ADAKAN RUANGAN KHUTBAH JUMAAT
Saudara Pengarang,
Sebagai sebuah majalah bercorak agama, saya mengesyorkan agar diadakan ruangan yang menyiarkan petikan-petikan khutbah Jumaat dari beberapa masjid. Khtubah merupakan salah satu sumber ilmu kepada masyarakat Islam. Selain mengajak umat bertakwa kepada Allah s.w.t. melalui khutbah, khatib dapat menyebarkan ilmu pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada pendengar. Mungkin kalau pihak Hidayah dapat menerima syor ini, isi khutbah berkenaan boleh disunting dan disesuaikan untuk pembaca. Khutbah yang baik isinya, sesuai untuk sepanjang masa dan untuk semua umat Islam. Jadi apabila ianya disiarkan dalam mass-media seperti majalah Hidayah, maka khutbah berkenaan dapat diambil manfaatnya secara meluas.
Semoga syor saya ini dapat diterima.
Haji Norwan Juraimi
Kampung Bukit Treh,
Muar, Johor.
• Syor dari anda itu memang menarik. Hidayah akan mempertimbangkan sebaik mungkin, Insya Allah. – Pengarang.
MENGENAL PARA ULAMA SILAM
Saudara Pengarang,
Sejak saya mengikuti majalah Hidayah, saya dapati ia semakin bernas dan baik dalam usaha menyampaikan dakwah. Sesuai benar Hidayah berselogankan ‘Sebuah Daiges Islam’. Tidak keterlaluan saya menganggap inilah daiges terunggul setakat ini. Memang benarlah, apa pun halnya yang baik, ia tetap baik. Saya bersyukur kerana Hidayah juga merakamkan biodata para ulama tempatan dan nusantara. Tidak kiralah mereka itu dikenali atau tokoh yang popular. Alangkah baiknya para pembaca Hidayah dapat mengikuti riwayat hidup para ulama terdahulu seperti Syeikh Abdus Shamad Palambani, Syeikh Daud bin Abdullah Fathani, Tok Kenali dan ramai lagi. Mereka adalah tokoh-tokoh hebat pada zamannya. Kemungkinan ramai generasi sekarang kurang mengenali kehebatannya. Majalah Hidayah boleh memanfaatkan ruangannya agar tokoh-tokoh ulama ini akan terus dikenang di mana setengah-setengah karya mereka masih boleh didapati hingga sekarang. Wassalam.
Mohd. Shafie Abdul Jalal
Taman Melawati,
Kuala Lumpur.
• Alhamdulillah kerana anda merupakan seorang pembaca setia Hidayah. Saranan anda itu memang dihargai dan sebahagiannya sudah pun kami tunaikan. InsyaAllah akan kami tambah lagi tokoh-tokoh yang banyak berjasa disetiap keluaran Hidyah. - Pengarang.
DOA DAN HARAPAN
Saudara Pengarang,
Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana turut menggerakkan hati ini kerana menjadi pembaca majalah Hidayah. Sebagai pembaca setia, saya berbangga dan tidak malu untuk membaca majalah ini di khalayak ramai.
Dalam kesederhanaannya, Hidayah mendorong pembacanya seperti saya untuk menambah ilmu pengetahuan agama. Melalui Hidayah juga saya dapat bermuhasabah, memeriksa diri dan merenungi segala kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Saya berharap dan berdoa agar Hidayah akan terus menjadi media bacaan yang dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Semoga Hidayah terus maju di masa akan datang dan dapat mengembangkan syiar agama, Insya Allah.
Marza Nur Didik Irwan,
Paya Munis Selatan,
Mersing, Johor.
• Doa dan harapan anda itu turut menjadi doa dan harapan karyawan Hidayah selama ini. – Pengarang.
Wednesday, March 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment