KEKALKAN IMEJ HIDAYAH
Saudara Pengarang,
Saya amat tidak setuju Hidayah diterbitkan dua kali seminggu. Ini disebabkan belum sempat pembaca menghabiskan bacaan Hidayah sebelumnya, Hidayah keluaran berikut telah muncul di pasaran. Membaca Hiayah bukan seperti baca ‘majalah hiburan’ atau akhbar harian. Main selak-selak muka saja. Membaca Hidayah perlu diberi perhatian kepada mesej yang mahu disampaikan oleh penulisnya. Walaupun Hidayah bukanlah majalah akademik, namun sebagai majalah bercorak agama ianya perlu kepada penghayatan apabila membacanya.
Saya berharap Hidayah kekal pada imejnya sekarang. Sederhana dan bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur untuk membacanya. Diharap juga agar Hidayah turut mengutamakan isu-isu yang berkaitan dengan kewanitaan agar menjadi panduan kepada para pembacanya. Hidayah tidak perlu gopoh untuk memenuhi kehendak pembaca. Pertahankanlah kualiti yang ada sekarang.
Muhammad Jamil Zaidi,
Kulai, Johor.
• Menjadi hasrat Hidayah bukan saja mengekalkan imejnya, malah menambahkan lagi bilangan para pembacanya dari masa ke semasa, insyaAllah. - Pengarang
JANGAN PERCAYA RAMALAN...
Saudara Pengarang,
Saya masih terkenang-kenang dengan riuh rendahnya Piala dunia FIFA 2010. Bagi saya, sukan bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia. Sampaikan ustaz-ustaz yang buat kuliah agama di masjid dan surau-surau turut menyentuh atau menyebut isu-isu mengenai bola sepak ini baik dari sudut positif atau negatifnya.
Apa yang menariknya ada ustaz-ustaz cakap, kalau peminat bola sepak boleh bangun jam 1 atau 2 pagi semata-mata untuk menonton siaran langsung bola sepak, apalah salahnya sebelum itu buat ‘solat tahajud’ dulu.
Bagi saya apa yang disarankan oleh ustaz-ustaz itu ada positifnya bagi mana-mana individu untuk mendapatkan kebaikan. Satu lagi yang menarik perhatian saya ialah mengenai ramalan seekor sotong gurita mengenai keputusan pertandingan bola sepak. Kebetulan semuanya ‘mengena’ belaka. Bagi saya yang lebih ‘menarik’ apabila ada pegawai bola sepak pasukan yang bertanding yang mengingatkan mereka jangan percaya dengan ramalan sotong gurita itu kerana perbuatan tersebut adalah kepercayaan ‘syirik’. Hah...! itu orang kafir yang cakap tu...Saya tersenyum membaca komennya kerana tenyata ‘orang kafir’ juga faham maksud ‘syirik’ itu dan saya berharaplah kalangan orang-orang Islam hendaknya lebih maklum mengenai akidah kita sebagai pemeluk agama tauhid ini. Harap komen berkenaan ada kesan positifnya kepada mereka yang suka membuat ramalan-ramalan bagaikan mendulukan takdir Tuhan, na’udzubillah...
Salbiah Haji Mokhtar,
Sabak Bernam,
Selangor.
• Apa yang anda katakan itu memang betul. Harap mereka yang telanjur mempercayai apa-apa ramalan selama ini hendaklah segera bertaubat agar tidak tergelincir akidah masing-masing... - Pengarang
SYIRIK PERCAYA PADA KUBUR
Saudara Pengarang,
Saya tersentuh apabila membaca rencana oleh Ibnu Idris bertajuk “Melayu Dulu Lebih Percayakan Kubur Yang Dianggap Keramat” (Hidayah – Ogos 2010 halaman 106). Rencana tersebut mengingatkan saya betapa pada awal-awal tahun 60an dulu saya sendiri menyaksikan bagaimana sebuah kubur yang dianggap ‘keramat’ bertempat di Kamunting, Taiping, Perak yang disebut ‘Keramat Tok Bidan Lanjut’ begitu dimuliakan oleh sesetengah pihak siap diberi kelambu dan kalau tak silap batu nisannya turut dibalut dengan ‘kain kuning’.
Yang mengharukan adanya kepercayaan apabila berhajat sesuatu bolehlah berbuat demikian dengan menzirahi kubur berkenaan siap dengan persembahan ‘pulut kuning’nya. Saya bersyukur kerana kepercayaan atau perbuatan tersebut dapat dibanteraskan oleh Jabatan Agama Perak dan pihak yang berkewajipan dengan membuang segala kepercayaan karut marut itu. Sekarang saya mendapati tanah perkuburan yang menempatkan kubur yang dianggap keramat itu telah bersih kawasannya dan dijaga dengan sempurna oleh pihak berkenaan.
Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penjaga tanah perkuburan berkenaan yang prihatin dengan kebersihan kawasan perkuburan berkenaan. Untuk makluman tanah kubur tersebut turut menempatkan perkuburan ayah saya, datuk dan opah saya serta beberapa ahli keluarga yang lain.
Kepada Ibnu Idris saya berharap akan terus menulis dan membongkar kisah-kisah lama yang saya fikir ada manfaatnya untuk kita jadikan iktibar dan renungan bersama. Terima kasih Hidayah kerana menyiarkan rencana yang menarik itu.
Marzita Abdul Hamid,
Kampung Pinang,
Taiping, Perak.
• Tidak ada ‘dulu’ tidak adalah ‘sekarang’. Dulu lain, sekarang lain. Bersyukurlah dengan anugerah Allah s.w.t. yang membuka minda umat Islam/Melayu daripada yang tidak baik kepada yang lebih baik, Alhamdulillah. - Pengarang
JADIKAN IKTIBAR BAHAN RENUNGAN
Saudara Pengarang,
Memang menginsafkan apabila mengikuti rencana iktibar 1 bertajuk ‘Jenazah Ditimbun Batu Kerikil’ yang disiarkan bulan Ogos lalu. Kecurangan pasangan suami isteri antara satu sama lain baik lelaki curang atau suami yang curang sudah menjadi lumrah dalam kisah masyarakat. Namun bagi saya, apa saja kisah yang berlaku dalam kehidupan pasangan suami isteri adalah merupakan satu tragedi yang menyedihkan. Cuma balasan dosa yang dilakukan oleh seseorang itu tidak semuanya dibalas secara nyata di dunia ini. Begitulah keadilan Allah s.w.t. Andai sekiranya setiap pembalasan dosa itu ditunjukkan di dunia ini lagi maka tidak berertilah ‘balasan yang ghaib’ seperti yang diberi oleh Tuhan dan janji-janjiNya di alam barzakh dan akhirat kelak. Berkaitan dengan rencana iktibar itu saya terkesan, bahawa kecantikan ternyata tidak memberi jaminan kebahagiaan bagi wanita berkenaan atau lelaki manapun. Begitu juga dengan ‘Sakiyem’ kalaulah rupanya tidak cantik, tidak mungkin dia akan digoda oleh lelaki lain atau dia menggoda jantan lain. Namun begitulah kehendak Tuhan. Kecantikan itu tidak kekal. Yang kekal ialah akhlak yang baik dan amalan kebajikan. Oleh itu janganlah berbangga dengan kecantikan. Andainya mahu mencari jodoh, janganlah utamakan rupa paras yang menawan sahaja. Utamakan akhlak dan keagamaan seseorang itu. Bertuahlah mana-mana individu mendapat anugerah pasangan yang baik paras rupanya dan baik pula pekertinya. Namun kalau tidak mendapat yang cantik pun, tapi baik akhlaknya itu juga merupakan anugerah Allah jua. Andainya pula mendapat jodoh yang kurang paras rupanya dan kurang baik pula perangainya, juga merupakan ‘ujian’ Allah kepada seseorang itu yang menjadi pasangannya. Sifat ‘bersabar’ akan memperolehi ganjaran pahala yang besar di sisi Allah s.w.t.
Haji Abdul Rauf Osman,
Kota Bharu, Kelatan.
• Benarlah apa yang anda katakan itu. Semoga ianya menjadi renungan kita bersama. – Pengarang.
Wednesday, August 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment