanti amal perbuatan di akhirat kelak. Terima kasih Hidayah yang berterus terang dalam rencana ini walaupun mungkin tidak digemari segolongan yang lain yang mungkin terkena ‘batang hidung’ masing-masing.
Othman Yahya,
Kulai, Johor.
• Peranan Hidayah ialah berdakwah melalui tulisan. Andai ianya dapat memberi kesedaran kepada mana-mana pihak, ianya merupaan satu ‘amal jariah’ para karyawannya yang akan ditagihkan di akhirat kelak. – Pengarang.
Wednesday, March 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment