Kita biasa pergi ke kubur. Biasanya kita ke sana kerana menziarahi kubur. Kadang-kadang kita ke kubur kerana menghantar jenazah yang mahu dikebumikan, sama ada saudara mara, jiran dan sahabat handai yang mati. Kebiasaannya, setelah jenazah itu dikebumikan, maka imam atau pun mereka yang berkenaan tentang agama akan duduk di atas kubur itu setelah dibentangkan tikar. Imam atau pun ustaz akan membaca apa yang disebut “talkin”. Tetapi kalau kita menghantar jenazah di Ma’lla iaitu di Makkah atau pun di Baqi’ di Madinah, selepas di kebumikan semua pulang. Tidak ada majlis baca talkin sebagaimana yang berlaku di sini. Apa erti “talkin”? Menurut kamus DBP (Dewan Bahasa Dan Pustaka) ‘Talkin’ bermaksud: perihal membisikkan kalimah syahadat kepada orang yang meninggal (mayat yang baharu dikebumikan). Erti talkin juga ialah mengajar orang-orang yang sudah mati. Dijelaskan ini dalam kitab-kitab agama yang ditulis oleh ustaz-ustaz kita mengenai masalah jenazah.
Masalah talkin ini, ada berbagai persoalan wujud, kerana ada sebahagian umat Islam “memfatwakan” mentalkin mayat yang sudah dikuburkan adalah sunat. Timbul persoalan: “Apakah mayat seseorang itu boleh diajar? Apakah ada manfaatnya? Apa ada fedahnya untuk yang sudah mati? Persoalan ini ditimbulkan oleh para ulama dulu. Kalau kita baca dalam kitab-kitab yang dikarang oleh mereka, masalah ini akan dibahaskan oleh mereka.
Jawapan dari pertanyaan-pertanyaan di atas dijawab oleh para ulama yang berwibawa. Jawab mereka: Mentalkinkan mayat atau mengajar mayat yang sudah dikuburkan tidak ada sama sekali manfaatnya untuk yang sudah mati didalam kubur itu. Perbuatan ini, kata ulama-ulama ini, sengaja diada-adakan. Perbuatan mengada-adakan didalam Islam adalah bidaah, terutama sekali hal-hal yang ghaib. Dalam sebuah kitab agama yang menghuraikan bab ini menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, imam-imam Mazhab yang masyhur tidak seorang pun diantara mereka yang memfatwakan sunat mentalkinkan mayat dari atas kuburnya.
Imam Izzuddin, seorang ulama salaf yang terkenal dan termasyhur memberi keterangan begini: “Talkin mayat itu adalah perbuatan bidaah. Tidak ada satu keterangan yang sah padanya, iaitu tidak ada dalil yang boleh dipertanggungjawabkan mengenai talqin mayat.” Dalam kitab suci Al-Quran Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Naml ayat 80 yang mafhumnya: “Bahawasanya Engkau Ya Muhammad tidak boleh mendengarkan orang yang sudah mati.” Maksudnya: Engkau Ya Muhammad tidak boleh mengajar orang yang sudah mati.” Sesungguhnya orang yang sudah mati dapat mendengar apa yang dikatakan oleh orang yang masih hidup. Dalam hal ini tidak seorang ulama pun yang membantahnya. Jelaslah bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah: Tidak dapat diajar. Tidak ada faedahnya orang yang sudah mati itu diajar. Mereka bukan tidak boleh mendengar, tetapi tidak dapat diajar. Firman Allah yang bermaksud: “Ya Muhammad, engkau tidak dapat mengajar orang yang sudah mati di dalam kuburnya.” (Al-Fatir: 22) Ayat di atas membawa maksud Engkau ya Muhammad, tidak dapat mengajar orang yang sudah mati di dalam kubur. Orang yang sudah mati tidak ada faedahnya untuk diajar walaupun mereka yang di dalam kubur itu mendengar pengajaran orang yang mentalkinkan di atas kuburnya.
Kedua ayat di atas ditujukan kepada orang kafir dan munafik yang tidak mahu mendengar seruan dan pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. kerana itu Allah serupakan (menyamakan) mereka dengan orang yang sudah mati. Sama-sama sudah tidak boleh diajar lagi. Tidak ada manfaatnya mengajar jika mereka tidak mahu mendengar.
Orang kafir dan munafik yang dimaksudkan dalam ayat di atas tadi bermaksud, mereka itu tidak pekak, mereka semua boleh mendengar. Akal yang sihat tidak akan mengalami kesukaran untuk memahami bahaya ayat di atas cukup mudah untuk difahami. Dimana orang yang sudah mati itu, faedah dan manfaat pengajaran untuk mereka sudah tidak berguna lagi. Talkin mayat atas kubur orang yang sudah mati, mengajar mayat dari atas kuburnya sama sekali tidak ada manfaatnya untuk orang yang sudah mati dalam kubur.
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2010 di pasaran...
Tuesday, August 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment