Wednesday, August 4, 2010

Salam Kami Ogos 2010

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah kerana masih dihidupkan lagi kita ini hingga saat ini. Dan untuk kesekian kalinya kita bakal menyambut kedatangan Ramadan 1431. Sungguh bertuahlah kita yang masih dapat menghirup rahmat Allah di bulan Syaaban ini. Bulan ini sebenarnya menjadi jembatan persiapan kita untuk menghadapi ibadat puasa Ramadan nanti. Memang setiap kali datang bulan yang mulia itu, wajarlah kita saling ingat mengingati, pesan memesan agar hadirnya dapat dimanfaatkan oleh kita semua. Betapa besarnya fadilat Ramadan dapat kita fahami dari Hadis Nabi s.a.w. dimana Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: Allah Taala berfirman bermaksud: “Semua amal anak Adam dilipat gandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus lipat ganda, kecuali puasa, maka puasa itu melulu untukKu dan Aku yang membalasnya, ia meningalkan syahwat, makan dan minum keranaKu, dan puasa itu sebagai perisai, dan untuk orang yang puasa dua kegembiraan, gembira ketika menghadapi saat berbuka puasa, dan gembira kelak bila bertemu kepada Tuhan pada hari kiamat.” Dalam menanti Ramadan nanti hendaknya kita mempersiapkan fizikal dan mental kita agar ‘melulu’ semata-mata untuk beribadat sebanyak-banyaknya dan seikhlasnya. Janganlah terfikir untuk buat kuih muih dan persiapan menyambut raya sahaja. Jadikanlah Ramadan kali ini seolah-olah Ramadan terakhir dalam hayat kita. Entah Ramadan akan datang, entah saya, entahkan anda tidak lagi berpeluang untuk menemuinya kerana waktu itu kita telah bersemadi di perut bumi. Hendaknya dapatlah kita menunaikan solat sunat terawih sepanjang Ramadan ini. Janganlah pertikai benda yang remeh temeh tentang bilangan rakaatnya, lapan atau dua puluh rakaat. Yang penting kita lakukan solat terawih. Yang patut kita pertikai dan persedarkan ialah golongan yang tidak langsung bersolat terawih. Dalam keadaan menyambut bulan yang syahdu itu, Hidayah tetap menemui anda. Hidayah muncul dengan pelbagai kisah iktibar, rencana dan ilmu yang wajar kita manfaatkan bersama. Bagi kami, pembaca adalah segala-galanya. Tanpa anda, kami tidak bererti apa-apa. Hidayah terus wujud bulan demi bulan, tahun demi tahun dengan adanya anda. Terima kasih kerana terus memberi sokongan berterusan kepada Hidayah. “Selamat Berpuasa Ramadan” untuk semua.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: