Wednesday, August 4, 2010

Surat Pembaca

DOA DALAM BAHASA ARAB
Saudara pengarang,
Saya tertarik mengikuti rencana bertajuk: “Manusia menempuhi lima alam” melalui bilangan 121 keluaran September 2008. Yang menariknya ialah zikir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umat Islam di halaman 111 iaitu: (1) “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya pagi-pagi saya meminta saksikan kepadaMu dan kepada malaikatMu penjaga ‘ArasyMu kepada seluruh makhlukMu, bahawa sesungguhnya Engkau, Engkaulah Allah Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan Engkau sendiri, tidak ada sekutu bagiMu bahawa pemimpin kami Muhammad (s.a.w.) itu adalah hamba dan Rasul utusanMu.” (2) “Wahai Tuhanku! Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah melainkan Engkau. Engkaulah yang telah menjadikan aku, dan akulah hambaMu dan aku adalah di atas perjanjian denganMu itu sekuasa-kuasaku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan apa yang telah aku perbuat atau kulakukan. Aku mengakui akan segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku mengakui segala dosa-dosaku. Oleh kerana itu ampunilah aku, kerana tiada yang dapat mengampuni segala dosa itu kecuali Engkau.” Saya ingin mengamalkan zikir-zikir tersebut, tetapi saya tidak tahu lafaznya dalama bahasa Arab kerana Hidayah menulisnya dalam bahasa Melayu. Jadi saya harap, Hidayah dapat memaparkan zikir-zikir berkenaan dalam bahasa Arab. Semoga dengan itu saya dan para pembaca lain juga dapat mengamalkannya, InsyaAllah. Semoga perjuangan karyawan Hidayah mendapat keredhoan dari Allah s.w.t. jua.

Muhammad Hanis Khalid,
Lintang Sg Ara 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

• Masalah anda itu kami fahami. Namun dari segi teknikalnya, Hidayah tidak dapat menyiarkan doa-doa atau zikir dalam bahasa Arab atas beberapa sebab kerana ianya mengandungi nama Allah dan ayat-ayat Al-Quran. Adalah amat sukar untuk menjamin dan menjaga kemuliaan nama-nama Allah tersebut sejak dari proses percetakan hingga ke pasaran dan seterus sampai ke tangan pembaca. Nasihat kami anda boleh dapatkan khidmat nasihat dengan para ustaz yang berdekatan atau boleh juga mendapatkan apa-apa doa dan zikir yang dimaksudkan dari kitab-kitab agama dan buku-buku doa yang terdapat di pasaran. Harap maklum – Wassalam. – Pengarang.

BOLEHKAH USTAZ JADI PERANTARAAN DOA?
Saudara pengarang,
Saya keliru dengan sesetengah individu kita yang meminta doa para ustaz atau tuan guru kita untuk melariskan perniagaan atau syarikat mereka untuk mendapat keuntungan. Bukankah dalam kaitan ini individu berkenaan boleh berdoa sendiri terus kepada Allah s.w.t. dan tidak berantung kepada permohonan orang lain. Begitu juga dengan tradisi menggantung ayat-ayat seribu dinar di kedai-kedai makan, gerai-gerai dan sebagainya. Seolah-olah mereka yang menggantungkan ayat-ayat tersebut bukan sekadar sebagai hiasan saja, malah macam menjadi semacam ‘azimat’ melariskan perniagaan. Harap perkara ini dapat dibincangkan dalam satu rencana khas mengenainya buat panduan pembaca Hidayah.

Noor Azizah Zamri,
Kuala Sungai Baru, Melaka.

• Akan kami usahakan rencana tersebut dalam keluaran-keluaran mendatang, InsyaAllah! – Pengarang.

MAHU NASKHAH HIDAYAH TUAN GURU SAID GANTAM
Saudara Pengarang,
Baru-baru ini saya berziarah ke rumah seorang teman lama di Sungai Buloh, Selangor. Beliau yang berusia setengah abad itu memang gemar membaca. Banyak majalah yang dilangganinya setiap bulan, termasuk majalah Hidayah. Yang mengkagumkan, beliau masih menyimpan naskhah Hidayah keluaran Ogos 2002. Istimewanya keluaran tersebut ialah memaparkan kisah Allahyarham Tuan Guru Haji Said Gantam lengkap dengan wajah foto tuan guru. Saya tertarik apabila dapat mengikuti sekilas kisah tuan guru yang terkenal itu yang ramai para muridnya terutama di Kuang dan Gombak, Selangor. Pertanyaan saya, bagaimanakah saya boleh mendapatkan naskhah berkenaan untuk simpanan koleksi saya. Apakah Hidayah masih menyimpannya dan boleh menjualnya pada pembaca yang berminat untuk memiliki naskah tersebut?

Yusuf Yop Amin,
Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

• InsyaAllah, anda boleh menghubungi dengan surat ke Bahagian Langganan Hidayah, Penerbit Hidayah, 2719B, Jalan Permata 4, Taman Permata, 53300 Kuala Lumpur. Sertakan nama, alamat dan telefon anda. – Pengarang.

No comments: