PONDOK Misbahul Falah, Banggol Berangan yang terletak di Parit Panjang, Baling, memang dikenali ramai di Kedah dan luar Kedah. Inilah salah satu pondok tradisional yang terus kekal menongkah arus zaman. Pondok ini tidak dapat dipisahkan dengan nama Allahyarham Tuan Guru Haji Omar Zuhdi yang gigih menghidupkan pondok ini dengan menampung ribuan para penuntutnya sejak dibuka semula pada tahun 1957 hingga sekarang. Nama Tuan Guru ini menjadi lebih terkenal kerana beliaulah ulama di Kedah yang mengeluarkan fatwa Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan sejumlah para pengikutnya yang terkorban dalam peristiwa berdarah Memali sebagai mati syahid dan kesemuanya dikebumikan di Parit Panjang berdekatan dengan kawasan pondok yang terkenal ini. Baik diwaktu pemerintahan kerajaan negeri yang dikuasai oleh UMNO/BN dan kini diterajui oleh PAS/Pakatan Rakyat, Pondok Misbahul Falah Banggol Berangan terus berkembang dan berdikari tanpa bergantung kepada bantuan pihak kerajaan negeri dan mana-mana pihak. “Kami sebenarnya bergantung kepada sumbangan derma dan bantuan dari orang ramai baik rakyat Kedah atau luar Kedah. Inilah cara terbaik bagi sesiapa saja untuk menghulur amal jariah secara telus terus kepada pentadbiran pondok,” beritahu Ustaz Hamdan Dziauddin bin Wahab kepada penulis baru-baru ini. Beliau yang merupakan anak Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Hassan kini diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Pembangunan bagi pembinaan sepuluh pondok moden (lelaki) bagi menggantikan beberapa pondok lama yang telah uzur. “Sesetengah pondok ini telah uzur dan ada yang reput dimakan usia. Ada sejumlah remaja yang menghuni di pondok ini dalam keadaan tidak selesa. Walaupun diperbaiki beberapa kali tapi ianya tidak praktikal kerana pihak madrasah terpaksa mengeluarkan belanja yang besar serta berulang-ulang kali,” jelasnya. Tumpuan untuk membina pondok yang moden di kawasan ini memang bersesuaian. Tapaknya berdekatan dengan Madrasah, berdekatan dengan jalan raya dan kawasannya rata dan selamat untuk pembangunan. Keluasan tanahnya juga luas dan selesa. Menurut ustaz Hamdan pembinaan pondok baru ini dari batu bata disamping membina tandas dan bilik air sebagai tempat membasuh pakaian dan ampaian. “Kos pembinaan sepuluh buah pondok moden ini dianggar sebanyak RM222,000. Tiga buah tandas RM10,000 sementara dua bilik mandinya sebanyak RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhannnya RM237,000. “Sumber kewangan kami bergantung kepada derma khairat orang ramai,” katanya. Beliau merayu mana-mana pihak yang mahu menghulurkan sumbangan derma bolehlah berbuat demikian terus ke Akaun Bank BIMB 02048020026783. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut bolehlah menghubungi telefon 04-4767350 (R) atau H/P 019-4080444. Kawasan ini adalah satu kawasan khas Madrasah Tahzib An-Nufus yang dibina khas untuk menempatkan para penuntut pondok kalangan remaja ke atas. Madrasahnya bersebelahan jalan raya terletak berdekatan dengan kediaman Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Hassan. Di sebelah madrasah pula ditempatkan satu kawasan pondok yang menempatkan sebilangan pelajar pondok wanita kalangan remaja ke atas. “Mereka yang menghuni dan menuntut di sini datangnya dari Kedah dan ada juga dari luar Kedah,” beritahu Ustaz Hamdan. Sementara itu pekan Parit Panjang juga berkembang maju seiring dengan perubahan masa. Tinjauan sekilas menunjukkan pekan ini menjadi tumpuan dari perkampungan sekitar seperti Kampung Bukit Endoi, Kampung Carok Bakap, Kampung Baru Carok Bakap, Kampung Tandop Pisang, Kampung Banggol Berangan (kawasan Pondok Misbahul Falah), Kampung Seri Kelantan dan Kampung Lanai. Waktu berkunjung ke situ, penulis terpesona juga menyaksikan ‘bulatan’ di pekan kecil itu yang tak kalah dengan hiasan kain rentangnya dan antaranya termasuk mempromosikan Pondok Misbahul Falah.
Anda yang datang dari Kuala Lumpur boleh sampai ke sini melalui Bandar Sungai Petani, kemudian ke Kuala Ketil yang hanya berbelas km saja dan seterusnya ke Parit Panjang juga berbelas km. Sementara untuk pulang semula ke Kuala Lumpur anda boleh menggunakan jalan baru dari Baling ke Gerik dan terus ke Kuala Kangsar.
Di Kuala Ketil penulis bersama anak Muhammad Sholehan dan adik ipar Safuan Haji Mokhtar disambut oleh Ustaz Marzuki Mat Yusof, 27, di rumahnya. Selepas bersolat di surau berdekatan kami bertamu ke rumahnya. Dapatlah juga melihat susunan kitab-kitab agama yang terletak rapi di rak rumahnya. “Semua ini ana beli secara berdikit-dikit waktu belajar di Syria. Beribu ringgit juga harganya,” beritahu beliau.
Selanjutnya dapatkan Hidayah keluaran Mac 2010 di pasaran...
Wednesday, March 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment