KELUARAN lalu saya telah menceritakan bagaimana orang Melayu-Islam yang tua-tua yang tidak mengambil berat dan mengambil tahu tentang ilmu “agama” telah terjebak dengan pelbagai kemungkaran, bukan saja dari segi perbuatan bahkan juga dari segi pemakanan. Dalam tahun 60an dan hujung tahun 50an pula, orang-orang Melayu-Islam di ibu kota atau pun di bandar-bandar besar ataupun kecil tidak ambil peduli tentang soal pemakanan. Apa juga jenis makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam, semuanya disapu. Tidak kira, sama ada makanan yang dimasakkan itu “halal” atau pun sebaliknya. Apa tidaknya, pada ketika itu “nasi ayam” jadi kegemaran orang. Orang-orang Melayu belum ada yang berniaga nasi ayam. Yang berniaga orang-orang bukan Islam. Yang menjadi kegemaran makan nasi jenis itu ialah orang-orang Melayu-Islam. Adakah mereka tahu bahawa ayam yang dimakan itu disembelih atau pun tidak? Masalah “logo halal” sebagaimana yang dikuatkuasakan tidak wujud pada Melayu-Islam main “bantai”. Semua restoran sama ada ia diusahakan oleh bukan Islam mereka masuk dan makan. Saya sendiri bersama kawan-kawan saban hari makan mi rebus atau pun mi goreng yang diusahakan oleh orang bukan Islam. Saban malam kami ke Campbell Road (sekarang Jalan ‘Dang Wangi’), makan “laksa asam” dan “laksa lemak” yang diusahakan oleh orang bukan Islam yang berasal dari Pulau Pinang. Ramai lagi orang Melayu-Islam yang saban malam makan di situ. Zaman itu tidak ada restoran “tomyam”. Tidak ada nasi beryani gam dari Johor. Tidak ada mi rebus dari Singapura atau pun dari Johor yang diusahakan oleh orang-orang Melayu. Zaman sebelum 13 Mei, dimana orang Melayu-Islam tidak begitu prihatin terhadap makanan dan lain-lainnya. Zaman itu tidak ada “kedai mamak” yang menjual atau pun mengusahakan “kari kepala ikan”. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha berkuasa, Allah Maha segala-galanya. Ekoran dari peristiwa 13 Mei itu orang-orag Melayu-Islam baru “buka mata sebelah” dan tahu apa yang dibuat selama ini tidak betul. Allah ubah cara hidup orang-orang Melayu-Islam di ibu kota. Allah Yang Maha Mengetahui tentang hamba-hambanya telah menjadikan peristiwa 13 Mei itu untuk mengubah cara hidup, gaya hidup orang Melayu-Islam di Ibu kota dan dimana-mana saja pun di Malaysia. Angin perubahan mula meniup. Sedikit demi sedikit keadaan semakin berubah. Kalau dulu-dulu tidak ada kuliah agama, tetapi sesudah itu mula diadakan.
Zaman peralihan kelihatan terserlah kepada orang-orang Melayu-Islam dimana-mana pun. Kedai-kedai makan (gerai-gerai makanan) mula diusahakan oleh orang-orang Melayu-Islam. Kalau dulu roti canai diusahakan oleh mamak-mamak yang datang dari India, tetapi sesudah peristiwa yang berdarah itu, anak-anak Melayu-Islam sudah mula buat roti canai sendiri. Warung-warung teh tarik dulu-dulu dikuasai oleh mamak-mamak, tetapi anak-anak Melayu-Islam sudah membuat teh tarik, walau pun tidak begitu sedap tetapi bolehlah tahan...
Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2010 di pasaran...
Tuesday, August 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment